NARATIF NAIB CANSELOR 2021 | OFFICE OF VICE CHANCELLOR
» ARTICLE » NARATIF NAIB CANSELOR 2021

NARATIF NAIB CANSELOR 2021

NARATIF NAIB CANSELOR 2021
OLEH YBHG. PROF. DR. MOHD ROSLAN SULAIMAN
NAIB CANSELOR, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
5 FEBRUARI 2021, JUMAAT, JAM 10 PAGI
“MENGGEMA SERUAN AL FALAH DARI MENARA ILMU”

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato' Seri DiRaja Syed Razlan Syed
Putra Jamalullail, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti

Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti

Ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti

Pegawai-pegawai Kanan Universiti

Pegawai-pegawai Universiti

Yang Di-Pertua dan Barisan Majlis Perwakilan Pelajar Staf dan mahasiswa mahasiswi universiti

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

1. Pertamanya, sukalah saya melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah Subhanahuwataala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, maka dapat kita bersama-sama meraikan majlis Naratif Naib Canselor pada pagi Jumaat yang penuh keberkatan ini. Saya ingin mengucapkan setinggitinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada warga Universiti Putra Malaysia, sama ada ahli akademik, pegawai kumpulan profesional dan pengurusan, kumpulan pelaksana dan para mahasiswa yang berkesempatan mengikuti naratif kali ini secara dalam talian.

2. Saya percaya, keadaan kini sangat jauh berbeza jika kita bandingkan dengan situasi sebelum ini. Inilah kali pertama dalam sejarah UPM Perutusan Tahun Baharu Naib Canselor disampaikan secara dalam talian sepenuhnya. Namun begitu, saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih lagi dapat meneruskan majlis ini dalam keadaan norma baharu, sederhana tetapi penuh makna. Alhamdulillah.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

3. Saya amat bersyukur kerana dapat menyampaikan perutusan tahun baharu kali pertama yang dinamakan Naratif Naib Canselor sejak dilantik ke jawatan Naib Canselor UPM yang kesembilan bermula 1 September tahun lalu. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada YB. Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi, kerana telah melantik dan memberi kepercayaan kepada saya untuk menerajui UPM yang kita sayangi ini. Saya yakin, sejak 100 hari pentadbiran saya, warga UPM tentunya teruja untuk mengetahui apakah aspirasi saya sebagai Naib Canselor UPM untuk mengemudi universiti agar terus cemerlang sebagai sebuah institusi keilmuan yang disegani. Dalam mengemudi teraju UPM saya mengingatkan diri saya akan kata-kata Saidina Abu Bakar As-Siddiq dalam ucapan pertama setelah dilantik sebagai khalifah. Antara lain kata beliau, “Jika aku berbuat baik sokonglah aku. Jika aku salah, maka luruskanlah aku. Benar adalah amanat dan bohong adalah khianat”.

4. Naratif Naib Canselor kali ini sangat istimewa kerana pada tahun ini UPM menyambut ulang tahun ke-50 penubuhannya sebagai sebuah universiti. Saya percaya sepanjang tempoh ini, UPM telah melakar banyak pencapaian dan kecemerlangan dalam pelbagai sudut, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai universiti yang terkemuka hingga ke persada antarabangsa. Walau bagaimanapun, kita tidak seharusnya alpa dengan tempoh dan pencapaian selama ini. Sebaliknya, kita perlu sentiasa berusaha memposisi duduk letak UPM ke tahap yang terbaik. Justeru, pada tahun ini juga kita telah menentukan hala tuju UPM untuk lima tahun lagi melalui Pelan Strategik UPM 2021-2025. Saya berharap pelan strategik yang telah hampir dimuktamadkan ini dapat kita kongsikan kepada warga UPM sedikit masa lagi. Insya Allah.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

PENCAPAIAN SEPANJANG 2020, TEKAD DAN KOMITMEN BERSAMA

5. Umum mengetahui bahawa 2020 adalah tahun vivere pericoloso, tahun sukar bagi semua warga dunia dengan penularan pandemik COVID-19. Malaysia tidak terkecuali daripada berhadapan dengan musuh yang tak kelihatan ini yang telah memberi kesan secara langsung kepada pelbagai sektor kritikal termasuk sektor pendidikan tinggi. Institusi Pengajian Tinggi termasuk UPM perlu membiasakan urusan harian kita dengan pembudayaan norma baharu dalam semua aspek operasinya termasuk Bekerja Dari Rumah.

6. Atas semangat juang yang tinggi, penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu sama sekali tidak menghalang UPM untuk terus memahat kecemerlangan pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua warga UPM yang sentiasa berdedikasi dan menunjukkan iltizam yang tinggi sehingga mencapai pelbagai kejayaan manis, meskipun berhadapan dengan cabaran norma baharu yang tidak kurang getirnya.

7. Apabila penularan pandemik COVID-19 berlaku seawal tahun lalu, pelajar adalah kumpulan yang paling terkesan. Pada awal pelaksanaan PKP Mac 2020, UPM telah menyantuni kebajikan dan kesejahteraan pelajar semasa berada di kampus kerana pergerakan mereka terbatas. Soal makan, minum dan keperluan asas disediakan oleh pihak universiti dengan sumbangan pelbagai pihak. Saya mewakili UPM merakamkan sedalamdalam terima kasih kepada semua penyumbang. Selain itu, UPM dengan kerjasama KPT, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berjaya melaksanakan Ops Penghantaran Pulang IPT, iaitu menghantar pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing bermula menjelang Hari Raya Aidil Fitri dengan Standard Operating Procedure (SOP) yang ketat. Seramai 1,732 orang pelajar UPM telah selamat dihantar pulang ke pangkuan keluarga mereka dari Perlis hinggalah ke Sabah. Saya berharap para pelajar yang terlibat dalam operasi ini tidak akan melupakan pengalaman ini dan bersyukur kerana dipermudahkan segala urusan sekali gus bersemangat untuk kembali ke kampus pada Mac nanti, Insya Allah.

8. Impak COVID-19 turut memberi kesan kepada proses pembelajaran dan pengajaran apabila pendekatan secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan. Tidak dinafikan, COVID-19 sebenarnya menjadi agen transformasi kepada pembelajaran dan pengajaran dalam talian khususnya di UPM. Dalam memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan oleh warga akademik UPM sewaktu krisis pandemik COVID-19, latihan berterusan melalui program webinar telah dilaksanakan di UPM sepanjang tahun 2020. Program webinar ini bertemakan “Online Learning for All” adalah inisiatif Pusat Pembangunan Akademik atau CADe untuk memberikan latihan secara berterusan kepada kepada pegawai akademik UPM. Selain itu, UPM Virtual Classroom and e-Assessment Guidelines telah disediakan sebagai garis panduan rasmi bagi pensyarah UPM apabila mengendalikan Virtual Classroom dan e-Assessment. Alhamdulillah, berdasarkan usaha ini, UPM terbukti bersedia mengamalkan norma baharu dalam konteks pembelajaran dan pengajaran dalam talian hasil perancangan dan komitmen tinggi kita.

9. Sebagai sebuah universiti penyelidikan, reputasi UPM terus diperkukuh dengan kecemerlangan tiga orang penyelidik UPM yang telah diangkat sebagai Top Research Scientist Malaysia 2020 oleh Akademi Sains Malaysia. Mereka adalah Prof. Dr. Ts. Khalina Abdan, Prof. Dr. Faridah Abas dan Prof. Ir Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan. Tahniah saya ucapkan.

10. Tahun lalu menyaksikan UPM terus merancakkan aktiviti penyelidikan dan inovasi. Dalam hal ini, penyelidik UPM telah berjaya mendapatkan pembiayaan penyelidikan, antaranya Long Term Research Grant Scheme (LRGS) melalui Program Penyelidikan Sustainable Production of Superior Coconut Planting Materials towards Improvement of Socioeconomic Well-being of Smallholder yang diterajui oleh penyelidik daripada Fakulti Pertanian bernilai RM4.1 juta. Satu lagi projek penyelidikan dengan dana pembiayaan sebanyak RM2.59 juta daripada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjaya diperolehi oleh penyelidik dari Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul melalui projek Construction of Recombinant Newcastle Disease Virus Expressing Receptor Binding Domain (RBD) Protein of Sars-Cov-2 Virus as a Vaccine Candidate. Tahun 2020 juga menyaksikan penubuhan Institut Ekosains Borneo (IEB) di UPMKB, sebuah institut penyelidikan khusus untuk memartabat dan merancakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan, khususnya di wilayah Borneo. Tahniah saya ucapkan.

