UCAPAN TAHUN BAHARU 2023 DAN PENGHARGAAN UNTUK WARGA UPM DARI NAIB CANSELOR UPM | PEJABAT NAIB CANSELOR
» ARTIKEL » UCAPAN TAHUN BAHARU 2023 DAN PENGHARGAAN UNTUK WARGA UPM DARI NAIB CANSELOR UPM

UCAPAN TAHUN BAHARU 2023 DAN PENGHARGAAN UNTUK WARGA UPM DARI NAIB CANSELOR UPM

TahunBaharu2023.jpeg

Segala puji bagi ALLAH SWT Pentadbir Seluruh Alam, Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

 

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan salam sejahtera warga UPM yang saya kasihi dan hormati,

 

  1. Tahun 2022 telah melabuhkan tirai sebagai tanda pengakhiran suatu episod perjuangan yang mencabar, berliku dan menuntut ketahanan fizikal dan mental buat kita semua. Justeru, pada kesempatan ini, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga UPM atas ketulusan dan komitmen padu yang diberikan bagi memastikan UPM sebagai menara ilmu terus cemerlang mencetak kejayaan di samping beriltizam agar segala perancangan dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

 

  1. Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH SWT, dengan limpahan rahmat dan keizinan-Nya jua, pada Tahun 2022 UPM telah meraih banyak pencapaian yang membanggakan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi serta jaringan industri dan komuniti untuk memastikan UPM terus unggul sebagai sebuah universiti yang bereputasi antarabangsa, Hal ini terbukti apabila UPM menduduki tempat ke-123 di dunia dan ke-2 terbaik negara dalam QS World University Ranking 2023. UPM juga telah diumumkan berada pada kedudukan ke-27 terbaik di Asia dan yang kedua terbaik di Malaysia melalui penarafan QS Asia University Rankings 2023. UPM kini berada pada landasan betul ke arah menjadi 100 universiti terkemuka dunia menjelang tahun 2025. Pencapaian yang memberansangkan ini adalah hasil pendekatan dan inisiatif pintar semua pihak khususnya melalui pelaksanaan perancangan Pelan Strategik UPM 2021-2025.

 

  1. Di samping itu, UPM terus mengekalkan reputasi sebagai universiti paling lestari di negara untuk tempoh 12 tahun berturut-turut dalam UI-GreenMetric World University Ranking 2021 Top 50 Sustainable Universities in The World. Kejayaan ini berdasarkan usaha kelestarian kampus hijau dan pengurusan alam sekitarnya. Tahniah kepada semua warga UPM atas pencapaian cemerlang ini.

 

  1. Kejayaan yang diperoleh ini adalah milik setiap warga Universiti, daripada peringkat pelaksana, pentadbir hinggalah kepada akademik, rakan industri dan komuniti yang telah melaksanakan  peranan masing-masing demi kelangsungan kejayaan UPM selaras dengan semangat untuk sederap melangkah menuju Al-Falah iaitu kejayaan di dunia dan di akhirat. Namun, kita perlu menginsafi bahawa kejayaan yang dicapai sepanjang 2022, merupakan suatu anugerah dan amanah daripada Allah SWT untuk kita urus dan memberikan khidmat bakti kepada masyarakat dengan sebaiknya. Justeru, saya dengan rendah diri menyeru dan berharap agar komitmen warga UPM dapat dipertingkat bagi memastikan peranan UPM sebagai Menara Ilmu dilestarikan dan semangat “Berilmu Berbakti” terus disuburkan.

 

  1. Pada tahun 2022 ini, kita telah dapat menyempurnakan Majlis Konvokesyen UPM ke-46, Sidang Satu pada 1 November 2022 di UPM Kampus Bintulu dan Sidang Dua bermula dari 26 November hingga 2 Disember 2022 di UPM Kampus Serdang dengan cemerlang dan jayanya. Kejayaan kita melaksanakan Majlis Konvokesyen UPM Ke-46, Sidang Satu di UPM Kampus Bintulu telah melakar satu sejarah yang tersendiri kepada universiti dan para graduan yang terlibat. Kejayaan ini merupakan suatu cabaran dan ujian yang menuntut kesediaan mental dan fizikal setiap individu yang terlibat. Perancangan yang teliti, persediaan yang rapi serta kesepaduan komitmen warga kerja, membuktikan bahawa kita sentiasa bersedia mencitra kegemilangan yang melibatkan UPM Kampus Serdang dan UPM Kampus Bintulu.

 

  1. Keterlihatan UPM dalam bidang pertanian akan terus diupayakan dan berhasrat menjuarai agenda pertanian berteknologi tinggi. Mulai Semester Pertama, Sesi 2022/2023, UPM telah mula menawarkan Program Bacelor Teknologi Pertanian Pintar. Program ini dijangka dapat melahirkan teknologis pertanian berpengetahuan dan kompeten untuk mengendalikan teknologi pertanian pintar yang lestari, serta seterusnya dapat membangun dan mengurus pengeluaran pertanian berasaskan sistem pertanian pintar.

