ONOCAT, Inovasi Hindar Kucing Liar | PEJABAT NAIB CANSELOR
» BERITA » ONOCAT, inovasi hindar kucing liar

ONOCAT, inovasi hindar kucing liar

Oleh Azman Zakaria

Foto Noor Azreen Awang

SERDANG: Kucing haiwan comel menjadi peliharaan ramai orang, namun ramai juga yang tidak selesa atau amat takut apabila kucing datang menghampiri mereka walaupun yang menghampiri mereka itu bukanlah kucing liar.

Situasi tidak selesa dengan kehadiran kucing ini wujud kerana faktor fizikal dan psikologi seseorang itu.

Faktor fizikal lebih terarah kepada mereka yang berdepan alahan seperti asma, alergi atau penyakit kulit kerana dibimbangi kucing itu boleh menjejaskan kesihatan.

Bagi sebahagian yang lain pula, faktor psikologi atau mental adalah penyebab utama. Kalangan yang dipanggil Ailurophobia atau gatophobia ini amat takut terhadap kucing walaupun haiwan itu sekadar lalu di sisi mereka.

Mereka mempunyai persepsi yang amat takut kepada haiwan itu sehingga ada kalanya melakukan tindakan tanpa sedar seperti menjerit tanpa mempedulikan orang lain walaupun hakikatnya kucing itu tidak mengancam diri mereka.

Kini, melalui inovasi ONOCAT, masyarakat umpamanya boleh secara efektif menghindarkan kucing liar dari mendekati mereka contohnya seperti ketika menjamu selera di kedai makan.

Pensyarah dan penyelidik dari Jabatan Rekabentuk dan Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Siti Mastura Md. Ishak berkata produk ONOCAT direka secara set bersama inovasi bahan terbiodegradasikan dari sumber semulajadi yang mengeluarkan bau unik untuk menghindarkan kucing daripada menghampiri pemakainya.

Katanya, bahan terbiodegradasikan ONOCAT sebagai penghindar ini dihasilkan melalui kombinasi bahan buangan (bi-product) dari tumbuhan tempatan, yang sedang dalam peringkat akhir kajian beliau bersama ahli penyelidiknya.

Usaha ini adalah pendekatan baru bagi mengimprovasi bahan buangan tersebut yang jarang diberi perhatian. Kemampuan aromatiknya berpotensi untuk dikomersialkan dengan selamat, murah dan berkesan.

“Bahan terbiodegradasikan ini boleh digunakan tiga kali, dan jika digunakan untuk tempoh lebih satu hari, ia masih mengeluarkan bau.

“Rekaan menarik ONOCAT dihasilkan secara praktikal dan mudah digunakan sebagai aksesori berfungsi dengan hanya perlu diletakkan pada kaki seluar, kasut atau pun beg mengikut kreativiti dan gaya si pemakai,” katanya.

Produk set ONOCAT ini dibangunkan bersama pelajar dan penyelidik, Nurlisa Tajul Rosli dalam bentuk ikonik ringkas, kecil dan menarik dengan berat kurang daripada 9gm dan mudah digunakan sebagai penghindar kucing peribadi.

Dr. Siti Mastura berkata inovasi reka bentuk dan bahan baru itu boleh memberikan faedah kepada mereka yang mempunyai masalah dengan kucing dengan keberkesanan menghindar haiwan tersebut dalam jarak yang tertentu.

Katanya, konsep pada reka bentuk ONOCAT diinspirasikan berdasarkan bentuk jaringan tisu nasal epithelium olfaktori kucing sebagai laluan keluarnya bauan secara optimum.

Manakala, cadangan warnanya yang bersifat ‘glow in the dark’ sebagai tambah nilai pula adalah berdasarkan mata kucing untuk melambangkan konsep kewaspadaan. – UPM

Tarikh Input: 24/07/2019 | Kemaskini: 24/07/2019 | ahmadazlan

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT NAIB CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
B1566190305