UPM Raih 32 Terbaik Dunia, Ketiga Asia Ranking Hijau UI-Greenmetric | PEJABAT NAIB CANSELOR
» BERITA » UPM raih 32 terbaik dunia, ketiga Asia ranking hijau UI-Greenmetric

UPM raih 32 terbaik dunia, ketiga Asia ranking hijau UI-Greenmetric


SERDANG, 26 Dis - Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatat sejarah negara apabila tersenarai pada kedudukan ke-32 terbaik di dunia dalam penarafan UI-Greenmetric World University Ranking 2018 berdasarkan usaha kelestarian kampus hijau dan pengurusan alam sekitarnya.

 

 

Keputusan itu juga menjadikan UPM berada pada kedudukan ketiga Asia, kedua di Asia Tenggara dan mengekalkan kedudukan pertama dalam negara selama sembilan tahun berturut-turut sejak ranking itu diperkenalkan pada tahun 2010.

Penarafan yang mengukur komitmen setiap universiti dalam membangunkan infrastruktur mesra persekitaran itu berjaya menarik penyertaan 719 universiti seluruh dunia. Empat universiti Malaysia yang mendapat kedudukan 100 terbaik ialah Universiti Malaya pada kedudukan ke 36, Universiti Malaysia Sabah (71), Universiti Teknologi Malaysia (70) dan Universiti Malaysia Pahang (97).

Ranking UI-Greenmetric yang menilai usaha kelestarian alam sekitar itu mempunyai lebih daripada 40 indikator meliputi 6 skop utama iaitu keluasan tanah & infrastruktur (15%), tenaga dan perubahan  iklim (21%), sisa buangan (18%), air (10%), pengangkutan (18%) dan pendidikan (18%).

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris mengulas bahawa kejayaan itu merupakan komitmen UPM terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar melalui pelbagai aktiviti pengajaran, penyelidikan, kokurikulum dan sistem pengurusan kualiti berteraskan pengurusan alam sekitar yang berkesan.

“UPM mencatatkan peningkatan terutamanya dalam indikator pengangkutan dan infrastruktur seperti saiz dan infrastruktur keluasan  tanah hijau selain penggunaan tenaga yang cekap serta peningkatan fasiliti dan penggunaan basikal di kampus,” katanya.

Keputusan yang dikeluarkan penganjur ranking iaitu Universitas Indonesia (UI) pada 19 Disember 2018 itu menyaksikan universiti-universiti dari Amerika dan Eropah mendominasi ranking 20 teratas.

 

Tarikh Input: 10/01/2019 | Kemaskini: 03/12/2020 | ahmadazlan

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT NAIB CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
SXETXA6~