Pelajar STPM Sertai Seminar Kerjaya Rekabentuk Perindustrian Oleh FRSB | PEJABAT NAIB CANSELOR
» BERITA » Pelajar STPM sertai Seminar Kerjaya Rekabentuk Perindustrian oleh FRSB

Pelajar STPM sertai Seminar Kerjaya Rekabentuk Perindustrian oleh FRSB

Oleh: Azman Zakaria

 

KUALA KRAI, 29 Julai - Seramai 97 orang pelajar aliran sastera Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari tiga buah sekolah di sini menyertai Seminar Kerjaya Rekabentuk Perindustrian & Motivasi yang dirangka oleh jawatankuasa Jerayawara, Jabatan Rekabentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Seni Bina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Seminar itu bermatlamat mencungkil minat pelajar dalam bidang rekabentuk perindustrian serta meningkatkan motivasi mereka yang akan menduduki peperiksaan STPM.

 

Ketua Jabatan, Jabatan Rekabentuk Perindustrian, YM Prof. Madya Dr Raja Ahmad Azmeer Raja Effendi berkata jawatankuasa Jerayawara itu yang diketuai Dr. Velu Perumal ditubuhkan untuk mempromosi program Rekabentuk Perindustrian serta FRSB sebagai usaha untuk mencapai visi dan misi UPM. 

 

Katanya, seminar kerjaya seperti itu akan membantu mendekatkan pelajar, guru dan masyarakat setempat dalam usaha memperkasakan jurusan rekabentuk perindustrian negara.   

 

Dr Velu Perumal pula berkata, seminar yang dianjurkan dengan kerjasama SMK Sultan Yahya Petra 2 itu berjaya membenihkan inspirasi dan keyakinan diri pelajar untuk berkecimpung dalam bidang rekabentuk perindustrian.

 

Katanya, jika kebolehan melukis seseorang pelajar itu diabadikan dalam bidang rekabentuk perindustrian, maka pelajar itu akan dapat mengukir serta menikmati cara dan corak hidup yang indah.

 

Menurutnya, pelajar dari keluarga yang sederhana atau miskin biasanya amat kreatif kerana kekurangan serta kemiskinan hidup akan mewujudkan pencarian dalam diri. Beliau berkata, pencarian yang lahir untuk mengatasi kekurangan hidup pula biasanya membuahkan pemikiran yang kreatif.

 

“Pemikiran yang kreatif akan membantu membuahkan pemikiran inovatif. Pemikiran kreatif dan inovatif pula akan membuahkan transformasi atau perubahan positif dalam hidup seseorang,” katanya.

 

Pengetua SMK Sultan Yahya Petra 2, Tuan Ibrahim Isha, merakamkan penghargaan dan terima kasih atas pendedahan berkenaan bidang rekabentuk perindustrian dan motivasi kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan STPM kerana ia akan membantu pelajar memilih kerjaya yang sesuai untuk masa depan mereka. 

 

Penolong Kanan Tingkatan 6, sekolah itu, cikgu Zulkifli Abdullah, pula berkata program itu membuka minda pelajar dalam bidang seni rekabentuk,  terutama di kalangan pelajar luar bandar yang selama ini tidak mengetahui mengenai kewujudan rekabentuk perindustrian.

 

“Ceramah yang diberikan turut menyemai motivasi yang tinggi. Pelajar yang mengikuti program ini didapati bersemangat untuk belajar dan mendalami bidang seni secara khusus,” katanya. 

 

Ramai pelajar yang menyertai program itu mengutarakan minat untuk memilih jurusan rekabentuk perindustrian sebagai jurusan pengajian di menara gading kelak. Antara mereka ialah Siti Hajar dan Nik Nursyazwani yang masing-masing meluahkan minat untuk menjadi pereka bentuk perindustrian yang berjaya. - UPM 

Tarikh Input: 08/10/2018 | Kemaskini: 08/10/2018 | ahmadazlan

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT NAIB CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
SXDcRAf~