Ucapan Naib Canselor Sempena Ramadhan 1444H/2023 | PEJABAT NAIB CANSELOR
» ARTIKEL » Ucapan Naib Canselor Sempena Ramadhan 1444H/2023

Ucapan Naib Canselor Sempena Ramadhan 1444H/2023

Bismillahirahmanirahim,

Segala puji bagi ALLAH SWT Pentadbir seluruh Alam,

“Ya Allah, sampaikan selawat kepada Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad sebagaimana Engkau sampaikan selawat kepada Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim! Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Mulia. Berkatilah Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad sebagaimana Engkau berkati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim! Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Mulia.”

 

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan salam sejahtera buat Tuan/Puan, Warga UPM yang saya kasihi dan hormati.

 

Saya mendoakan seluruh Warga UPM dalam keadaan sihat walafiat dan sentiasa berada dalam limpahan rahmat, keberkatan serta kasih sayang Allah SWT.

 

  1. Pertama-tamanya marilah kita sama-sama memanjatkan rasa kesyukuran kehadrat Allah SWT. kerana dengan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama-sama menyambut Ramadan al-Kareem pada tahun 2023 ini. Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadan al- Kareem kepada seluruh Warga UPM.

 

  1. Ibadah puasa adalah satu ibadah yang sangat istimewa. Ia satu ibadat yang kita lakukan tanpa sesiapapun mengetahui kita sebenarnya sedang beribadat kepada Allah. Tidak seperti ibadat lain yang boleh dilihat dengan nyata dari segi perbuatan dan menerusi berpuasa kita menahan diri daripada lapar dan dahaga serta tidak melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa kita.

 

  1. Hanya diri kita dan Allah sahaja mengetahui yang kita sebenarnya sedang berpuasa. Kita berpuasa kerana kita bertakwa kepada Allah, bukan untuk menunjukkan kepada sesiapa.

 

  1. Jihad menuntut kekuatan jiwa dan pertimbangan akal. Sepertimana ibadat puasa, kita dikehendaki untuk berjihad melawan hawa nafsu untuk menuju al- Falah bagi mencapai kemenangan yang didambakan oleh mereka yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. Kita lalui satu tempoh yang banyak menguji kesabaran dan daya ketahanan kita.

 

  1. Oleh sebab itu, Allah SWT menyebut di dalam Al-Quran, ibadat puasa diwajibkan ke atas umat Islam agar kita semua bertakwa kepada-Nya. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah Ayat 183:

 

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَۙ

 

Yang bermaksud:

 

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa...”

 

  1. Ertinya, orang yang berpuasa adalah orang yang ikhlas beribadat hanya kerana Allah, dan mereka itulah orang yang sebenar-benarnya beriman dan bertakwa kepadaNya.

 

  1. Lantaran itu, umat Islam di seluruh dunia menyambut ketibaan bulan Ramadan dengan penuh pengharapan bagi menempuhi suatu perjalanan kerohanian yang amat bermakna. Selain berpuasa, kita memperbanyakkan amalan sunat. Kita membaca al-Quran, mendirikan solat tarawih, qiyamullail, bersedekah kepada fakir miskin dan melakukan amal kebajikan semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mempererat hubungan sesama manusia.

 

  1. Ramadan adalah satu bulan untuk kita berjihad melawan hawa nafsu, menyucikan jiwa, dan mengharapkan keredhaan Allah. Pada hujung Ramadan, kita mengharapkan agar dapat bebas daripada dosa sebagai suatu kemenangan dan kejayaan di dunia dan akhirat.

 

  1. Mudah-mudahan bulan Ramadan yang mulia ini akan membawa rahmat kepada kita semua. Marilah kita bersama-sama membanyakkan berdoa kepada Allah, mohon pertolongan daripadaNya, InsyaAllah kita semua akan dilindungi daripada sebarang musibah. Amin ya rabbal alamin.

 

  1. Pada kesempatan ini, saya mewakili Pengurusan Universiti dengan rasa rendah diri memohon kemaafan setulus ikhlas dari hati ke hati sekiranya ada salah silap selama ini, sama ada yang disedari mahupun tanpa disedari. Semoga puasa kita tahun ini adalah lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya dan Allah menerima segala amalan kebaikan yang diberikan ganjaran untuk kita jadikan bekalan di akhirat nanti.

 

Gersang bumi tanpa hujan,

Gersang akal tanpa ilmu,

Gersang hati tanpa iman,

Gersang jiwa tanpa amal,

Marhaban ya Ramadan

Selamat menunaikan ibadah puasa, mohon maaf zahir dan batin

 

  1. Saya mengucapkan selamat menyambut Ramadan al-Kareem kepada seluruh Warga UPM, semoga puasa, amalan ibadah serta munajat kita semua diberkati serta dirahmati Allah SWT. InsyaAllah, Amin ya Rabbal’alamin.

 

Saya sudahi ucapan saya ini dengan kalimah mulia,

 

Wabilahitaufik walhidayah, wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

 

Sekian, Terima kasih

 

 

YBHG DATO’ PROF. DR. MOHD. ROSLAN SULAIMAN

Naib Canselor UPM

22 Mac 2023

Tarikh Input: 18/04/2023 | Kemaskini: 18/04/2023 | nazryhisham

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT NAIB CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
SXETUAO~