11. Pelaksanaan PKP dan Bekerja dari Rumah memberi banyak ruang kepada akademia untuk menumpukan usaha kepada penghasilan penerbitan ilmiah. Pada tahun lalu, sebanyak 3,393 penerbitan jurnal terindeks telah direkodkan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,494 atau 44% adalah penerbitan dalam Jurnal Q1 dan Q2, berbanding 37.5% pada 2019. Pada tahun 2020, terdapat 8 artikel yang diterbitkan dalam jurnal Top 1% InCites JCR dan sebanyak 161 artikel dalam jurnal Top 10% InCites JCR berjaya diterbitkan oleh Pegawai Akademik UPM. Pencapaian ini menunjukkan komitmen dan kesungguhan penyelidik UPM dalam menghasilkan kertas penerbitan hasil penyelidikan yang diharapkan memberi impak kepada
kelestarian penyelidikan negara.

12. Selain penerbitan jurnal terindeks, UPM turut memberi perhatian kepada penerbitan buku karya asli, buku suntingan dan kertas polisi yang sememangnya menyumbang kepada perkembangan ilmu dan mempunyai nilai strategi kepada pihak berkepentingan. Tahun lalu menyaksikan penyelidik UPM telah menerajui projek penyelidikan yang berjaya menghasilkan satu kertas polisi yang berimpak tinggi, iaitu Pelan Induk Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa 2021-2025. Walaubagaimanapun, jumlah geran penyelidikan yang diperolehi pada 2020 sedikit menurun berbanding 2019, dan ini sememangnya telah dijangka kesan daripada COVID-19. Saya berharap para penyelidik UPM jangan berputus asa, sebaliknya akan terus meligatkan usaha dalam aktiviti penyelidikan dan inovasi ke arah penerokaan ilmu baharu demi kesejahteraan sejagat.

13. Dalam aspek pengkomersialan, kita sangat berbangga apabila para penyelidik UPM daripada 11 PTJ turut berjaya menghasilkan 15 inovasi baharu dan juga inisiatif dalam menangani masalah yang timbul akibat pandemik COVID-19. Inovasi dalam bentuk alat pelindung diri, teknologi digital, pensanitasi tangan mahupun pakaian pelindung keselamatan telah pun digunakan dan dapat membantu staf, petugas barisan hadapan UPM, komuniti mahupun agensi berkaitan. Malahan terdapat juga inovasi Remdii Sensitive (pelembap, pencuci badan dan syampu) yang merupakan teknologi pengkomersialan oleh Prof Dr Lai Oii Ming bersama syarikat pemula UPM, Lipidware Sdn. Bhd. yang telah digunakan di Hospital Leishenshan di Wuhan China bagi membantu petugas mengatasi isu yang timbul disebabkan pemakaian PPE yang terlalu lama dan mengakibatkan kulit kering, beruam serta mempunyai kesan reaksi alergi ketika “Wuhan Lockdown” di sana.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

14. Kecemerlangan inovasi hasil penyelidikan oleh penyelidik UPM turut merentasi bidang dalam sains sosial dan kemanusiaan. Kejayaan inovasi sosial ini boleh dilihat melalui pencapaian EDUBitS Sdn Bhd., syarikat pemula Putra Science Park, UPM memenangi geran pendanaan daripada Transformers Academy, Bank Pembangunan Islam berjumlah RM1.08 Juta untuk projek kelas pintar di sekolah dan institusi pendidikan. Pendanaan ini bertujuan membantu usahawan, pencipta dan pemimpin masyarakat dalam membantu komuniti dalam negara membangun dan maju bagi merapatkan jurang digital sekali gus mencapai matlamat SDG4, iaitu Kualiti Pendidikan. Untuk makluman semua, EduBITS Sdn. Bhd, dijayakan oleh sekumpulan pensyarah daripada Fakulti Pengajian Pendidikan, dan tahniah diucapkan kepada mereka.

15. Kita turut berbangga apabila buku-buku terbitan Pusat Penerbit UPM telah mula diindeks dalam pangkalan data Web of Science (WoS) bermula bulan Jun 2020. WoS yang dahulunya dikenali sebagai ISI Web of Knowledge merupakan salah satu pangkalan data rujukan terbesar dan utama dunia. Pada tahun 2020 sebanyak 60 buku telah dihantar untuk proses penilaian. Di samping itu, satu lagi kejayaan utama dan signifikan dengan impak tinggi dalam dunia penerbitan adalah apabila buku-buku terbitan Pusat Penerbit UPM sekali lagi diterima untuk diindeks dalam satu lagi pangkalan data terbaik dunia iaitu Scopus. Ini sekaligus menjadikan Pusat Penerbit UPM sebagai penerbit buku ilmiah pertama di Malaysia yang berjaya mengecapi kejayaan seumpamanya. Kejayaan ini akan meningkatkan keterlihatan buku-buku terbitan Pusat Penerbit UPM di persada antarabangsa apabila buku-buku pelbagai bidang menjadi rujukan penyelidik dari serata dunia serta meningkatkan impak sitasi. Syabas diucapkan kepada warga Penerbit UPM.

16. Selain itu, kita bersyukur kerana kekal meletakkan UPM setanding dengan universiti global yang lain apabila berjaya menduduki tangga ke-132 terbaik dunia menerusi QS World University Rankings 2021. Namun sedarlah tuan-tuan dan puan-puan bahawa ranking bukanlah matlamat, tetapi by product apabila kita semua melaksanakan amanat yang dipertanggungjawabkan. Apabila kita menjalankan pengajaran dan pembelajaran sebaik mungkin, maka ranking kita akan turut meningkat. Apabila kita menjalankan penyelidikan sedaya mungkin, maka ranking kita akan turut meningkat. Apabila kita melipatgandakan usaha penerbitan semampu mungkin, maka ranking kita akan turut meningkat. Apabila kita mengembangkan ilmu dan inovasi kepada masyarakat terbanyak bersungguh-sungguh, maka ranking kita akan turut meningkat.

17. Selain ranking universiti dunia, pada tahun ini, UPM telah mencatatkan pencapaian cemerlang dalam beberapa jenis ranking yang lain juga. Kita berada pada tangga ke-28 terbaik Asia dalam QS Asia University Rankings, serta tangga ke-10 terbaik dunia bagi universiti di bawah usia 50 tahun melalui QS Top 50 under 50. Oleh kerana kebitaraan UPM dalam bidang Pertanian, UPM juga boleh berbangga apabila disenaraikan pada ranking ke-42 terbaik Dunia dalam US News Best Global University Ranking for Agricultural Sciences serta berada pada kelompok ranking ke-50-100 terbaik dunia bagi subjek Agriculture Science. UPM juga cemerlang dalam ranking khusus yang menilai kampus hijau sesebuah universiti iaitu UI-Greenmetric World University Rankings di mana pada tahun ini, UPM berjaya mengekalkan kedudukan ke-28 terbaik dunia, ke-3 terbaik Asia dan pertama di Malaysia selama 11 tahun berturut-turut sejak 2010.

18. Pada masa kini, dunia amat menitik beratkan pencapaian 17 Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals, ringkasnya (SDGs) yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2015 bagi mencapai Agenda 2030. 17 matlamat utama SDGs ini juga telah dijadikan sebagai rujukan bagi kebanyakan organisasi sebagai inisiatif bagi mencapai kesejahteraan dunia. Oleh itu, terdapat juga ranking baharu yang menilai kepada pencapaian universiti dalam inisiatif yang menyokong 17 matlamat SDGs ini iaitu Times Higher Education Impact Rankings yang baharu diperkenalkan pada 2018. Pada tahun ini, UPM berjaya meletakkan kedudukannya pada kelompok 101-200 universiti terbaik dunia yang mengambil langkah proaktif bagi menyokong 17 matlamat SDGs tersebut.

19. Saya percaya banyak lagi kejayaan UPM yang tidak mampu saya nyatakan satu persatu di sini dalam tempoh masa yang singkat. Walaubagaimanapun, pencapaian yang sempat dikongsikan di sini, bukan sekadar memperkukuh kedudukan UPM sebagai universiti bereputasi tinggi, tetapi pada masa yang sama, dapat menggalas amanah sebagai barisan hadapan, khususnya dalam menyantuni cabaran COVID-19 dengan sebaik mungkin. Saya berharap kejayaan dan peranan UPM ini dapat diteruskan dan ditingkatkan seiring dengan visi, misi dan nilai penubuhan universiti yang kita dukung selama ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,

BANCIAN SUARA HATI PUTRA

20. Saya mengakui pelantikan saya sebagai Naib Canselor UPM berlaku dalam suasana luar biasa, iaitu ketika kita berhadapan dengan ancaman COVID-19. Justeru, saya tidak boleh bertindak berseorangan, sebaliknya memerlukan sokongan dan dukungan semua pihak. Saya mahu memastikan aspirasi dan hala tuju UPM biarlah mengambil kira hasrat dan suara hati warga universiti. Dalam hal ini, UPM melalui Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), telah mengusahakan satu kajian, iaitu Bancian Suara Hati Putra bagi menyantuni suara warga UPM tentang fokus dan hala tuju UPM yang sewajarnya diberikan perhatian.

