AIDILFITRI DIRAI, AL-FALAH DISYUKURI | PEJABAT NAIB CANSELOR
» ARTIKEL » AIDILFITRI DIRAI, AL-FALAH DISYUKURI

AIDILFITRI DIRAI, AL-FALAH DISYUKURI

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan salam sejahtera untuk warga UPM yang dirahmati dan diredhai Allah SWT.

 

Segala puji bagi ALLAH SWT Pentadbir seluruh Alam, Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. penghulu segala Rasul, pembawa rahmat seluruh alam.

 

Pada bulan Ramadan yang mulia ini dan kemenangan yang bakal diraikan nanti, marilah kita tingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh dan tulus ikhlas kerana-Nya.

 

Warga UPM yang dirahmati Allah SWT.

 

  1. Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah SWT kerana kita telah melalui bulan suci Ramadan dengan penuh kesungguhan. Bulan yang dijanjikan Allah dengan pahala yang melimpah dan diampuni dosa-dosanya bagi yang melaksanakannya dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan.

 

  1. Alhamdulillah, kita telah pun berada pada penghujung Ramadan dan di ambang Syawal. Perkara penting yang kita tidak sesekali melupakan ialah tujuan Allah SWT memfardhukan ibadah puasa ke atas kita iaitu untuk mencapai ketakwaan, manakala Aidilfitri yang disambut pula sebagai tanda kemenangan dan kembalinya kita kepada fitrah.

 

  1. Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas segala kurniaan-Nya dan mengajak warga UPM untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya menerusi pengisian pada hari-hari terakhir bulan Ramadan yang penuh barakah dengan nikmat daripada Allah SWT yang terlalu banyak. Mudah-mudahan Allah SWT menerima amal ibadah kita sepanjang Ramadan ini dan Ramadan tahun ini adalah yang terbaik untuk kita semua. 

 

  1. Saya mendoakan agar kita semua sentiasa dalam limpahan rahmat Allah dan dilindungi oleh-Nya bagi menjalani kehidupan seharian dengan aman dan sejahtera.

 

  1. InsyaAllah kita termasuk hamba-Nya yang beriman dan bertakwa serta golongan orang yang diampuni dosanya. Hal ini sesuai dengan penegasan Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya.

 

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

 

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

  1. Sebagai makhluk ciptaan Allah SWT yang telah mendapatkan pelbagai nikmat dan anugerah yang kita tidak mampu menghitungnya, marilah kita memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT dengan mengucapkan "Alhamdulillahi rabbil Alamin." Semoga kita tergolongan dalam kalangan hamba yang pandai bersyukur dan Allah akan menambahkan  nikmat kepada kita.

 

Warga UPM yang saya kasihi,

 

  1. Pada kesempatan ini saya, isteri dan seisi keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh warga UPM di mana jua anda berada. Tiada ungkapan lebih indah daripada kalimat maaf sebagai bukti kita sebagai manusia yang tidak pernah lekang daripada berbuat kesilapan. Semoga Allah mengampuni silap dan salah kita serta sentiasa mendapat barakah dan hidayah daripada Allah SWT. 

 

  1. Sempena Aidilfitri yang kita raikan bersama, marilah kita memperbanyak takbir, tasbih dan tahmid sebagai tanda kemenangan setelah sebulan berpuasa, memuji dan mengagungkan kebesaran Allah S.W.T. Raikanlah hari kemenangan tersebut dengan penuh rasa kesyukuran dan keinsafan serta saling bermaafan untuk merapatkan silatulrahim.

 

  1. Bagi warga UPM yang akan kembali berhari raya di kampung halaman, saya mendoakan agar perjalanan menuju ke destinasi masing-masing dipermudahkan dengan mengutamakan keselamatan dan berhemah ketika di jalan raya. Jangan lupa untuk kita bersolat sunat musafir sebelum balik kampung dan mulakan perjalanan balik kampung dengan doa perjalanan naik kenderaan bersama ahli keluarga serta mengucapkan alhamdulillah apabila telah sampai ke kampung halaman nanti.

 

  1. Saya juga mengingatkan agar kita semua telah melakukan langkah-langkah pencegahan dan kawalan sama ada di tempat kerja atau di rumah untuk tempoh cuti yang agak lama ini. Semoga semuanya dalam keadaan selamat dan dijauhkan daripada sebarang perkara yang tidak diingini.

 

Warga UPM yang saya sayangi,

 

  1. 11.Pada kesempatan ini, ucapan terima kasih saya kepada warga UPM dan pelbagai pihak yang bersama-sama dengan Pengurusan Universiti dengan menghulurkan sumbangan sebagai tanda kecaknaan dan kebersamaan berkongsi rezeki bagi memastikan warga UPM dapat merayakan Aidilfitri dalam suasana yang menggembirakan. Keprihatinan pelbagai pihak ini sejajar dengan hasrat UPM untuk “Memahat Gemilang Membingkas Kelangsungan Al-Falah” iaitu menempa kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat menerusi amalan :Berilmu Berbakti” dalam kalangan warga UPM.

 

  1. 12.Saya juga yakin dan percaya bahawa sambutan Aidilfitri nanti, turut disambut oleh warga UPM yang pelbagai kaum. Ini memperlihatkan semangat kekitaan dan kebersamaan sebagai suatu keluarga yang  sentiasa menjalin ukhuwah dan menghormati antara satu dengan lain. Mari kita meraikan Hari Raya Aidilfitri ini bersama-sama dengan rakan-rakan muslim dengan semangat bersatu padu antara kaum di UPM sejajar dengan hasrat negara Madani yang kita dambakan. 

 

  1. 13.Taqaballahu minna wa minkum. Pada kesempatan yang ada, saya mewakili Pengurusan Universiti mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan dengan rendah diri, memohon keampunan dan kemaafan kepada warga UPM di bulan yang mulia ini. Semoga Allah mengampuni segala salah dan silap kita dan kita sentiasa dalam lingkungan petunjukNya. Minal aidin wal faizin.

 

Bulan Ramadhan berlalu pergi dan bulan Syawal menghadir diri untuk kita terus menghayati erti kejayaan yang hakiki. Semoga Allah merahmati dan memberkati segala amalan kebaikan sepanjang Ramadhan dan diteruskan pada bulan Syawal serta bulan-bulan seterusnya. Menjelang Aidilfitri ini, terkenang saya akan bait-bait lirik lagu untuk kita renungi dan dihayati;

 

Di hening subuh di pagi raya,

Doaku pohon buat yang tiada,

Airmata ku tabur bersama,

Terkenang daku,

Terkenang daku takbir bergema.

 

Ku tunduk sujud buat-Mu kasih,

Teringat daku kebesaran-Mu,

Bulan Ramadhan terasa bersih,

Di Aidil Fitri,

Di Aidil Fitri kita bertemu.

 

Selamat bercuti bersama keluarga tercinta. Lindung diri, lindung semua dan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

 

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, La ilaha illallah,

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa lillahil hamd

 

Sekian, Wabillahi taufik wal hidayah, Wassalaa mualaikum warohmatullahi wabarokaatuh.

 

 

YBHG. DATO’ PROF. DR. MOHD. ROSLAN SULAIMAN

Naib Canselor,

Universiti Putra Malaysia
21 April 2023

Tarikh Input: 05/05/2023 | Kemaskini: 05/05/2023 | nazryhisham

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT NAIB CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
SXDdBAv~