 

  1. Namun pada masa yang sama, bidang-bidang lain yang menjadi bidang tujahan utama terus diprakasakan bagi memastikan Pelan Strategik 2021-2025 UPM digalas bersama oleh warga UPM dan pemegang taruh. Pencapaian gemilang para pelajar UPM samada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa melalui penglibatan dalam bidang sukan, reka cipta dan inovasi, keusahawanan dan kesukarelawanan telah membuktikan bahawa matlamat utama kita iaitu untuk melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang berada pada landasan terbaik.

 

  1. Usaha membumikan hasil penyelidikan oleh penyelidik UPM bagi membantu menyelesaikan masalah masyarakat terus dirancakkan dan akan terus dipergiat pada tahun 2023. Hal ini bagi memastikan peranan dan fungsi UPM sebagai menara ilmu direalisasikan dengan penglibatan dan penyaluran kepakaran serta pemindahan ilmu kepada komuniti menerusi jalinan kerjasama dengan industri diperteguh. Terima kasih kepada semua warga UPM yang sentiasa cakna untuk bersama-sama memikul tanggungjawab dan menghayati aspirasi ini sebagaimana yang dihasratkan.

 

  1. Tahun 2022 memperlihatkan komitmen Pengurusan UPM dalam merencana dan menilai semua projek yang tertangguh dengan strategi baharu yang dapat memacu UPM untuk jangka masa panjang. Antaranya Putra Medical City (PMC), sebuah projek berskala besar berbentuk usahasama awam swasta, Public Private Partnership (PPP) akan terus diupayakan pembinaannya. Begitu juga pembinaan Menara Jam Warisan Budi Putra yang bakal menjadi salah satu mercu tanda baharu UPM akan memulakan pembinaan pada 2023 dengan pembiayaan sebahagian besar daripada sumbangan alumni sejajar dengan hasrat kita untuk melibatsamakan peranan alumni dalam kelangsungan Universiti.

 

  1. UPM sekali lagi turut membuktikan keunggulannya dalam sukan apabila buat kali ketiganya meraih juara keseluruhan Sukan Institusi Pengajian Tinggi 2022 dengan meraih 38 emas, 19 perak dan 20 gangsa. Selain itu, UPM juga telah menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia Kali ke-44 Tahun 2022 dan buat pertama kalinya muncul sebagai juara keseluruhan pada temasya sukan tersebut.

 

  1. UPM juga telah mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan peruntukan perbelanjaan mengurus ekoran kekangan kewangan dan kekurangan sumber kesan perubahan senario ekonomi peringkat nasional dan global. Selaras dengan keputusan kerajaan, UPM telah mengambil keputusan untuk terus mengamalkan dasar perbelanjaan yang berhemat bagi tahun 2022 dan 2023 akan datang melalui pelaksanaan langkah-langkah untuk mengoptimumkan perbelanjaan dan penjimataan yang digariskan kepada Pusat Tanggungjawab dan warga UPM. Saya menaruh kepercayaan yang tinggi semua Ketua PTJ dan warga UPM khususnya untuk menguruskan kewangan mengikut peraturan kewangan yang telah ditetapkan, memastikan perlaksanaan sesuatu program, aktiviti mahupun projek adalah selaras dengan jumlah peruntukan yang telah diluluskan, memastikan semua peruntukan yang diluluskan mempunyai jadual pelan tindakan supaya dapat dibelanjakan mengikut perancangan. Di samping itu kita perlu  bersama-sama memikul tanggungjawab ini bagi memastikan segala dasar perbelanjaan dilakukan secara teliti, cekap, berkesan, mempunyai nilai untuk wang (value for money), berjimat dan berpegang kepada amalan-amalan yang terbaik supaya pengurusan kewangan universiti berada pada tahap yang terkawal dan telus.

 

  1. Penggunaan tenaga amat penting dan agak tinggi di dalam kampus UPM, ini memberikan kesan besar kepada universiti apabila tarif elektrik yang semakin meningkat kepada pengguna dari semasa ke semasa. Sehubungan itu, UPM sedang merintiskan langkah membangunkan tenaga solar sebagai sumber alternatif tenaga lebih lestari. Penggunaan tenaga solar mungkin memberi impak kepada penurunan permintaan tenaga elektrik dalam kampus, sekali gus memberi keseimbangan kewangan universiti pada masa hadapan. Bagi organisasi yang mempunyai kawasan lapangan yang luas seperti UPM, projek tenaga solar mungkin mampu menjana pendapatan dalam tempoh lima tahun sekurang-kurangnya pada masa akan datang.