21. Saya ingin berkongsi sedikit dapatan utama kajian ini. Hasil bancian mendapati antara fokus utama yang sewajarnya diberi perhatian oleh UPM pada tahun 2021 adalah keseimbangan kerja dengan kehidupan (work-life balance), lebih menjaga kebajikan staf dan pelajar, memberi fokus kepada keselamatan UPM, memperbanyakkan pembangunan staf melalui kursus atau latihan, dan memperkasa sistem dalam talian UPM. Terdapat responden yang menyarankan agar UPM lebih memudahkan urusan kenaikan pangkat staf, menekankan pembangunan sahsiah dan rohani, memfokus penjagaan kesihatan mental, meningkatkan kolaborasi UPM dengan industri dan menokok penjanaan pendapatan. Warga universiti turut merasakan UPM perlu terus menyerlahkan kebitaraannya dalam bidang pertanian dan makanan di Malaysia. Kesemua dapatan kajian ini akan diperhalusi dan saya berjanji akan berusaha menyantuni saranan yang telah diketengahkan ini sedaya mungkin dengan kerjasama semua pihak.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang budiman,

MEMACU UPM SEBAGAI MENARA ILMU

22. Penularan pandemik COVID-19 telah banyak mengubah landskap Institusi Pendidikan Tinggi pada peringkat global. UPM tidak terkecuali menerima kesan ini. Meskipun COVID-19 banyak disorot dalam perspektif negatif seperti ancaman kepada keselamatan insan dan ekonomi, pandemik ini sebenarnya telah membawa universiti kita kembali kepada peranan asal kita, iaitu universiti untuk masyarakat. Jika selama ini kita melaungkan gagasan Universiti untuk Masyarakat atau University for Society (U4S), inilah masa yang terbaik untuk kita kotakan apa yang dikatakan. Malah dapatan Bancian Suara Hati menuntut UPM perlu lebih menyumbang kepada masyarakat seiring dengan matlamat penarafan antarabangsa.

23. Melalui Naratif Naib Canselor kali ini saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan untuk kita berfikir sejenak kenapa universiti ini ditubuhkan. Apakah falsafah di sebalik penubuhan institusi ilmu seteguh UPM ini? Adakah untuk kita bangga-banggakan pencapaian dan pengiktirafan sehingga menjadikan kita semakin terpisah dengan realiti masyarakat? Atau kita perlu berpijak di bumi yang nyata untuk menjadikan UPM ini sebuah institusi yang cakna dan memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara?

24. Saya berpandangan, anjakan paradigma daripada ilmu untuk ilmu kepada ilmu untuk masyarakat dan negara perlu kita nobatkan. Kita tidak ada pilihan melainkan beralih daripada gagasan Menara Gading kepada Menara Ilmu. Menara ilmu yang dimaksudkan di sini ialah cara UPM diperkasakan menjadi institusi yang mempelopori penerokaan ilmu baharu melalui penyelidikan dan inovasi, penyampaian ilmu kepada pelajar melalui pengajaran dan pembelajaran, dan pemindahan ilmu kepada masyarakat melalui jaringan industri dan masyarakat. Justeru, saya memilih tema Menara Ilmu sebagai satu aspirasi dan hala tuju UPM agar terus kekal relevan, dihormati dan sentiasa dirujuk (atau 3 R, relevant, respected and referred).

25. Berpaksikan Menara Ilmu ini kita gemakan seruan Al-Falah kepada seluruh masyarakat. Dari Menara Ilmu ini kita mengajak semua anggota masyarakat untuk sama-sama berjalan beriringan menuju kejayaan hakiki, kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat. Dan dalam menyampaikan seruan Al-Falah ini kepada masyarakat kita perlu laksanakan dua tugas penting iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Dalam Surah Ali Imran ayat 110, Allah Taala berfirman yang bermaksud, “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan dari kalangan manusia, kerana kamu menyuruh melakukan kebaikan (makruf), dan kamu mencegah dari melakukan kejahatan (mungkar), dan kamu beriman kepada Allah”.

26. Bagi menggemakan seruan Al-Falah dari Menara Ilmu ini, naratif kali ini akan memberi fokus kepada lima strategi utama, iaitu Memacu Pertanian Berteknologi Tinggi, Membangun Karektor Graduan UPM, Melagang Kampus Pintar dan Pendigitalan, Mendukung Kelestarian Institusi Mapan dan Menatang Pembudayaan Norma Baharu. Saya percaya aspirasi dan hala tuju UPM ini selari dengan hasrat kerajaan, Amanat YB. Menteri Pengajian Tinggi dan Pelan Strategik UPM 2021-2025 untuk memastikan IPT khususnya UPM sentiasa dapat memberikan sumbangan bermakna kepada kemakmuran negara dan kesejahteraan sejagat.


Tuan-tuan dan Puan-puan warga UPM sekalian,

MEMACU PERTANIAN BERTEKNOLOGI TINGGI

27. Pertanian adalah nucleotides yang membina DNA UPM. Sejak penubuhannya Universiti ini mempunyai peranan utama untuk menangani secara langsung cabaran dan hala tuju sektor pertanian. Malah peranan ini terus diamanahkan kepada UPM sehingga kini. Kita perlu terus memainkan peranan utama mendepani cabaran berkaitan industri pertanian dan keselamatan makanan negara serta menerokai prospek pembangunan industri pertanian dengan menyediakan tenaga kerja terlatih. Berlandaskan sistem pendidikan negara, UPM menggalas tanggungjawab besar bagi melahirkan modal insan pertanian terlatih, berciri keusahawanan dan berupaya mengendalikan perundingan di mana saja, di samping menghasilkan teknologi pertanian baharu dan praktikal, hasil dari aktiviti penyelidikan dan pengkomersialan.

28. Bagi meligatkan lagi sumbangan UPM dalam sektor pertanian dan keselamatan makanan, tahun ini kita akan memberi tumpuan utama kepada transformasi pertanian melibatkan penggunaan teknologi terkini. Pertanian berteknologi tinggi ini melibatkan penggunaan drone, sistem pertanian pintar, kecerdasan buatan (AI) dan data raya dengan dibantu peningkatan penggunaan mekanisasi, benih bermutu yang rintang penyakit serta berdaya tahan tinggi daripada kesan perubahan iklim serta amalan agronomik mapan. Langkah ini akan dapat mengubah landskap sektor agromakanan negara dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang.

29. Bagi menjayakan hasrat besar ini, Malaysia memerlukan lebih ramai tenaga mahir yang mampu mengurus dan menjalankan pertanian berasaskan teknologi pertanian pintar. Selaras dengan itu, intervensi kurikulum program pertanian bagi memperkasakan bidang pertanian perlu dilaksanakan. Ia bertujuan untuk melahirkan graduan yang berkemahiran dengan teknologi terkini serta berpengetahuan dalam ilmu pengurusan perniagaan dan kewangan. Penambahbaikan kurikulum perlu dibuat agar mempunyai elemen Internet Benda (IoT), bersifat antaradisiplin, berorientasi pasaran (market driven) dan bercirikan Revolusi Industri 4.0. Selain daripada itu kurikulum juga perlu memenuhi keperluan industri dan teknologi pertanian moden. Sehubungan itu Universiti Putra Malaysia telah dipilih oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk membangunkan Program Bacelor Teknologi Pertanian Pintar untuk memenuhi hasrat menghasilkan graduan yang bakal menerajui sektor pertanian pintar negara. Program ini telah mendapat kelulusan Senat Universiti dan akan ditawarkan tidak lama lagi.

30. Konsep pertanian bersepadu melalui penggunaan teknologi tinggi dapat mengoptimumkan penggunaan sumber pertanian bersepadu bagi memaksimumkan kualiti hasil. Penggunaan mekanisasi dan automasi serta sistem pertanian pintar pada semua peringkat pengeluaran pertanian dapat mencorak pekerjaan dalam bidang pertanian menjadi lebih menarik dan cekap. Usaha ini direalisasi dengan pembentukan graduan yang peka dan berkemampuan menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian yang moden dan dinamik.

31. Program ini juga selaras dengan inisiatif Kerangka Kurikulum Tersedia Masa Hadapan antaranya dicirikan oleh sifatnya yang boleh lentur dan organik, iaitu sebuah kurikulum akademik yang tidak beku dan tegar, sebaliknya senantiasa hidup serta berkembang bagi memenuhi minat serta keperluan pelajar, sesuai dengan perubahan semasa. Usaha ini adalah bertujuan bagi melahirkan agroteknologi profesional dalam sistem pertanian pintar yang boleh mencorak pembangunan pertanian negara dalam membantu kelangsungan pembangunan ekonomi khususnya dalam sektor pertanian.

32. Saya berharap pertanian berteknologi tinggi UPM pada tahun ini boleh diarusperdanakan melalui empat strategi utama. Pertama, meningkatkan integrasi penyelidikan merentas bidang dalam usaha menghasilkan sesuatu inovasi berteknologi tinggi bagi memastikan inovasi tersebut dapat memberi impak yang maksima. Contohnya penggabungan kepakaran bidang pertanian, kejuruteraan dan teknologi maklumat dalam menghasilkan inovasi dalam sistem penderiaan dan automasi. Kedua, mewujudkan jerayawara model pertanian berteknologi tinggi di UPM dengan kerjasama pihak industri tempatan mahupun antarabangsa. Ketiga, pengeluaran produk teknologi tinggi jenama UPM yang berimpak. Keempat, pemerkasaan kumpulan bakat yang berketrampilan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan yang pantas bagi menggalakkan penciptaan produk atau teknologi baharu.

