Kerjasama Martabat Bahasa Melayu Di Persada Antarabangsa | PEJABAT NAIB CANSELOR
» ARTIKEL » Kerjasama Martabat Bahasa Melayu di Persada Antarabangsa

Kerjasama Martabat Bahasa Melayu di Persada Antarabangsa

ARTIKEL HARIAN METRO - Rabu, 12 Julai 2023

Dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di rantau antarabangsa, Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalinkan kerjasama dengan Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu, Yayasan Suluh Melayu Nusantara di Indonesia, baru-baru ini.

Menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani, kedua-dua pihak bersetuju mengadakan kerjasama erat dalam bidang pengembangan bahasa Melayu terutama program penyelidikan, pertukaran pegawai akademik, perkongsian pengalaman dan pengetahuan berkaitan kebudayaan Melayu.

Naib Canselor UPM, Datuk Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, MoU itu akan memberikan manfaat besar dalam pengukuhan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa yang penting dan relevan di arena antarabangsa.

"Saya amat gembira atas peluang dan kerjasama yang terjalin ini," katanya.

MoU itu ditandatangani Mohd Roslan manakala Yayasan Suluh Melayu Nusantara diwakili Pendiri/Pembinanya, Datuk H Mahyudin Al Mudra.


Majlis disaksikan Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Prof Madya Dr Hazlina Abdul Halim, Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM, Datuk Prof Dr Abdul Muati@Zamri Ahmad dan Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, Prof Madya Dr Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi.

Sementara itu, H Mahyudin Al Mudra berkata, pihaknya menyambut baik jalinan kerjasama itu. Beliau berharap MoU itu dapat memperkaya pengetahuan dan pemahaman masyarakat terhadap kebudayaan Melayu dan memperluas penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

Melalui MoU itu juga, diharapkan lebih banyak peluang mengadakan program perkongsian ilmu dan pengalaman antara kedua-dua institusi.

Kesepakatan yang dicapai akan memberi impak positif iaitu dapat mempertingkatkan pemahaman dan penggunaan bahasa Melayu di peringkat global selain memperkukuhkan serta memperkembangkan bahasa Melayu seiring dengan dunia moden yang semakin kompetitif.

Tarikh Input: 12/07/2023 | Kemaskini: 12/07/2023 | nazryhisham

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT NAIB CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
SXEbVAG~