Guna Keterbukaan Mengkritik Secara Berhemah, Profesional | PEJABAT NAIB CANSELOR
» ARTIKEL » Guna keterbukaan mengkritik secara berhemah, profesional

Guna keterbukaan mengkritik secara berhemah, profesional

KUALA LUMPUR: Keterbukaan yang diberikan kepada mahasiswa untuk menyatakan pandangan termasuk kritikan dan menegur kerajaan berdasarkan fakta, logik dan alasan munasabah adalah selari dengan agenda Masyarakat Madani.

Cadangan yang diusulkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengenai kesediaan kerajaan menerima kritikan mahasiswa juga seiring dengan perancangan dan perlaksanaan dasar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melaksanakan konsep 'Pemerkasaan Mahasiswa' di institusi pendidikan negara.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman turut berpendirian senada saranan Perdana Menteri yang mahu mahasiswa diberikan kebebasan bersuara.

Ini kerana katanya, UPM adalah kampus mesra pelajar kerana telahpun menyediakan beberapa platform autonomi dan kebebasan bersuara kepada pelajar.

"Antara inisiatif yang sudah dilaksanakan adalah Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang dikendali dan diuruskan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pemilihan MPP yang dianggotai oleh pelajar sahaja, dengan sokongan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP).

"Selain itu, UPM memberi kebebasan kepada pelajar untuk mengurus Sidang Parlimen Kesatuan Pelajar UPM (empat kali setahun), di bawah Jawatankuasa Parlimen Kesatuan Pelajar," katanya.

Beliau berkata, bagi memperkasakan lagi suara pelajar, wakil MPP juga dilantik sebagai Ahli Tetap dalam Jawatankuasa Kebajikan Pelajar dan Jawatankuasa Aduan Pelajar.

"Proses ini amat penting kerana ia memberi lebih banyak tanggungjawab kepada pelajar dan meningkatkan pembabitan mereka dalam proses pembuatan keputusan demi kepentingan universiti.

"Ini juga selaras dengan usaha pemerkasaan mahasiswa seperti ditegaskan Perutusan Tahun Baharu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin," katanya.

Beliau berkata, mulai tahun ini, UPM juga akan memperluaskan lagi autonomi pengurusan kewangan aktiviti pelajar apabila kelulusan aktiviti dan kewangan aktiviti akan diuruskan oleh pelajar.

Perkara terbabit akan dijelaskan dalam Naratif Naib Canselor yang bakal disampaikan pada Rabu ini.

Dalam memupuk pemerkasaan mahasiswa dan kebebasan bersuara, UPM mengambil saranan titah Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mempupuk dan menggalakkan penghayatan prinsip kelima Rukun Negara, iaitu 'Kesopanan dan Kesusilaan' dengan berhemah ketika berkomunikasi dan tidak memberi komen keterlaluan serta mengeluarkan ayat berunsur fitnah dan hasad dengki.

"Berdasarkan Matlamat 1 dalam Pelan Strategik UPM 2021-2025, UPM amat komited dalam melahirkan graduan yang berdaya tahan mendepani cabaran mendatang. Ini boleh dijayakan melalui pemerkasaan mahasiswa dan kebebasan bersuara yang dipertanggungjawabkan," katanya.

 

Sumber: Berita Harian

Tarikh Input: 13/02/2023 | Kemaskini: 10/04/2023 | nazryhisham

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT NAIB CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
SXDcXAb~