33. Melalui empat strategi ini Insya Allah kita akan dapat memperkasakan pertanian berteknologi tinggi di UPM. Dengan ini kita bukan sahaja memainkan peranan asal UPM malah melaksanakan suruhan Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam. Hadith riwayat Imam Ahmad dan Imam al- Bukhari bermaksud: “Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang daripada kamu ada sebiji benih tanaman, dan jika dia mampu untuk menanamnya sebelum terjadi kiamat maka tanamlah.

34. Agenda pertanian UPM akan diperkasakan lagi dengan peranan Taman Pertanian Universiti atau TPU. Saya melihat TPU mempunyai kebolehan dan keupayaan untuk mengelola pembangunan pertanian di Universiti Putra Malaysia secara keseluruhan. Justeru, saya berharap TPU perlu diberikan wajah baharu sesuai dengan jiwa dan roh pertaniannya melalui penstrukturan dan penjenamaan semula dan seterusnya diangkat sebagai pencorak dan pemikir teknologi pertanian dalam pengurusan utama universiti.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

MEMBANGUN KAREKTOR GRADUAN UPM

35. Kualiti graduan adalah manifestasi paling nyata terhadap kecemerlangan UPM. Melalui Pelan Strategik UPM 2021-2025, pembinaan karektor graduan UPM yang kental, unggul dan holistik akan menjadi fokus UPM dengan memberi tumpuan kepada aspek kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah yang bertunjangkan jati diri, patriotisme dan perpaduan. Dalam usaha merealisasikan pembelajaran fleksibel dan keperluan untuk melahirkan graduan yang kental berteraskan Revolusi Industri 4.0, UPM telah melancarkan inisiatif Transformasi Akademik yang merangkumi tiga aspek dalam kurikulum dalam penawaran program akademik iaitu rekabentuk semula kurikulum, kaedah penyampaian berinovasi dan penaksiran alternatif. Aspek rekabentuk semula kurikulum menghasilkan PUTRAFLEX yang memformulasikan kurikulum fleksibel yang bersifat boleh lentur dan organik untuk diimplementasikan di UPM. Kurikulum fleksibel ini akan membolehkan percantuman antara disiplin dan memberikan peluang kepada pelajar untuk mereka bentuk pengajian mereka.

36. Transformasi Akademik akan terus diperkasakan oleh CADe pada 2021, antaranya melalui inisiatif Dasar Pindah Kredit MOOC. Pelaksanaan inisiatif MOOC ini akan memberikan manfaat seperti memberi keluwesan dan kemudahan kepada pelajar UPM yang memilih pembelajaran melalui kaedah MOOC untuk memindahkan kredit kursus, memberi peluang kepada pelajar untuk memendekkan tempoh pengajian iaitu 30% daripada jumlah keseluruhan kredit bergraduat boleh diambil secara MOOC dan memperluaskan akses kepada kursus yang ditawarkan di UPM. Ini secara tidak langsung dapat menarik minat pelajar tempatan dan antarabangsa untuk mengikuti program pengajian di universiti kita.

37. Bermula 2021, entiti Hal Ehwal Pelajar dan Alumni akan memperkasa pendekatan pembangunan pelajar melalui Putra H.E.P.A, iaitu H untuk Holistic, E untuk Empowerment, P untuk Patriotism dan A untuk Advancement dengan lapan domain utama merangkumi kelestarian pertanian, pendigitalan, kesukarelawanan, kebolehpasaran graduan, pengantarabangsaan, keusahawanan, patriotisme dan perpaduan, dan kesejahteraan kehidupan (infografik).

38. Melihat kepada cabaran ekonomi semasa impak penularan pandemik COVID-19, isu kebolehpasaran graduan menjadi agenda utama Kementerian Pengajian Tinggi. Begitu juga dengan UPM. Universiti melalui Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) sentiasa mencari formula untuk meningkatkan kualiti dan daya saing bakal graduan. Berdasarkan Laporan Kajian Pengesanan Graduan yang dijalankan pada tahun 2019, peratusan kadar kebolehpasaran graduan bagi graduan UPM adalah sebanyak 91.2%, iaitu tertinggi berbanding Universiti Penyelidikan yang lain.

39. Kita yakin, melihat kepada keadaan semasa, tahun ini juga bakal menyaksikan perubahan bagi pelaksanaan program kerjaya secara dalam talian. Justeru, beberapa program yang telah dirancang bakal kita laksanakan, antaranya program di bawah dana PENJANA KPT-CAP yang berjaya diperolehi oleh UPM. Tiga (3) program yang telah diluluskan oleh KPT ialah Smart Farming & Fertigation System with Internet of Things (IoT), Aerial Mapping & Surveying Drone Proficiency dan Assured Drone Operation Proficient yang mana jumlah dana yang diluluskan bagi ketiga-tiga program tersebut ialah sebanyak RM 740,000.00.

40. UPM melalui CEM sangat komited dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui aktiviti keusahawanan. Inisiatif dan aktiviti keusahawanan yang mempunyai impak kepada pelajar giat dijalankan, walaupun pada tahun 2020 seluruh negara menghadapi kesulitan berikutan wabak COVID-19. Pada tahun 2021, pelbagai program dan platform perniagaan baharu telah dirancang bagi meningkatkan jumlah pelajar yang menceburi bidang perniagaan.

41. CEM akan mewujudkan satu lagi platform perniagaan baharu iaitu Putrabiz@buggy. Ia merupakan konsep perniagaan makanan bergerak menggunakan Kenderaan Buggy yang lazimnya digunakan di padang golf. Kenderaan ini akan diubahsuai untuk dijadikan sebagai Kiosk Makanan. Kaedah perniagaan ini diwujudkan bagi memberi suasana perniagaan yang lebih moden, mudah dan teratur. Putrabiz@buggy ini akan bergerak di sekitar kawasan kampus mengikut jadual dan tempat yang telah ditetapkan bagi memudahkan pelajar dan staf UPM membeli makanan.

42. Selain perniagaan PutraBiz@Buggy, satu lagi ruang perniagaan baharu yang akan diperkenalkan ialah Mobile Food Cart. Program dengan kerjasama pihak Celcom ini akan membantu pelajar daripada golongan asnaf menjalankan perniagaan yang akhirnya dapat membantu meringankan beban dan menampung perbelanjaan semasa dalam pengajian.

43. Selain itu, CEM juga mengambil inisiatif untuk menganjurkan program Inkubator Agro Top@UPM yang akan memberi fokus kepada penanaman secara fertigasi Rock Melon dan cili serta pemprosesan makanan. Kita berterima kasih kepada KPT yang telah menyediakan dana sebanyak RM50,000.00 untuk menampung keperluan dan bahan mentah bagi menjayakan program ini. Kita percaya program ini akan mengoptimumkan prestasi dan mewujudkan peluang kepada usahawan siswa untuk terus melestarikan perniagaan dengan inovasi dan penambahbaikan dalam produktiviti berkaitan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

MENDUKUNG KELESTARIAN INSTITUSI MAPAN

44. Sebagai sebuah institusi ilmu yang sudah bertapak begitu lama dipersada pendidikan tinggi negara dan antarabangsa, kita sedang berhadapan dengan cabaran yang cukup kompleks untuk meneruskan kelestarian institusi kebanggaan kita ini. Kini menjadi tanggungjawab kita bersama untuk meneruskan legasi kecemerlangan institusi ini. Kelestarian kita banyak bergantung kepada aspek tadbir urus, governan dan integriti yang kita pegang.

45. Dalam konteks ini, saya memberi jaminan demi memelihara martabat dan kedudukan universiti sebagai menara ilmu, aspek tadbir urus, governan dan integriti akan terus menjadi tiang seri pentadbiran UPM. Sebagai langkah awal, universiti telahpun menjenamakan dan menaik taraf Unit Integriti, Pejabat Naib Canselor menjadi Bahagian Governan dan Integriti mulai 2 Disember 2020. Antara lain tujuan penubuhan bahagian baharu ini, ialah untuk merintis usaha ke arah mengoptimumkan struktur, skala dan model operasi Universiti selaras dengan matlamat strategik serta Transformasi Pengurusan Lean yang diamalkan oleh Universiti. Dengan perubahan ini diharap aspek tadbir urus dan governan universiti akan sentiasa berada pada kedudukan yang teratur berpaksikan kepada amalan integriti yang tinggi dalam kalangan warga UPM.

