PEKERJA PEMANGKIN WADAH #MalaysiaMADANI | OFFICE OF THE VICE CHANCELLOR
» ARTICLE » PEKERJA PEMANGKIN WADAH #MalaysiaMADANI

PEKERJA PEMANGKIN WADAH #MalaysiaMADANI

Segala puji bagi ALLAH SWT Pentadbir seluruh Alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, penghulu segala Rasul, pembawa rahmat seluruh alam.

 

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan salam sejahtera warga UPM yang dirahmati Allah SWT.

 

  1. Pertama-tamanya, saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana atas limpah rahmat dan kurnia-Nya, kita dapat terus melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai hamba kepada Yang Maha Esa, penjawat awam di UPM yang menyokong visi dan misi yang ditetapkan Universiti sebagai menara ilmu yang memberi khidmat bakti untuk masyarakat.

 

  1. Pada kesempatan ini, saya dan pengurusan UPM mengucapkan ‘Selamat Hari Pekerja’ kepada warga pekerja UPM yang diraikan pada 1 Mei setiap tahun. Saya sangat menyakini akan peranan dan sumbang bakti yang dimainkan oleh setiap warga UPM sama ada dalam kalangan akademik, pentadbir mahupun kumpulan sokongan bagi memastikan neraca kecemerlangan UPM sebagai menara ilmu terus unggul dalam carta liga Universiti Awam di Malaysia di samping terus mencetak nama di arena antarabangsa.

 

  1. Peranan pekerja sangat penting sebagai pemangkin dan penggerak untuk keluar ke zon yang lebih selesa setelah kita diuji dengan Covid-19 yang membataskan ekosistem tugasan rutin seorang penjawat awam. Namun pengadaptasi sistem kerja mengikut aturan norma baharu telah membuka dimensi terhadap tatacara kerja bagi memastikan perkhidmatan dapat diberikan dengan fungsian yang teratur bagi memastikan kerancakkan pembangunan yang dijana melalui iltizam dalam kalangan pekerja terus membumi untuk memastikan Malaysia terus mampu berdaya saing dengan suntikan semngat perpaduan dan kebersamaan yang disimpul mati dalam kalangan rakyat Malaysia. Justeru, tema sambutan Hari Pekerja Tahun ini iaitu “Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani” bertepatan dengan peranan yang dimainkan oleh warga pekerja UPM dan seluruh negara bagi merealisasikan hasrat bersama dalam membangunkan Malaysia Madani yang kita dambakan.

 

Warga Pekerja UPM yang saya hormati dan dikasihi Allah SWT,

 

  1. Sebagai penjawat awam yang berperanan untuk memastikan hala tuju dan matlamat yang ditetapkan dalam Pelan Strategik UPM dicapai, setiap pekerja perlu bersama-sama membantu pihak pengurusan Universiti dengan penuh integriti, berdisiplin dan mengamalkan nilai luhur serta sentiasa menjaga nama baik organisasi pada setiap masa.

 

  1. Peranan setiap staf UPM telah dibuktikan antaranya menerusi pencapaian UPM meraih kedudukan 123 terbaik dunia dan universiti kedua terbaik Malaysia dalam penarafan QS Asia University Rankings 2023. UPM juga meningkatkan lagi kedudukannya di ranking ke-27 universiti terbaik Asia bagi tahun ini berbanding ranking ke-28 pada tahun lalu. Pencapaian itu mencatatkan sejarah tersendiri apabila UPM berjaya membuat lonjakan secara berterusan bagi tempoh lapan (8) tahun berturut-turut. Kedudukan cemerlang ini sekali gus merekodkan pencapaian terbaik UPM dalam sejarah penarafan antarabangsa.

 

  1. Saya dengan rasa rendah diri merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih sedalam-dalamnya kepada semua staf yang menyumbang kepada kejayaan UPM ini. Saya berharap komitmen sedemikian dapat diteruskan menerusi iltizam kita dalam “Memahat Gemilang Membingkas Kelangsungan al-Falah” dapat direalisasikan bagi memperoleh kejayaan di dunia dan di akhirat menerusi khidmat terbaik kepada masyarakat dalam bidang penyelidikan dan penyaluran khidmat komuniti secara berterusan dapat terus dilagang. Usaha kita sebagai cerminan kecaknaan dalam melagang fungsi Universiti sebagai menara ilmu untuk manfaat masyarakat.

 

  1. Saya yakin UPM melalui pelbagai pusat tanggungjawab, boleh menempa kecemerlangan dan kejayaan di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa. Dengan pelbagai kepakaran, kemahiran dan kemudahan yang dimiliki, ditambah dengan kerjasama tenaga akademik, kumpulan pengurusan dan pekerja sokongan yang sentiasa komited, saya penuh yakin UPM terus melakar kejayaan.

 

  1. Marilah kita bersama-sama bergading bahu, bersatu hati, membulatkan tekad sebagai suatu keluarga besar untuk merealisasikan negara Malaysia Madani yang kita sayangi ini yang menuntut kejituan dan semangat berpasukan yang utuh. Kini masa untuk kita bersatu hati, berganding bahu dengan menangkis segala kesangsian dan teguh sebagai pekerja berwawasan.

 

  1. Konsep serta nilai murni pekerjaan juga amat dititiberatkan oleh oleh Islam seperti dinyatakan dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

 

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

 

Maksudnya“Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”

 

(Riwayat al-Tabarani dan al-Baihaqi)

 

  1. Islam juga menggariskan adab yang perlu diamalkan oleh setiap orang beriman dalam mencari rezeki sama ada menjadi pekerja awam, swasta mahupun bekerja sendiri. Ini untuk memastikan setiap pekerjaan membuahkan hasil dalam bentuk rezeki halal, malah lebih penting mendapat keredaan Allah SWT. Malah keredaan Allah SWT inilah yang menjadikan rezeki yang diperoleh bukan sahaja halal, bahkan berkat dalam erti kata kebaikan yang melimpah-ruah. Ia menjadi rahsia kepada orang beriman yang mahupun memiliki pendapatan kecil atau sederhana hatta besar sekalipun tetapi bahagia dalam kehidupannya sama ada sebagai individu mahupun keluarga. Inilah kejayaan paling utama sebagai pekerja iaitu kebahagiaan dunia dan akhirat.

 

  1. Pengakhir bicara, sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan terima kasih sedalam-dalamnya kepada warga pekerja UPM yang telah berusaha gigih bagi memastikan kecemerlangan berterusan UPM. Diharapkan segala khidmat bakti ke arah menjulang prestasi dan reputasi UPM di persada negara dan antarabangsa terlaksa. Semoga segala usaha yang dilakukan ini, akan memperoleh keberkatan daripada Allah dikira sebagai amal kebaikan dan sentiasa memperoleh keredhaan Allah SWT. Selamat Hari Pekerja semua dan selamat bercuti. Lindung diri, lindung semua.

 

Sekian, Wabillahi taufik wal hidayah, wassalaa mualaikum warohmatullahi wabarokaatuh.

 

 

YBHG. DATO’ PROFESOR DR. MOHD. ROSLAN SULAIMAN

Naib Canselor,

Universiti Putra Malaysia
1 Mei 2023

 

Date of Input: 05/05/2023 | Updated: 05/05/2023 | nazryhisham

MEDIA SHARING

OFFICE OF THE VICE CHANCELLOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
SXEbNAh~