UPM, Malayan Flour Mills Jalin Kerjasama Tingkat Industri Ayam Broiler | PEJABAT NAIB CANSELOR
» BERITA » UPM, Malayan Flour Mills jalin kerjasama tingkat industri ayam broiler

UPM, Malayan Flour Mills jalin kerjasama tingkat industri ayam broiler

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 13 Ogos - Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Malayan Flour Mills Berhad sebagai permulaan kepada kerjasama antara Malayan Flour Mills Berhad dan UPM.

 

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata melalui MoU itu, Malayan Flour Mills bersetuju membiayai sistem rumah tertutup untuk ayam broiler kepada Jabatan Sains Haiwan, Fakulti Pertanian.

 

“Kos pembinaan sistem rumah tertutup ini dianggarkan RM500,000. Kerja asas rumah ayam yang tertutup itu kini sedang berjalan dan akan selesai menjelang akhir tahun ini,” katanya.

 

Beliau berkata, kerjasama itu akan membantu UPM mencapai matlamat untuk meningkatkan Perkhidmatan Rangkaian Industri dan Komuniti, serta mengukuhkan UPM sebagai Pusat Kecemerlangan Unggas.

 

“Penyelidikan yang dijalankan oleh pakar UPM dengan industri melalui program kerjasama juga akan membantu industri menyelesaikan masalah mereka di lapangan. UPM sentiasa mencari kolaborasi strategik dengan industri tempatan dan antarabangsa,” katanya.

 

Pengarah Urusan MFM, Teh Wee Chye berkata UPM mempunyai kepakaran dalam sektor ternakan yang komited untuk membantu meningkatkan pengeluaran dan kualiti broiler, yang selaras dengan matlamat Malayan Flour Mills Berhad.

 

“Malayan Flour Mills Berhad akan menyediakan tiga biasiswa penuh untuk tiga pelajar Sains Haiwan bermula September 2019 untuk mengikuti sub-pengkhususan dalam pengeluaran ayam di Arkansas University selama satu tahun,” katanya.

 

Majlis itu turut dihadiri oleh Pengerusi MFM, Tan Sri Arshad Ayub dan Dekan Fakulti Pertanian Prof. Dr. Abdul Shukor Juraimi.

 

Sementara itu, kerjasama antara UPM dan MFM bermula dengan lawatan wakil-wakil Malayan Flour Mills ke UPM awal November 2017. Ia  diikuti dengan lawatan ke University Arkansas, Amerika Syarikat yang turut membincangkan mengenai penyelesaian masalah pengeluaran ayam jangka panjang dalam pelbagai aspek penting ekonomi seperti pengurusan, pemakanan, kualiti bahan mentah (untuk makanan), pemprosesan hiliran produk broiler, kesejahteraan penternakan ayam dan pengkomposan kotoran ayam. - UPM

Tarikh Input: 08/10/2018 | Kemaskini: 08/10/2018 | ahmadazlan

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT NAIB CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
SXETHA2~