46. Pada masa yang sama, saya juga ingin menarik perhatian semua kepada Matlamat Pembangunan Mampan yang telah diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah menggariskan tiga prinsip utama tadbir urus yang baik, iaitu keberkesanan, akauntabiliti dan keterangkuman. Keberkesanan dalam tadbir urus diukur melalui pencapaian yang berlaku dalam sebuah organisasi tersebut. Tadbir urus yang mampu memberi kesan adalah tadbir urus yang mengutamakan kesejahteraan pemegang taruh. Tadbir urus ini akan mampu meningkatkan kualiti kerja, menghasilkan perkhidmatan yang baik dan pendidikan yang berkualiti.

47. Prinsip akauntabiliti dalam tadbir urus pula menekankan bahawa seluruh organisasi bertanggungjawab dengan tindakan yang telah dilaksanakan. Setiap pihak dalam organisasi tersebut perlu menerapkan nilai amanah atau integriti dalam diri masing-masing supaya prinsip akauntabiliti ini boleh dicapai dengan jayanya. Nilai integriti dalam tadbir urus ini juga mampu
memelihara ekonomi dengan mengurangkan ketirisan. Tadbir urus yang baik juga menekankan prinsip keterangkuman yang bertujuan agar tidak ada pihak yang terpinggir kerana perbezaan jantina, status mahupun kedudukan. Prinsip ini menekankan bahawa setiap individu mempunyai hak untuk memberi pandangan atau berkongsi idea untuk meningkatkan prestasi dan kualiti sesebuah organisasi.

48. Sehubungan dengan tadbir urus yang baik, sukacita saya maklumkan, universiti akan menjenamakan semula Indeks Kegembiraan Warga UPM (Happiness Index) yang telah dilaksanakan selama ini kepada Indeks Kesejahteraan Warga UPM. Indeks yang akan dilaksanakan oleh IPSAS ini akan mengukur tahap kesejahteraan warga UPM secara menyeluruh sekali gus bagi menyokong inisiatif Work-Life Balance (WLB). WLB adalah inisiatif yang menjadi neraca semak imbang terhadap nilai hidup seseorang individu staf. Sudah sampai masanya WLB dijadikan asas dan rukun pekerjaan kita di UPM.

49. Tuntasnya, tadbir urus yang cekap dan berkesan adalah bagaimana kita bersama-sama mengurus dan menangani perubahan sekali gus dapat meningkatkan tahap kecemerlangan prestasi diri dan universiti seterusnya memenuhi tuntutan para pemegang taruh. Justeru pada 2021 ini, kita akan memberi penekanan yang serius kepada aspek mempermantapkan integriti, mewujudkan pembangunan yang seimbang, mengatasi segala kelemahan yang ada dalam sistem penyampaian perkhidmatan terutamanya melalui kaedah pendigitalan perkhidmatan universiti, memperkasakan persekitaran budaya kerja yang lebih positif dan proaktif serta sentiasa mengutamakan aspek pengurusan risiko yang efektif demi kelestarian universiti.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

MENOKOK PENDAPATAN UNIVERSITI

50. Meskipun UPM adalah universiti awam yang bergantung kepada dana kerajaan, kita perlu menjana pendapatan sendiri. Antara langkah proaktif pada 2020 yang akan diteruskan pada tahun ini bagi menjana kewangan dalaman adalah melalui program Penjualan Nombor Pendaftaran Khas UPM dengan prefiks UPM. Alhamdulillah, walaupun dalam keadaan ekonomi semasa dalam tempoh kurang daripada 3 bulan, jualan nombor pendaftaran hampir mencecah RM1 juta ringgit. Terima kasih diucapkan kepada semua warga kampus dan alumni yang menyokong dengan membida nombor pendaftaran UPM.

51. Pada kesempatan ini, marilah kita sama-sama menyokong usaha universiti ini untuk kita pamerkan rasa bangga menerusi nombor prefiks UPM pada kenderaan kita yang akan memacu megah dan berhemah di jalan raya. Pihak pengurusan secara prinsipnya telah memperkenalkan skim potongan gaji secara bulanan kepada semua staf UPM untuk membeli nombor pendaftaran UPM bermula pada bulan Januari 2021 . Skim ini diperkenalkan supaya supaya tuan/puan turut menyokong dan memberi sumbangan ke atas usaha murni ini.

52. Secara menyeluruh, bagi meningkatkan penjanaan pendapatan UPM, Enam Strategi Pemakmuran Aktiviti Penjanaan Kewangan 2021 diperkenalkan. Pertama, Memperkasa peranan Jawatankuasa Penjanaan Pendapatan Universiti yang bertanggungjawab untuk menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan penjanaan pendapatan Universiti. Kedua, Mengimarahkan semangat menyumbang semula (giving back) alumni UPM kepada alma mater. UPM sedang giat meningkatkan dana biasiswa melalui sumbangan alumni. Hanya dengan RM12.00 sebulan selama 3 tahun melalui sumbangan seramai 35 kelompok Alumni, akan dapat menaja seorang pelajar Diploma.

53. Ketiga, Memperkukuh dan mempergiatkan capaian aktiviti wakaf dan endowmen Pusat Wazan UPM kepada syarikat-syarikat gergasi dan GLC di dalam negara dan luar negara. Wazan perlu terus mengenal pasti dan menarik minat agensi atau pihak swasta yang berpotensi untuk menyumbangkan dana. Keempat, UPM juga akan memberikan sokongan Peruntukan Modal Awalan, Pendahuluan atau ‘Seed Capital’ . Langkah modal awal atau bagi mendahulukan pembayaran sesuatu aktiviti penjanaan baharu yang berimpak tinggi.

54. Kelima, Satu PTJ Satu Pendanaan. Setiap Pusat Tanggung Jawab (PTJ) mempunyai projek pendanaan berimpak tinggi. Setiap PTJ perlu menjiwai sepenuhnya semangat universiti berstatus autonomi bagi menjana pendapatan sendiri. Sebagai contoh, setiap fakulti wajib mempunyai program academic excellent yang dapat memberikan pulangan keuntungan kepada pengoperasian jabatan di fakulti berkenaan. PTJ seperti Muzium Warisan Melayu dan Putra Science Park perlu menyediakan Businees Plan yang anjal bersesuaian dengan pasca pendemik COVID-19.

55. Keenam, mewujudkan Rumah Cetak Pusat Penerbit UPM. Rumah Cetak ini akan menjadi pusat percetakan utama universiti dan akan memberi pelbagai manfaat pada peringkat pengurusan universiti dan manfaat kepada pengarang, penerbit dan pelajar. Sebagai pelanggan utama universiti, golongan pelajar tidak perlu lagi mencetak tesis dengan pencetak luar yang mana ini akan memudahkan lagi urusan mereka. Manakala bagi pihak Pusat Penerbit UPM, hak cipta bagi setiap penerbitan buku dan tesis akan dapat dipelihara. Bagi pihak pengarang, Rumah Cetak Pusat Penerbit UPM ini diharap akan dapat memudahkan lagi proses penjualan selari dengan permintaan buku. Ini adalah kerana permintaan bagi buku dapat diproses sendiri secara dalaman dan proses akan berjalan dengan lebih cepat, lancar dan mematuhi ketepatan waktu cetak. Kos percetakan akan turut menurun dan lambakan buku yang tidak terjual akan dapat dihindari. Segala proses ini bermatlamat untuk menambah lagi keterlihatan, mengurangkan kos dan membantu penjanaan pendapatan Pusat Penerbit UPM.

Tuan-tuan dan puan-puan,

MENJULANG BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU TINGGI

56. Selain berfokus kepada aspek pendanaan, Rumah Cetak Pusat Penerbit UPM juga menggalas amanah besar dalam penerbitan korpus keilmuan dari pelbagai disiplin yang ditawarkan oleh UPM. Dalam mendepani cabaran global yang berpaksikan kecanggihan teknologi serta penyaluran maklumat kepada masyarakat terbanyak dapat disebarluaskan secara maksimum, saya berpandangan bahawa UPM perlu kembali menyusun strategi dalam memastikan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi terus diperkasakan. Sebagaimana yang telah saya nyatakan sewaktu sambutan Dekad Bulan Bahasa Kebangsaan 2020 yang lalu, IPT perlu kembali sebagai institusi yang mendukung kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang mampu menawarkan perkongsian maklumat pada tahap tinggi sehingga ke peringkat antarabangsa. Bagi menzahirkan komitmen ini, UPM telah mewujudkan jurnal berbahasa Melayu yang akan menyediakan ruang kepada para akademia menerbitkan hasil penyelidikan dan berkongsi kepakaran mereka dalam jurnal berbahasa kebangsaan ini.

57. Hal ini akan menampakkan keterlihatan UPM dalam mengangkat dan menjulang tinggi kedudukan bahasa Melayu di persadanya sebagaimana yang diperuntukan dalam perlembagaan Malaysia Artikel 152. Sejajar dengan itu, bagi para akademia yang berhasil menerbitkan penerbitan dalam bahasa Melayu sama ada dalam buku akademik atau jurnal akan memperoleh merit atau bonus dalam permohonan kenaikan pangkat mereka. Ini adalah komitmen saya dalam memastikan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi terus disuburkan.

