NILAI MURNI | PEJABAT NAIB CANSELOR
» UNIT INTEGRITI » TAKRIF ETIKA KERJA » NILAI MURNI

NILAI MURNI

nilaimurnidalamkerja


Nilai Murni dalam Etika Kerja

Terdapat dua belas (12) nilai murni yang menyokong Etika Kerja Universiti Putra Malaysia, iaitu:

1. Amanah
2. Adil
3. Benar dan Telus
4. Bijaksana
5. Bersyukur dan Bersabar
6. Cekap, Cepat dan Tepat
7. Ikhlas
8. Penyayang
9. Berdisiplin
10. Bersih
11. Bertanggungjawab
12. Berdedikasi

Huraian Nilai Murni dalam Etika Kerja

1. Amanah

Staf yang amanah mempunyai hati yang ikhlas, niat yang baik dan jiwa yang murni. Setiap perbuatan dan tindakannya dilaksanakan dengan ikhlas, adil dan saksama dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas tanpa penyalahgunaan kuasa dan kedudukan. Contohnya:

(a) Sentiasa menjalankan tugas yang diberikan dengan penuh tanggungjawab tanpa penyelewengan dan kecuaian;

(b) Bersikap jujur dan setia kepada organisasi tanpa penyalahgunaan kuasa dan kedudukan;

(c) Menggunakan masa dengan sebaik-baiknya dan menyiapkan kerja dalam tempoh yang ditetapkan dan tidak menggunakan masa pejabat untuk urusan peribadi;

(d) Berdisiplin dan mengawal diri dan tidak melakukan sesuatu yang boleh menghilangkan kepercayaan orang lain terhadap dirinya;

(e) Bertanggungjawab melaporkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.


2. Adil

Membuat pertimbangan yang saksama dan sama rata dalam setiap tindakan dan keputusan berasaskan undang-undang, peraturan, keutamaan dan fakta lengkap dan tepat. Dengan itu, setiap staf perlu:

(a) Mendapatkan maklumat lengkap tentang kehendak undang-undang dan peraturan serta keutamaan fakta yang tepat sebelum membuat sesuatu keputusan atau tindakan;

(b) Membuat penilaian secara objektif dan profesional;

(c) Menerima pandangan dan bersedia membuat pertimbangan semula apabila mendapat maklumat dan fakta yang lebih lengkap dan tepat;

(d) Membuat pertimbangan dengan kritikal dan analitikal dan menggunakan kaedah yang betul;

(e) Menghargai hak dan keperluan setiap individu dan kumpulan serta bertindak dengan penuh bertimbang rasa;

(f) Menyeimbangkan pembawaan dan adil kepada diri sendiri serta adil terhadap ketua, orang bawahan dan rakan sekerja.
 
 

3. Benar dan Telus

Setiap tindakan dan keputusan hendaklah dibuat melalui proses yang telus dan maklumatnya perlu dihebahkan kepada pihak yang berhak selagi ia tidak bercanggah dengan undang-undang dan peraturan. Selain itu, semua staf hendaklah benar pada niat dan perbuatan. Contohnya:-

(a) Mempunyai niat yang baik dan jujur dalam melakukan sesuatu pekerjaan, tanpa niat yang tersembunyi atau pun mengharapkan balasan;

(b) Bercakap benar dan menepati janji, tidak bercakap bohong dan mungkir janji;

(c) Bersedia untuk mempelajari atau menerima nasihat orang lain dengan tidak bersikap sombong dan angkuh;

(d) Memberikan atau menerima arahan yang jelas dan tepat dan tidak mengelirukan;

(e) Rela berkongsi pengalaman, ilmu dan kepakaran untuk kejayaan bersama;

(f) Mengamalkan kaedah syura dalam tindakan dan keputusan yang hendak dibuat;

(g) Bersikap terbuka dalam memberikan buah fikiran dan pendapat serta yakin dalam menegakkan kebenaran;

(h) Memaklumkan tindakan dan keputusan kepada pihak yang berhak mengetahuinya, sama ada pihak dalam organisasi atau luar organisasi.
 
