Sharing Session Of Vice Chancellor's Office | OFFICE OF THE VICE CHANCELLOR
» NEWS » Sharing Session of Vice Chancellor's Office

Sharing Session of Vice Chancellor's Office

Program Perkongsian Pejabat Naib Canselor:  Jom Bijak Mengurus Wang

Serdang, 22 Oktober 2021

 

Sesi Perkongsian Pejabat Naib Canselor kali ke-4 telah diadakan pada hari Jumaat, 22 Oktober 2021 dengan tajuk pilihan kali ini iaitu “Jom Bijak Mengurus Wang”.  Sesi ini telah diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Webex dari jam 10:00 pagi hingga 11:30 pagi dengan dihadiri oleh lebih daripada 100 orang staf UPM.  Dengan hasrat berkongsi panduan, tip dan petua dalam pengurusan wang, sesi kali ke-4 ini telah menjemput YBhg. Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri, Dekan Fakulti Ekologi Manusia UPM yang juga merupakan pakar bidang perancangan kewangan sebagai penceramah jemputan kali ini.  

Beliau menerangkan kepentingan merancang kewangan bermula dari pendapatan asas iaitu gaji bulanan.  Pengklasifikasian pendapatan mengikut keperluan perbelanjaan juga diterangkan dengan terperinci agar semua jelas dengan setiap jumlah wang yang dibelanjakan.  Walaupun topik kewangan sering dianggap sesuatu yang rumit dan menyusahkan, YBhg. Prof. Dr. Mohamad Fazli yang memang berpengalaman luas dan sering dijemput sebagai penceramah kewangan berjaya menerangkan topik ini dengan contoh yang lebih praktikal malah secara santai berkongsi pengalaman yang membuat peserta lebih memahami perkara yang perlu dilakukan dalam merancang kewangan harian.  Bermula dari perekodan resit pembelian sehingga kepada penyediaan catatan debit dan kredit wang, beliau menerangkan dengan jelas semua keperluan perancangan kewangan baik untuk perseorangan mahupun perancangan kewangan keluarga.  Beliau juga berkongsi tips kewangan seperti membeli dengan kupon, membuat perbandingan harga barang dan juga petua mengelak penipuan dalam talian.  

Selain perancangan kewangan peribadi, beliau juga menyentuh bidang pelaburan dengan perkongsian jenis-jenis pelaburan, pemilihan syarikat, peruntukan serta risiko yang perlu diambil perhatian dalam bidang tersebut.  Menjawab pertanyaan peserta berkaitan pelaburan, beliau menasihatkan peserta agar tidak terlalu teruja dengan janji manis keuntungan yang tinggi tetapi pelabur mestilah mendapatkan maklumat sepenuhnya berkaitan pelaburan tersebut bagi mengelakkan risiko ditipu.

Selaku penganjur, Pejabat Naib Canselor berharap sesi perkongsian ini dapat memberi sedikit sebanyak panduan kepada peserta bagi merancang kewangan masing-masing dan seterusnya mengamalkan perbelanjaan berhemah demi kesejahteraan diri dan keluarga masing-masing. 

Date of Input: 15/11/2021 | Updated: 15/11/2021 | nurainakmal

MEDIA SHARING

OFFICE OF THE VICE CHANCELLOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
SXEYFAa~