UPM Hasilkan Inovasi Diagnosis Penyakit Kerongkong Lebih Tepat Dan Pantas | PEJABAT NAIB CANSELOR
» BERITA » UPM hasilkan inovasi diagnosis penyakit kerongkong lebih tepat dan pantas

UPM hasilkan inovasi diagnosis penyakit kerongkong lebih tepat dan pantas

 

 

Oleh: Azman Zakaria

Foto Oleh: Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 26 Feb 2019 -  Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan Inovasi pemeriksaan kerongkong, ‘Throat-lite’ yang menggabungkan penggunaan ‘wooden tongue depressor’ atau spatula dengan lampu LED mini boleh menghasilkan pemeriksaan yang lebih cepat dan cekap ke arah pendiagnosan penyakit yang tepat.

Melalui inovasi itu, penggunaan ‘wooden tongue depressor’ pakai buang sedia ada, ditambahbaik dengan lampu LED mini.

Lampu LED yang kecil, ringan dan boleh dipusing 360 darjah hanya perlu diklip pada  “wooden tongue depressor” untuk digunakan.

Ia hanya dipegang dengan sebelah tangan, manakala cahaya daripada lampu LED mini yang dipasang pada ‘wooden tongue depressor,’ boleh dihalakan tepat pada bahagian yang perlu diberi perhatian.

Pakar Patologi (Hematologi) (Pengkhususan Kaji Penyakit Bahagian Darah), Fakutli Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Sabariah Md Noor, berkata, melalui intervensi itu, pemeriksaan kerongkong di kalangan kanak-kanak akan menjadi lebih mudah dan membolehkan pemeriksaan dilakukan oleh seorang pengamal perubatan sahaja.

Katanya, pengamal perubatan tidak memerlukan bantuan kakitangan sokongan atau ibu bapa pesakit untuk memegang, meriba pesakit atau menstabilkan kedudukan kepala pesakit dan menenangkan kanak-kanak yang mungkin meragam sewaktu pemeriksaan dilakukan.

Justeru, katanya, ‘Throat-lite’ ini yang bersaiz kecil, mudah alih dan praktikal, boleh memberi impak besar dalam tugas harian pengamal perubatan, yang membolehkan mereka memberi rawatan segera dan bersesuaian daripada pendiagnosan penyakit.

Katanya, idea menghasilkan ‘Throat-lite,’ itu tercetus ketika perbincangan beliau dengan Pakar Pediatrik Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Dr. Shazreen@Fatihah Shaari kerana menyedari kesulitan yang dihadapi pengamal perubatan semasa pemeriksaan kerongkong kanak-kanak.  

Menurutnya, pada masa ini pengamal perubatan memerlukan bantuan kakitangan sokongan atau ibu bapa untuk memegang kanak-kanak semasa pemeriksaan kerongkong manakala pengamal perubatan pula memegang lampu suluh dengan satu tangan manakala sebelah tangan lagi memegang ‘wooden tongue depressor’.

Katanya, perbincangan itu di ketengahkan sebagai satu projek yang membabitkan dua pelajar tingkatan satu Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya – Muhammad Danish Imtiaz Syamul Kamal, dan Aiman Harun Norashid – pada Program Global I-Lead STEM Camp & International STEM Olympiad (GISC & ISTEMO) 2018 di UPM, baru-baru ini.

Sebelum program GISC itu, kaji selidik telah dijalankan di kalangan pengamal perubatan mengenai masalah dan keperluan pencahayaan yang baik sewaktu pemeriksaan kerongkong.

Sebanyak 90 peratus responden bersetuju bersetuju bahawa pemeriksaan kaviti oral di kalangan kanak-kanak adalah rumit berbanding pemeriksaan orang dewasa, dan mereka sebulat suara bersetuju bahawa sumber cahaya adalah keperluan yang amat penting dalam pemeriksaan kerongkong dengan baik.

Kajian pasca intervensi penggunaan ‘Throat-lite’ juga dilakukan sepanjang program GISC itu membabitkan 24 pengamal perubatran. Sebanyak 63% responden amat berpuashati, 21% responden berpuashati dan selebihnya bersetuju dengan intervensi berkenaan.

Maklumbalas mengenai tiga aspek utama yang paling membantu mereka sama ada rekabentuk, alat yang senang untuk digunakan, faktor mobiliti dan praktikaliti, atau kesemua ciri-ciri tersebut, menunjukkan 46 peratus menyatakan mereka menyukainya kerana faktor mobiliti dan praktikaliti, 42 peratus menghargai intervensi pemasangan lampu LED mini itu dan berpuas hati dengan ketiga-tiga aspek yang disenaraikan iaitu reka bentuk, faktor mudah alih dan praktikaliti.

‘Throat-lite’ memenangi anugerah pingat perak pada ISTEMO 2018.

Dr. Sabariah berharap penggunaan ‘Throat-lite’ dapat merealisasikan sebahagian misi dan visi Kementerian Kesihatan iaitu pemeriksaan pesakit dapat dilakukan dengan lebih cepat dan cekap ke arah pendiagnosan penyakit yang tepat, seterusnya rawatan segera dan bersesuaian dapat dijalankan. – UPM

Tarikh Input: 08/04/2019 | Kemaskini: 08/04/2019 | ahmadazlan

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT NAIB CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
SXDdFAA~