58. Di samping itu, saya mengharapkan agar maklumat yang memperlihatkan kebijaksanaan dan daya fikir tinggi masyarakat terdahulu yang dirujuk sebagai kearifan tempatan perlu dikongsikan. Kelestarian warisan yang menjadi khazanah bangsa perlu dipulihara kerana membekalkan pelbagai maklumat yang perlu difahami dan diketahui khususnya oleh generasi muda.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang budiman,

MELIGAT PEMBANGUNAN BAKAT

59. Dalam keadaan dunia yang dikatakan volatile (volatility), tidak menentu (uncertainty), rumit (complexity) dan tidak pasti (ambiguity) atau digelar VUCA ini, peranan sumber manusia dilihat tetap penting dalam mencapai objektif organisasi. Di sebalik penerobosan kecerdasan buatan dalam setiap sudut dan ruang kehidupan pada era Revolusi Industri 4.0 ini, kepintaran bakat masih tetap signifikan dalam memastikan kelangsungan organisasi. Kita percaya setiap orang mempunyai bakat dan kebolehan tersendiri. Kata cendekiawan silam,

Yang buta menghembus lesung,
yang pekak membakar meriam,
yang bisu menyimpan rahsia,
yang tempang menjaga tongkat,
yang kurus menjaga lauk,
yang gemuk mengimbang perahu”.

Apa yang penting ialah bagaimana bakat itu kita uruskan.

60. Pengurusan bakat yang cekap dan efisien menjadi nadi kecemerlangan UPM. Untuk itu inisiatif dan strategi Lonjakan Kedua: Kecemerlangan Bakat, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025 (Pendidikan Tinggi) menjadi panduan UPM untuk meningkatkan bakat komuniti akademik agar menjadi lebih relevan, wibawa dan disegani. Pada masa yang sama bakat dari kelompok pengurusan dan profesional serta pelaksana terus diperkukuh dan diperkasakan demi memastikan tadbir urus universiti berada pada landasan sebenar dalam proses merealisasikan hasrat UPM dan negara.

61. Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi (Competency-Based Talent Management) yang telah dimulakan pada tahun 2019 dan diteruskan pada tahun 2020 akan dikembang luaskan merangkumi semua bidang sumber manusia setelah kita berjaya menunjukkan hasil positif terhadap pelan penggantian. Rangka kerja kompetensi mengikut bidang sumber manusia ini akan menjadi teras kepada tindakan bagi mengenal pasti, menarik, membangun dan mengekalkan bakat terbaik di UPM. Bagi menyokong pelaksanaan ini, ia banyak bergantung kepada sistem yang berperanan sebagai tulang belakang perjawatan. Sistem Human Resources Transformation (HRT) dan sistem pengurusan bakat lain yang sedang disiapkan dan ditambaik baik oleh Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC) bagi menggantikan sistem e-IHRAMS perlu disegerakan.

62. Pelaksanaan pelan penggantian berasaskan kompetensi akan ditambah baik dengan memastikan pemimpin akademik yang kompeten dinilai secara holistik bagi maksud kemajuan kerjaya dan kenaikan pangkat. Pendekatan ini tentunya akan memberi lebih keadilan kepada pegawai akademik apabila dinilai secara menyeluruh dan bukannya difokuskan kepada kriteria tertentu sahaja. Sebagai contoh, kecemerlangan mereka dalam pembangunan pelajar serta jaringan industri dan masyarakat sewajarnya diambil kira sebagai satu sumbangan yang penting lagi berimpak tinggi setanding aspek penerbitan dan penyelidikan.

63. Jaringan dan hubungan akrab UPM dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Kementerian Pengajian Tinggi dijangka terus dieratkan melalui siri-siri libat sama (engagement series) dan program bersama untuk faedah dan situasi menang-menang kedua-dua institusi. Peranan dan fungsi pembangunan bakat UPM pasti mendapat faedah secara langsung daripada program dan aktiviti bersama Jawatankuasa Sumber Manusia Universiti Awam dan jaringan pengurus bakat universiti awam. Keahlian dan penglibatan aktif dalam kedua-dua platform ini membolehkan perkongsian dan percambahan idea, pembangunan inisiatif dan strategi serta pelaksanaan program bakat secara kolektif pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa dalam kalangan 20 universiti awam.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

MELAGANG KAMPUS PINTAR DAN PENDIGITALAN

64. Sejajar dengan memperkasakan lagi agenda kerajaan digital, UPM melalui Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC) telah merangka serta menyelaras strategi penyampaian perkhidmatan UPM pasca-COVID-19. Dengan meningkatnya mobiliti dan keterhubungan, UPM telah pun menerajui pelan transformasi digital untuk kampus pintar melalui pelaksanaan penggunaan kad-maya sebagai identiti pengenalan staf dan pelajar yang dikenali sebagai Putra®VID yang berasaskan persekitaran telefon pintar serta dilengkapi dengan sistem kawalan pengenalan identiti menggunakan teknologi kod QR.

65. Aplikasi Putra®VID ini adalah langkah pertama UPM merealisasikan kampus pintar melalui adaptasi teknologi berasaskan IoT. UPM merupakan universiti pertama yang telah berjaya melaksanakan penggunaan identiti maya ini dengan jayanya. Kita harus berbangga dengan pencapaian ini. Tahun 2021, fokus universiti akan diberikan kepada usaha pendigitalan kampus yang melibatkan sistem Pengajaran dan Pembelajaran, pentadbiran serta penyampaian dengan memanfaatkan Revolusi Industri 4.0.

66. UPM akan terus merekayasakan beberapa inisiatif dan strategi pelaksanaan kampus pintar bagi tempoh 2021-2025 dalam menyokong dan memastikan perancangan kampus digital direalisasi sebaik mungkin. Usaha ke arah pendigitalan ini telah digerakkan melalui 30 inisiatif kampus pintar yang meliputi empat kluster iaitu Digital Learning, Smart Manage, Secure
Campus dan IoT Application. Semua inisiaitif kampus pintar ini akan dijenamakan dengan nama Smart PUTRA® .

67. Telah kita maklumi bahawa pendemik COVID-19 telah memberi impak kepada semua warga Universiti. Dalam persekitaran norma baharu dialami negara ketika ini, sesuatu perlu dilakukan bagi memudahkan urusan pengajaran dan pembelajaran mahasiswa. Kekangan pelajar tidak dapat menggunakan kemudahan makmal komputer di kampus disebabkan keperluan SOP COVID-19, memerlukan persekitaran makmal sedia ada untuk lebih fleksibel bagi menyokong pengajaran mudah alih. Melalui pendigitalan smart campus, inisiatif Smart Putra VDI (Virtual Desktop Infrastructure) akan dibangunkan di setiap fakulti. Kaedah pendigitalan ini dapat membantu menyediakan pelbagai variasi pengajaran untuk keperluan kursus yang berbeza dan proses kemaskini lebih mudah dilaksanakan dengan cepat. Smart Putra VDI ini telah diimplementasikan di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat .

68. Smart Putra Future Classroom (PFC) pula akan terus diperkasakan. Bermula dengan Fakulti Pengajian Pendidikan yang merupakan perintis kepada pelaksanaan PFC, inisiatif ini akan digerakan ke setiap fakulti sekurang-kurangnya satu fakulti satu PFC dengan hasrat dapat memberi ruang kemudahan kepada pensyarah dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara inovatif. Pengwujudan Makerspace dan Thinkerspace di Fakulti Kejuruteraan juga telah melonjakkan lagi inovasi dalam pengajaran di UPM.

69. Norma baharu kini ini juga telah menginspirasikan ruang pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara maya dalam masa nyata (live virtual classroom) melalui inisiatif Smart Putra VR Teaching. Pelajar dapat merasai pengalaman berbeza menggunakan audio video yang membuatkan seseorang itu seolah-olah berada di lokasi sasaran. Implementasi inisiatif ini telah digerakkan oleh Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Fakulti Pengajian Pendidikan dan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar serta Hospital Pengajar UPM (HPUPM) akan dijadikan sebagai pilot projek.

70. Bagi PdP Putra Massive Open Online Course (PutraMOOC), pihak CaDE telah memperkasakan lagi penawaran kursus online dengan penambahan kepada 30 kursus ke arah menggalakkan pengalaman pembelajaran generasi baru. Smart Putra EduCloud yang berkonsepkan teknologi Cloud Computing merupakan salah satu inisiatif pendigitalan dalam PdP juga akan direalisasikan bagi melonjakkan UPM menjadi antara universiti terawal mempunyai kemudahan satu server satu pelajar. Inisiatif ini akan digerakan oleh Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat serta Fakulti Kejuruteraan.

71. Usaha pendigitalan kampus ini pastinya memerlukan ketersediaan kemudahan Internet berkapasiti tinggi. Berdasarkan keperluan tersebut, UPM akan meningkatkan kapasiti jalur lebar daripada 3.8Gbps kepada 10Gbps pada awal tahun 2021. Smart Putra Premium iaitu internet berkelajuan tinggi akan diwujudkan di beberapa lokasi hotspot di semua kolej kediaman. Ini akan dapat memastikan usaha ke arah konsep kampus tanpa tunai, penggunaan aplikasi bacaan kod Respons Pantas (QR Code) dan perkhidmatan mudah alih kepada seluruh warga universiti dapat dijayakan.

