Appreciation And Ushering The Day Of Nuzul Al-Quran 1444H | OFFICE OF THE VICE CHANCELLOR
» ARTICLE » Appreciation and Ushering the Day of Nuzul al-Quran 1444H

Appreciation and Ushering the Day of Nuzul al-Quran 1444H

Bismillahirahmanirahim,

Segala puji bagi ALLAH SWT Pentadbir seluruh Alam, Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

 

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan Salam Sejahtera Warga UPM yang saya kasihi dan hormati.

 

  1. Saya mendoakan agar semua terus menjalani kehidupan seharian di Bulan Ramadan ini dengan aman dan sejahtera serta perbanyakkan berdoa kepada Rabbul Jalil supaya diberikan kemudahan untuk ikhlas beribadah dan pastinya mencari pahala yang berlipat ganda dari Allah SWT.

 

  1. Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan Salam Nuzul al-Quran 2023 kepada semua warga UPM. Seperti yang kita ketahui dalam bulan Ramadan adanya peristiwa Nuzul al-Quran yang berlaku pada 17 Ramadan. Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunya ayat al-Quran yang pertama kepada Muhammad melalui perantaraan Malaikat Jibrail iaitu lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq hinggalah seterusnya turun secara berperingkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini.

 

  1. Sehingga kini, satu-satunya mukjizat Nabi Muhammad SAW yang berkekalan hatta sehingga hari kiamat adalah al-Quran. Al-Quran merupakan Kalam Ilahi yang menjadi panduan kehidupan menyeluruh umat Islam dari pelbagai aspek dunia dan akhirat.

 

Firman Allah SWT:

 

 

Maksudnya:

 

"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan (1), Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah (2), Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia(3), Yang mengajar (manusia) dengan pena (4), Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya (5)."

(Surah Al-Alaq: 1-5).

 

  1. Iqra, yang membawa maksud bacalah. Dalam huraian lima ayat pertama yang diturunkan menyeru agar sentiasa membaca kitab suci Al - Quran, kerana selain daripada kelebihannya, ia juga merupakan kitab yang syumul (lengkap) dan sebagai panduan hidup kepada seluruh ummat manusia di muka bumi ini.

 

Pesanan Rasulullah SAW menerusi sabdaan:

 

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

 

Maksudnya:

 

“Aku telah tinggalkan buat kalian dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kalian berpegang pada keduanya iaitu kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.”

(Riwayat Imam Malik)

 

  1. Al-Quran yang merupakan Kalam Ilahi adalah satu-satunya mukjizat yang berkekalan sehingga hari Kiamat. Ia menjadi panduan dalam kehidupan manusia sama ada secara individu, rumah tangga, masyarakat malah negara. Penurunan al-Quran adalah bertujuan memberikan petunjuk dan bimbingan agar manusia mengenal dan tahu membeza antara yang haq dan batil. Dengan itu, manusia yang beriman dan celik hatinya, akan terus bersama yang haq kerana ia satu-satunya jalan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

 

  1. Semoga dengan penghayatan Nuzul al-Quran ini, kita memperteguh tekad dan mempatri keazaman untuk bersama-sama menuju kejayaan, iaitu kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat. Seterusnya, ini secara tidak langsung akan memacu kecemerlangan UPM selaras dengan iltizam kita dengan “Memahat gemilang, Membingkas Kelangsungan al-Falah”.

 

  1. Pada kesempatan ini sekali lagi, saya dan ahli Pengurusan Universiti mengucapkan selamat menyambut dan menghayati Hari Nuzul al-Quran yang disambut pada 17 Ramadan setiap tahun kepada semua muslimin dan muslimat warga UPM yang saya kasihi. Marilah kita menjadikan al-Quran sebagai Perlembagaan dalam setiap urusan kehidupan kita.

 

  1. Kita sama-sama berdoa dan berusaha agar kehidupan kita di dunia ini menjadi kehidupan yang penuh ketaatan dan setiap usaha kita memperoleh keredhaan Allah S.W.T.

 

  1. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati seluruh Warga UPM. Selamat bercuti bersama keluarga tercinta.

 

Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Sekian, terima kasih.

 

YBHG. DATO’ PROF. DR. MOHD. ROSLAN BIN SULAIMAN

NAIB CANSELOR

8 APRIL 2023 BERSAMAAN 17 RAMADAN 1444H

Date of Input: 18/04/2023 | Updated: 18/04/2023 | nazryhisham

MEDIA SHARING

OFFICE OF THE VICE CHANCELLOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
SXFTQAZ~