 

4. Bijaksana

Menggunakan pemikiran dengan bijaksana dalam membuat keputusan dan tindakan sesuai dengan masa dan keadaan. Mempunyai kekuatan ilmu pengetahuan, kemahiran, daya cipta dan daya fikir merancang sesuatu secara sistematik dan strategik, seperti:-

(a) Menggunakan seluruh potensi, keupayaan dan kepakaran untuk menjayakan sesuatu tugas dengan cemerlang dan tidak mengambil jalan mudah;

(b) Berupaya memperkenalkan serta melaksanakan kaedah baharu dalam pelbagai bentuk yang boleh memudahkan kerja dan menjimatkan tenaga, masa dan kos serta meningkatkan penghasilan dan mutu kerja;

(c) Sentiasa berusaha menghasilkan kerja yang bermutu tinggi dan berkualiti;

(d) Mempunyai fikiran yang rasional dan pertimbangan yang saksama dalam menyelesaikan sesuatu masalah dengan tidak mengikut perasaan dan emosi;

(e) Sentiasa mempertingkatkan ilmu, kepakaran dan profesionalisme.
 
 

5. Bersyukur dan Bersabar

Sabar dan tabah serta mempunyai ketahanan hati dan perasaan dalam menghadapi sebarang tekanan, desakan keadaan sekeliling atau menerima sebarang kesusahan. Sentiasa bersyukur di mana perasaan dan perlakuan yang menghargai nikmat dan pemberian yang diterima, antaranya:-

(a) Memberikan perkhidmatan yang baik walaupun dalam suasana kerja yang mendesak;

(b) Dapat mengawal emosi apabila menerima cabaran serta nekad dan gigih dalam melaksanakan kerja yang mencabar;

(c) Menghargai anugerah dan nikmat yang diterima dengan tidak menganggap kejayaan sebagai hak;

(d) Bersedia memberikan pengiktirafan kepada mereka yang berjaya tanpa sebarang prasangka, berdendam atau menabur fitnah;

(e) Menghadapi masalah dengan tenang dan reda menerima ketetapan, kegagalan dan ujian serta tidak boleh berputus asa; dan

(f) Berpuas hati dengan nikmat yang diperoleh seperti ganjaran yang diterima dan kemudahan yang disediakan.
 
 

6. Cekap, Cepat dan Tepat

Cekap, cepat dan tepat dalam melaksanakan tugasnya. Sentiasa peka terhadap masa, kualiti dan melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh sehingga sempurna dan mencapai matlamat dalam jangka waktu yang bersesuaian. Contohnya:-

(a) Tekun dan rajin serta bersikap positif dalam melaksanakan tugas dan memastikan bahawa hasil kerja sentiasa berkualiti;

(b) Menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sabar, teliti dan ceria, tidak cuai atau merungut;

(c) Berusaha ke arah kesempurnaan kerja sewaktu pertama kali melakukannya.
 
 

7. Ikhlas

Berhati suci dalam menunaikan tanggungjawab untuk menghasilkan kerja yang terbaik dengan tidak mengharapkan ganjaran. Antaranya:-
 

(a) Menerima tanggungjawab dengan rela dan hati yang suci, tidak berpura-pura atau mengelak daripada tanggungjawab;

(b) Menjalankan tugas semata-mata untuk mencapai matlamat organisasi, bukan kerana pangkat, kedudukan atau mendapat perhatian orang lain;

(c) Memberikan layanan yang baik, dengan tidak mengira pangkat, status atau kedudukan dan tidak bersikap pilih kasih;

(d) Bersedia menerima teguran dan kritikan dengan hati dan fikiran yang terbuka;

(e) Saling hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa sebarang kepentingan.