72. Keperluan menaiktaraf Infrastuktur ICT Rangkaian Komputer yang merupakan infrastruktur paling penting untuk menjayakan implementasi pendigitalan kampus juga akan diperkasakan melalui inisiatif smart campus UPMNet4.0 yang menumpukan reka bentuk hampir 100% capaian pengguna secara wireless (wireless campus). Ini akan meletakkan UPM untuk berada dalam kelompok awal Institusi Pendidikan Tinggi yang tersedia dengan kemudahan BYOD (Bring Your Own Device) dan mengadaptasikan konsep IoT (Internet of Thing) dalam kemudahan kampus. Inisiatif ini dilihat dapat menampung keperluan norma baru pembelajaran secara dalam talian yang terus meningat terutamanya ketika penularan wabak COVID-19. Jawatankuasa Pengurusan Universiti bersetuju meluluskan cadangan projek ini secara berperingkat mengikut fasa dengan peruntukan RM10 juta pada tahun 2021, dan RM10 juta lagi pada tahun 2022.

74. Pelaksanaan pendigitalan kampus merupakan satu anjakan besar yang memberi cabaran baharu kepada kita semua. Kita perlu senantiasa cakna dan bersedia untuk melakukan perubahan seiring dengan transformasi digital untuk kekal berdaya saing. Ini termasuk inisiatif perpustakaan digital melalui Portal EZAccess, Portal Discovery@Lib, Portal eTheses, “PSAS UPM Mobile Application”. Usaha pihak Perpustakaan Sultan Abdul Samad dalam pendigitalan ini dapat dilihat melalui perancangan future setting – knowledge centre yang merangkumi enam inisiatif iaitu Information Kiosk, Book Vending Machine, Drive Thru Service untuk peminjaman dan pemulangan buku, Enhance and Increase Digital Content, Virtual Reality Application dan Online Information Literacy Programme.

75. Kini pendigitalan adalah keutamaan utama bagi organisasi. Pihak Pengurusan Universiti menyedari bahawa UPM perlu menjadi lebih berkembang sebagai organisasi dan transformasi digital adalah sistem sokongan terbaik untuk mencapainya. Untuk menyokong perubahan ini, beberapa inisiatif di bawah kluster smart manage seperti PutraEvent, PutraVoting, PutraBus, PutraFace, PutraVisitor, PutraEduCloud dan PutraRepo akan disediakan.

76. Melalui inisiatif sokongan ini perkhidmatan universiti seperti kehadiran kuliah, aktiviti universiti, peminjaman buku di perpustakaan tanpa kaunter peminjaman, pengurusan aktiviti pelajar, proses pemilihan MPP secara mobile, menguruskan data profil dan pandangan pelanggan yang berurusan dengan universiti serta perkhidmatan lain dapat dilaksanakan secara mudah alih kepada seluruh warga universiti dengan jayanya.

77. Sebagai contoh Smart PUTRA® BUS iaitu aplikasi pintar yang mengoptimasikan jadual pergerakan bas kampus, mengesahkan penumpang, merekod jumlah penumpang serta melaporkan statistik secara ’live’ dan terus kepada pusat kawalan. Dengan adanya akses ke masa nyata perjalanan bas ini, pelajar dapat mengetahui maklumat pergerakan, ketibaan dan pelepasan bas seterusnya memudahkan mereka untuk merancang perjalanan urusan pengkuliahan masing-masing. Menariknya PUTRA® BUS ini turut memberi perkhidmatan jalur lebar percuma kepada penumpang di dalam bas (anywhere, anytime & any device). Melalui inisiatif pendigitalan bas kampus ini, akan dapat membantu pihak universiti untuk memantau setiap pergerakan dan kelajuan serta merekod setiap peta corak pergerakan bas bagi membuat keputusan menerusi predictive analytics bagi meningkatkan lagi kecekapan pengurusan bas kampus pada masa akan datang. Ini adalah trend; kita tidak boleh menyekat apa yang berlaku. Di China, mereka menggunakan aplikasi walaupun hanya untuk meminjam basikal, tanpa tunai.

78. Aplikasi Internet of Things (IoT) adalah pemain utama dalam IR4.0 dan universiti melihat ada keperluan untuk mengadaptasikan teknologi IoT ini dalam memperkasakan bidang pertanian. Menerusi penggunaan IoT, konsep smart farming atau pertanian pintar dalam pertanian dapat dikawal selia secara mobile melibatkan aspek penjagaan, siraman air, membaja, meracun dan sebagainya. Fakulti Pertanian bersama Taman Pertanian Universiti dengan kerjasama iDEC dan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat serta Fakulti Kejuruteraan akan turut sama membangunkan sistem serta aplikasi dalam pendigitalan bidang pertanian ini. Fertigasi merupakan salah satu tanaman yang mudah untuk didigitalkan. Pihak kolej kediaman boleh mempelopori usaha ini melalui 1 kolej 1 pertanian dengan mengusahakan Smart Farming & Fertigation with Internet of Things (IoT). Banyak kelebihan dalam teknologi IoT ini antaranya boleh mengelakkan berlakunya kecuaian melibatkan pekerja dan dapat menjimatkan penggunaan baja atau racun perosak di samping ianya boleh dipantau di mana-mana secara mobile. Benarlah kata orang, ‘Dengan iman hidup jadi terarah, dengan seni hidup jadi indah, dengan teknologi hidup jadi mudah’.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

MENATANG PEMBUDAYAAN NORMA BAHARU

79. Seperti mana yang kita sedia maklum, penularan pandemik COVID-19 telah mengubah landskap kehidupan manusia sejagat. Cara kita bekerja danmengurus urusan seharian berubah dengan pembudayaan norma baharu yang mementingkan keselamatan insan. Pembudayaan norma baharu ini menggunakan pendekatan CAPP, iaitu CEGAH, AMALKAN, PATUHI dan PANTAU dengan mensasarkan individu, keluarga dan komuniti dalam mencegah penularan COVID-19. Pembudayaan Norma Baharu telah dilancarkan pada peringkat negara dan KPT pada tahun lalu. Seperti universiti lain, UPM dari semasa ke semasa telah menyediakan laporan Pembudayaan Norma Baharu kepada KPT sebagai sokongan kepada inisiatif ini.

80. Seperti sektor lain, sektor pengajian tinggi khususnya universiti terkesan daripada penularan pandemik COVID-19. Semua aktiviti universiti mengalami perubahan besar kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penjarakan fizikal. Ini termasuk aspek dalam pembelajaran dan pengajaran, penyelidikan dan inovasi serta jaringan industri dan masyarakat. UPM masih beradaptasi dengan norma baharu ini dan berharap universiti akan terus cemerlang dan kukuh kedudukannya sebagai institusi keilmuan dan Menara Ilmu.

81. Dalam konteks dalam UPM, usaha kita memartabatkan pembudayaan norma baharu ini bukan sahaja untuk memastikan kesihatan warga universiti terpelihara, tetapi menjamin kelangsungan operasi universiti agar terus lestari dan berdaya tahan pada masa akan datang. Dalam hal ini, aspek pengurusan risiko dan komunikasi krisis semakin kita perkukuhkan. Pada masa yang sama, UPM akan terus memanfaatkan Pasukan Tindakan Kecemasan atau ERT untuk menangani pelbagai situasi kecemasan yang melibatkan keselamatan warga kampus secara sistematik.

82. Penularan pandemik COVID-19 telah mencetuskan suasana yang luar biasa. Justeru, kita mesti juga bertindak secara luar biasa. Pada hemat saya, inilah peluang keemasan kepada kita untuk ‘reset’ gaya pentadbiran dan cara penyampaian perkhidmatan UPM agar lebih berkesan dan memberi manfaat kepada pihak berkepentingan. Kita tidak boleh menjadikan pandemik sebagai alasan untuk tidak memberikan perkhidmatan terbaik. Sebaliknya, kita perlu berfikir di luar kelaziman bagi memastikan urusan pentadbiran dan cara penyampaian perkhidmatan kita berjalan dengan lancar. Kita mesti belajar cara baharu dan luar biasa bagi menghadapi saat luar biasa ini.

83. Selain itu, saya percaya bahawa pembudayaan norma baharu bukanlah halangan atau kekangan untuk kita memperkukuhkan sumbangan UPM dalam aspek keintelektualan dan kemasyarakatan. Semasa tempoh pelaksanaan PKP, kita berpeluang untuk merancakkan budaya debat dan wacana intelektual dengan penganjuran webinar sama ada di peringkat universiti atau PTJ. Jika dahulu mungkin kita berhadapan dengan sedikit kekangan untuk menganjurkan siri wacana sebegini seperti faktor logistik, tetapi kini hanya dengan sentuhan jari-jemari, kita boleh berdiskusi secara dalam talian tanpa sedikit pun mengurangkan kualiti perbahasan dan wacana. Saya percaya, jika kita berjaya mengekalkan momentum budaya wacana dan keintelektualan ini, kita mampu mewujudkan amalan budaya tinggi dalam kalangan warga UPM.

