UPM Bantu Pelajar Tingkat Minat Subjek Fizik | PEJABAT NAIB CANSELOR
» BERITA » UPM bantu pelajar tingkat minat subjek Fizik

UPM bantu pelajar tingkat minat subjek Fizik

Oleh: Muhammad Naziff Ahamad Said

 

SERDANG - Seramai 174 orang pelajar dari 11 buah sekolah menengah Wilayah Persekutuan Putrajaya menyertai Kem Fizik 4 U 2018, program bagi memupuk minat dan meningkatkan prestasi pelajar dalam mata pelajaran Fizik, baru-baru ini.

 

Program itu dianjurkan Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi pasukan ‘Putra Outreach Physics’ dengan kerjasama Unit Sains dan Matematik Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) Putrajaya serta panitia fizik sekolah-sekolah menengah Putrajaya.

 

Program itu mendapat suntikan idea ketua pasukan Putra Outreach Physics, Dr Yap Wing Fen yang juga pensyarah kanan di Jabatan Fizik, Fakulti Sains, UPM. Beliau dibantu oleh 34 orang ahli Kelab Mahasiswa Fizik, Fakulti Sains, UPM dan panitia Fizik semua sekolah putrajaya diketuai Mohd Fahmi Junid.

 

Dr Yap berkata, menurut kajian, purata pelajar sekolah menengah mengatakan subjek Fizik terlalu rumit dan terlampau banyak konsep yang perlu difahami.

 

“Pelajar sekolah menengah sering merumitkan cara mereka untuk memahami sesuatu konsep dan formula Fizik sedangkan mereka lupa itu adalah cara hidup mereka.

 

“Dengan menganggap Fizik sebagai cara hidup dan mengamalnya, pelajar sekolah akan lebih mudah memahami sesuatu konsep dan seterusnya cemerlang dalam mata pelajaran Fizik, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

 

Putra Outreach Physics yang bermoto “Transfer, Transverse, Transfrom (Memindah, Melintas dan Mengubah)” menggunakan pendekatan yang berfokuskan pelaksanaan aktiviti secara hands-on. Peserta diberi peluang menyaksi, mengalami sendiri serta mempelajari konsep yang berlaku dalam kehidupan seharian serta menyertai pelbagai aktiviti Outdoor.

 

Antara aktiviti itu ialah “The Amazing Race” yang menggabungkan kecergasan fizikal dan pemikiran analitikal untuk menyelesaikan permasalahan Fizik di stesen-stesen eksperimen.

 

Dekan Fakulti Sains UPM, Prof. Dr. Mohd Basyaruddin pula berkata, program tersebut berupaya mengasah kemahiran insaniah (soft skills) fasilitator UPM jurusan Bacelor Sains (Kepujian) dalam kemahiran komunikasi, kemahiran berpasukan, pembelajaran berterusan, pengurusan maklumat serta pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah.

 

Katanya, program itu juga mampu melahirkan mahasiswa yang mempunyai kesedaran dan tanggungjawab yang tinggi terhadap komuniti dan masyarakat setempat.

 

Wakil fasilitator, Muhammad Ahnaf Sharifulazman berkata, mahasiswa Tahun 3 Bacelor Sains (Kepujian) Sains Instrumentasi Jabatan Fizik berkata, menerusi program itu, fasilitator boleh menyampaikan ilmu dan membantu pelajar memahami konsep fizik dengan betul.

 

Seorang peserta Muhammad Arif Musthaba dari SMKA Putrajaya berkata program itu memupuk minat peserta melalui pembelajaran yang dinamik.

 

“Program ini juga meningkatkan produktiviti peserta melalui aktiviti yang memupuk semangat kerjasama berpasukan. Persepsi saya terhadap fizik telah berubah setelah mengkuti program ini. Terima kasih kepada semua fasilitator dan Dr. Yap,” katanya.

 

Seorang lagi peserta, Tang Hiew Muun, pelajar SMK Putrajaya Presint 18 (1) berkata, ‘The Amazing Race’ dan CSIP merupakan slot yang amat mengujakan kerana ia memberikan cara pembelajaran Fizik luar biasa yang dapat melatih Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). - UPM

Tarikh Input: 08/10/2018 | Kemaskini: 08/10/2018 | ahmadazlan

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT NAIB CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
SXETXAm~