8.
Penyayang

Perasaan dan perlakuan yang menunjukkan sikap memahami, menghargai dan mengambil berat, seperti:-

(a) Bersifat pemaaf dan penyayang, tidak berdendam, sombong dan suka meninggi diri;

(b) Menganggap setiap orang mempunyai harga diri yang perlu dihormati tanpa sebarang prasangka buruk;

(c) Bersifat bertimbang rasa dan suka mengambil berat dalam melaksanakan tugas;

(d) Menjadikan organisasi sebagai sebuah keluarga besar yang penuh kemesraan

(e) Bersifat simpati dan empati dalam menjalankan tugas seharian.
 
 

9. Berdisiplin

Staf yang berdisiplin sentiasa berupaya mengawal diri untuk berperilaku berlandaskan undang-undang, peraturan, prinsip dan nilai mulia. Contohnya:-

(a) Tertib dalam kelakuan dan tindakan;

(b) Patuh dan taat kepada arahan, peraturan dan undang-undang;

(c) Berpegang teguh  kepada ajaran agama dan sentiasa menjaga maruah diri, organisasi, perkhidmatan dan negara;

(d) Melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan tekun tanpa penyeliaan yang rapi.
 
 

10. Bersih

Bersih ialah nilai yang melambangkan sifat suci daripada kekotoran rohani dan jasmani dalam menjalani kehidupan. Dalam konteks perkhidmatan, bersih bermakna sikap dan perilaku staf UPM yang tidak menunjukkan sifat seperti niat jahat, buruk sangka, iri hati, marah, cemburu, dendam, dan sebagainya. Bersih juga bermakna sentiasa prihatin kepada kebersihan luaran atau persekitaran dan juga bersih dari segi pemilikan harta. Contohnya seperti:-

(a) Hubungan dengan sesama pegawai/rakan dan pelanggan sentiasa tertib dan sopan;

(b) Pertuturan tidak menyinggung perasaan;

(c) Pakaian sentiasa bersih dan kemas, dan tempat kerjanya sentiasa tersusun;

(d) Sentiasa memastikan bahawa harta yang diperoleh adalah bersih dan berpadanan dengan kedudukan dan kemampuan;

(e) Sentiasa mengawal diri supaya tidak terjerumus dalam keadaan berhutang yang tidak terkawal sehingga mendorong kepada perbuatan keji seperti penipuan, penyelewengan atau rasuah.



11. 
Bertanggungjawab

Bertanggungjawab dan sentiasa melaksanakan sesuatu kerja, tugas atau janji yang telah diamanahkan dapat dicapai dengan sempurna dan berkesan. Bertanggungjawab juga bermaksud melaksanakan sesuatu tugas dengan berlandaskan undang-undang, peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan. Contohnya:-

(a) Menghayati sikap ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’;

(b) Sentiasa munurut peraturan yang ditetapkan dalam melaksanakan sesuatu tugas;

(c) Bertanggungjawab terhadap sebarang tindakan yang telah dibuat;

(d) Bekerja dengan ihsan, iaitu sedia berkhidmat, menerima dan melayan pelajar, staf dan orang awam yang datang berurusan dengan saksama;

(e) Mengawal kerahsiaan dan tidak membocorkan atau memberitahu perkara sulit kepada orang yang tidak berkenaan;

(f) Sentiasa mengekalkan nilai profesionalisme yang tinggi semasa melaksanakan sesuatu tugas;

(g) Sentiasa menjaga nama baik Universiti Putra Malaysia.



12. 
Berdedikasi

Berminat dan rela mengorbankan masa dan tenaga secara berterusan semasa menjalankan tugas. Sentiasa mempunyai daya saing dan dorongan yang tinggi untuk meningkatkan prestasi dan bersedia menerima nasihat atau teguran. Contohnya:-

(a) Bekerja tanpa jemu dan bosan serta bersedia menerima tugas dengan rela hati;

(b) Sanggup berkorban masa dan tenaga demi kepentingan perkhidmatan;

(c) Menumpukan pekerjaan ke arah pencapaian misi dan matlamat organisasi.


Sumber : Unit Integriti, Universiti Putra Malaysia 


Kemaskini:: 20/10/2016

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT NAIB CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
B1566053853