84. Seiring dengan pembudayaan norma baharu ini, dan sebagai sebuah universiti penyelidikan, kita perlu menawarkan kaedah baharu dalam aktiviti penyelidikan mahupun jaringan. Tidak dinafikan, penularan COVID-19 telah memberikan kesan kepada kesinambungan aktiviti penyelidikan di UPM. Ia telah menjejaskan kajian yang memerlukan penyelidik untuk mengumpul maklum balas bersemuka dari golongan sasar dan subjek kajian di lapangan, sehinggalah kepada penyelidikan fizikal yang menggunakan makmal, tumbuhan dan haiwan hidup. Ini bukan sahaja menyukarkan pelajar siszawah dan tenaga penyelidik sedia ada, malah ia juga menyebabkan sesetengah pelajar siswazah menangguhkan keputusan untuk meneruskan pengajian buat masa ini.

85. Sungguhpun tahun 2020 menyaksikan peningkatan output penerbitan, sitasi dan metriks output penerbitan lain yang memberangsangkan, UPM perlu merancang strategi jangka masa pendek, dan jangka masa panjang untuk memperkasakan agenda penyelidikan, serta meminimumkan kesan pandemik COVID-19 ke atas aktiviti penyelidikan. Sehubungan itu, pihak Universiti akan melaksanakan inisiatif khusus untuk mengukuhkan pendanaan projek penyelidikan UPM, khususnya penyelidikan yang melibatkan pelajar siswazah. Inisiatif ini juga akan membantu mengekal dan menaikan bilangan pelajar siswazah mod penyelidikan di UPM. Tawaran Geran Inisiatif Putra Siswazah akan diperhebatkan lagi pada tahun 2021. Ini juga akan menyuntik semangat tenaga akademik UPM untuk terus menyumbang ilmu dan tenaga bagi memartabatkan UPM sebagai salah sebuah Universiti Penyelidikan yang unggul.

86. Dalam konteks jaringan industri dan masyarakat pula, beberapa pendekatan baharu akan diperkenalkan, antaranya penjenamaan program penasihat industri di PTJ kepada CEO@PTJ. CEO dalam program ini dilihat sebagai ikon kepada pelajar dan mereka akan dapat meningkatkan prestasi kurikulum sedia ada melalui perkongsian pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik yang dimiliki CEO berkenaan ke arah membentuk suatu penilaian bersepadu yang baharu menerusi pembelajaran holistik. Program ini juga diharap mampu mempergiatkan penglibatan sektor industri untuk menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan tinggi kebangsaan menerusi perkongsian pengalaman dan kepakaran pemimpin industri.

Tuan-tuan dan Puan-puan warga UPM yang dikasihi,

SAMBUTAN JUBLI EMAS UPM

87. Seperti yang saya nyatakan pada awal ucapan ini, tahun ini kita mengadakan Sambutan Jubli Emas UPM sempena 50 tahun penubuhan Universiti Putra Malaysia. Sambutan ini diadakan bagi menggambarkan semangat gigih, keteguhan dan iltizam warga kampus sepanjang tempoh 50 tahun pembangunan universiti dalam usaha merealisasikan visi UPM sebagai universiti bereputasi antarabangsa, meluaskan jaringan hubungan yang berterusan di antara pemegang taruh dengan UPM dan memupuk semangat kekitaan, kebanggaan dan menyumbang kembali alumni kepada alma mater.

88. Pelbagai program dan aktiviti menarik telah disusun sepanjang tahun ini. Antaranya, penjualan Gold Bar dan penerbitan buku Coffee Table ’50 Jewels of UPM’ yang merupakan satu projek usaha sama Pusat Perhubungan Alumni dan Persatuan Alumni UPM sempena menyemarakkan dan meraikan Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021). Buku Coffee Table ’50 Jewels of UPM’ ini akan memaparkan 50 Tokoh Alumni Terbilang UPM Kelas 1971-2020. Selain itu, satu persembahan Konsert Diraja hasil kerjasama Pusat Kebudayaan dan Keseniaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan diusahakan dengan memaparkan kekayaan dan khazanah warisan budaya Melayu. Sama-sama kita saksikan teaser konsert yang telah disediakan ini. (VIDEO TEASER DIMAINKAN)

89. Sejak penubuhan universiti ini kita telah mengibarkan panji dengan slogan BERILMU BERBAKTI. Universiti ini menyediakan ruang dan peluang untuk ilmu dijana dan diterapkan di jiwa mahasiswa dan mahasiswi. Dengan berbekalkan ilmu inilah graduan UPM sejak angkatan pertama pada awal tahun 1970an hingga kini bertebaran menabur bakti kepada masyarakat terbanyak. Hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban, “Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain”. Berpegang kepada hadith ini dan atas semangat BERILMU BERBAKTI maka pada tahun ini saya mengajak semua warga UPM untuk menggema seruan Al-Falah dari Menara Ilmu UPM ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

PENUTUP

90. Di sebalik lipatan sejarah gemilang 50 tahun, kita perlu memastikan keterlihatan UPM sentiasa utuh sebagai barisan hadapan. Dalam hal ini, saya berharap kerancakan advokasi awam melalui penulisan kepakaran dapat terus digiatkan lagi dalam usaha memberi pencerahan kepada masyarakat dalam pelbagai aspek seperti pertanian, perubatan, kesihatan awam, perubatan veterinar, ekonomi, teknologi maklumat, psikologi, sosiologi, politik dan keselamatan insan. Advokasi awam ini bukan sahaja mampu menonjolkan kepakaran akademia UPM dalam masyarakat tetapi meningkatkan keterlihatan universiti. Bagi meningkatkan lagi keterlihatan UPM, kita juga telah menstrukturkan semula Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi kepada Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat atau lebih dikenali sebagai PSPK. Saya yakin kedudukan baharu ini akan dapat membantu meningkatkan lagi keterlihatan UPM sebagai sebuah Menara Ilmu yang tersohor dalam dan luar negara.

91. Berdasarkan lima strategi utama, iaitu Memacu Pertanian Berteknologi Tinggi, Membangun Karektor Graduan UPM, Melagang Kampus Pintar dan Pendigitalan, Mendukung Kelestarian Institusi Mapan dan Menatang Pembudayaan Norma Baharu, saya percaya kita mampu mencarta UPM sebagai Menara Ilmu. UPM sebagai Menara Ilmu akan diperkukuhkan lagi dengan peranan UPM Kampus Bintulu bagi menerajui pembangunan wilayah yang bermatlamatkan kesejahteraan watan di negeri Sarawak.

92. Besarlah harapan saya agar kesemua aspirasi dan hala tuju yang telah saya kongsikan tadi mendapat perhatian semua warga UPM. Atas semangat “We Love UPM”, kita perlu bersama-sama berganding fikrah dan tenaga bagi memastikan semua perancangan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Pesan orang tua-tua, adat periuk berkerak, adat lesung berdedak.

93. Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan pelaksanaan Naratif Naib Canselor kali ini, khususnya kepada kumpulan penulis yang bersemangat mencanai idea dan memburu fakta bagi membantu saya merealisasikan naratif kali ini. Terima kasih juga kepada semua warga UPM yang telah sama-sama mengikuti Naratif Naib Canselor ini. Saya sangat menghargai komitmen tinggi anda sekalian.

94. Banyak pihak melihat 2021 adalah kesinambungan 2020. Dalam keadaan yang masih tidak menentu dan penularan pandemik COVID-19 yang masih berlaku, marilah sama-sama kita berdoa ke hadrat Allah Taala agar kita berjaya melepasi ujian getir ini. Kita Jaga Kita. Teguh Bersama, Kita Menang. UPM melalui Kolej Kediaman, Fakulti, Pusat Kesihatan Universiti, Bahagian Keselamatan Universiti dan pusat tanggungjawab lain bersedia menerima kehadiran pelajar ke kampus pada bulan Mac akan datang dengan pelaksanaan SOP yang ketat dan akan dipantau secara berkala oleh Pasukan Bertindak Kecemasan atau ERT. Kepada para pelajar UPM, saya mengucapkan selamat menduduki peperiksaan akhir semester kedua, sesi 2020/2021. Semoga kejayaan milik anda.

95. Sebelum saya mengakhiri naratif ini, saya dengan penuh takzim, melancarkan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun penubuhan UPM. Sama-sama kita saksikan montaj sambutan yang telah disediakan selepas ini. Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (MONTAJ DIMAINKAN)

 

klik untuk menonton di Facebook live Universiti Putra Malaysia














 

Date of Input: 05/02/2021 | Updated: 07/02/2021 | ahmadazlan

MEDIA SHARING

OFFICE OF VICE CHANCELLOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
W1VMOQcU