UPM- IPR: Negara Perlu Petani Moden Berdaya Saing | PEJABAT NAIB CANSELOR
» ARTIKEL » UPM- IPR: Negara perlu petani moden berdaya saing

UPM- IPR: Negara perlu petani moden berdaya saing

SERDANG - Negara memerlukan golongan petani moden profesional yang berdaya saing untuk mengusahakan fasiliti pertanian moden menerusi Projek Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) di bawah program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Rafizi berkata, golongan berkenaan berupaya dilahirkan dalam kalangan siswazah dan peserta berdaftar dalam Sistem Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih).


“Kepada siswazah dan peserta lain, ini adalah tanggungjawab anda untuk mengusahakan fasiliti pertanian moden kerana kerajaan telah ambil risiko keluarkan peruntukan yang besar untuk pastikan pertanian moden berlaku di seluruh negara.

“Saya harap kerja-kerja (pembangunan fasiliti) akan dimulakan dan selepas itu kita akan pastikan IPR akan memberi kesan kepada negara,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Program IPR-INTAN Usahawan Tani di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini pada Isnin.

Rafizi berkata, Pusat IPR-INTAN Usahawan Tani UPM yang dirasmikan hari ini menjadi platform kerjasama strategik antara Kementerian Ekonomi dan UPM bagi memberi latihan teori dan praktikal kepada peserta untuk menguruskan fasiliti pertanian moden dalam sektor tanaman serta akuakultur.

Beliau berkata, tanggungjawab diberikan kepada UPM untuk melatih dan melahirkan usahawan tani profesional serta mendedahkan mereka kepada kitaran tanaman supaya belajar untuk bertahan dalam bidang pertanian.


Rafizi berkata, IPR bukan sekadar program bagi meningkatkan pendapatan peserta malah akan mengenal pasti faktor, cabaran serta risiko yang menyebabkan projek pertanian yang dibangunkan sebelum ini gagal.

“Melalui IPR, kita juga akan lihat modul perniagaan, cabaran cuaca atau gangguan serangga sebab kita tak nak ulangi kegagalan sebelum ini,” katanya.

Program tersebut menyasarkan peserta meraih pendapatan antara RM2,000 dan RM2,500 sebulan dalam tempoh pemantauan 24 bulan, seterusnya menjana pendapatan sendiri melalui hasil yang diperoleh.

Pada 11 Julai lepas, Rafizi dilaporkan berkata, sebanyak 1,000 ekar pertama tanah telah dikenal pasti untuk diusahakan peserta IPR.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Dato' Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, IPR dapat melatih 130 peserta dalam tempoh antara dua dan tiga tahun, dengan 40 peratus daripadanya adalah siswazah UPM manakala 60 peratus lagi peserta daripada data eKasih.

Beliau berkata, peserta akan diberi peluang untuk mempelajari dan menerapkan teknologi pertanian moden yang akan membuka jalan untuk mereka memajukan industri pertanian di negara ini.

Mohd Roslan berkata, kerajaan telah memperuntukkan modal operasi sebanyak RM3.2 juta untuk satu pusingan serta membimbing peserta agar mereka memperoleh pendapatan bersih antara RM2,000 dan RM2,500 sebulan.

“Ini adalah langkah penting dalam usaha kita untuk menambah baik kualiti hidup rakyat, mengurangkan jurang ekonomi dan menikmati kesejahteraan hidup dengan semangat kebersamaan menerusi cerminan Malaysia MADANI,” katanya.

Beliau berkata, IPR adalah selaras dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu menjadikan UPM sebagai pusat rujukan pengembangan pertanian tropika yang menggembleng pakar pertanian dalam mempergiat aktiviti pertanian kepada masyarakat dan komuniti. - Bernama

Tarikh Input: 28/08/2023 | Kemaskini: 28/08/2023 | nazryhisham

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT NAIB CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
SXEcIAw~