 

  1. Ekoran kekangan sumber, UPM mesti meneroka konsep perkongsian pintar pada masa kini dan akan datang. Satu perkongsian antara pelbagai pemegang taruh (multi-stake holder) untuk mendapatkan hasil keuntungan yang seimbang kolaborasi institusi dengan komuniti yang melibatkan aset dan juga inisiatif dalam jangka masa yang panjang. Kolaborasi ini boleh melibatkan pelbagai bidang di UPM (community-based effort atau industry-based effort). Satu bentuk hubungan rakan kongsi antara individu dengan individu, individu dalam organisasi dan organisasi dengan organisasi. Mewujudkan kerjasama yang berorentasikan situasi menang-menang. Menikmati keuntungan yang seimbang dan sama rata atau setidak-tidaknya secara adil dalam kalangan rakan kongsi berasaskan nilai mempercayai, toleransi, ketelusan, menghormati perbezaan. Di peringkat universiti, pelaksanaan perkongsian pintar boleh menghasilkan faedah-faedah berikut iaitu menjimatkan kos pembangunan fasiliti universiti, meningkatkan prestasi universiti secara menyeluruh, meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan kepakaran serta memudahkan perkongsian data dan sumber.

 

  1. Pada saat 2022 melabuhkan tirainya, negara kita sekali lagi diuji dengan musibah banjir yang turut memberi kesan kepada warga dan pelajar UPM yang terlibat. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua sukarelawan UPM samada staf dan pelajar yang telah bersama-sama turun padang dalam operasi membantu mangsa banjir baru-baru ini menerusi inisiatif Putra Bakti dan Putra Cakna yang diwujudkan sebagai landasan untuk menyantuni dan memberikan kebajikan kepada komuniti dan warga kampus. Usaha ini juga sebagai tanda solidariti dan kecaknaan serta penzahiran keprihatinan warga kampus yang sentiasa berteguh setia.

 

  1. Saya memberikan jaminan bahawa UPM sentiasa komited menjaga kebajikan semua pihak di kampus hijau ini seterusnya memastikan tidak ada yang tersisih termasuk kakitangan pelaksana dan pelajar. Inisiatif Putra Bakti dan Putra Cakna akan memberi fokus kepada nilai kebersamaan, keterangkuman dan kesyukuran yang merupakan benih mencambahkan penyatuan warga UPM selama ini melalui program kesukarelawanan dan kebajikan. UPM akan memperkasa sosio ekonomi warganya di bawah pemerkasaan fungsi dan peranan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) dalam aspek kebajikan warga UPM melalui sumbangan bantuan yang berterusan sepanjang tahun dalam usaha untuk mengurangkan beban kehidupan dan kos sara hidup warga UPM yang memerlukan. Bagi menjayakan usaha ini, saya menyeru pendayaupayaan warga UPM untuk melaksanakan budaya berzakat harus disemat dengan niat ikhlas, tekad yang kuat, komitmen, konsisten dan penuh amanah. Insya-Allah dampak positif dapat dirasakan tatkala budaya berzakat sudah tertanam kuat dalam diri individu setiap warga UPM.

 

  1. Dunia pendidikan kini saban hari mengalami pelbagai perubahan sejajar dengan reformasi bagi melahirkan generasi minda kelas pertama dan sumbangan yang berimpak kepada masyarakat dan negara melalui penyelidikan, pengembangan, khidmat komuniti dan jaringan industri serta masyarakat. Seiring dengan perubahan-perubahan yang berlaku ini, turut mendesak perubahan dalam gaya pengurusan dan kepimpinan universiti yang dapat meningkatkan keberkesanan universiti terutamanya dalam aspek penjanaan dan pendanaan sumber kewangan kepada universiti. Sehubungan dengan itu, saya sangat mengalu-alukan cadangan, pandangan dan idea semua pihak di UPM untuk tampil menyampai, berkongsi dan membentang apa-apa berkaitan penjanaan dan pendanaan universiti ini.

 

  1. Tahun 2023 terus menyajikan cabaran yang menuntut kita lebih waspada dalam menyusun langkah dan mengatur tapak agar segala perancangan yang diatur dapat dilaksanakan. Tadbir urus yang cekat diperlukan supaya tidak wujud ketirisan, pembaziran dalam urus kendali. Namun pada masa sama, aspek kesejahteraan warga UPM sentiasa dipertingkat dari semasa ke semasa meskipun beban kewangan semasa kurang memberangsangkan. Tadbir urus kewangan yang lebih berhemah menerusi langkah penjimatan yang realistik menjadi amalan utama bagi mengurangkan beban kewangan universiti. Usaha mengoptimumkan kepakaran warga UPM akan terus dilagang bagi memastikan aktiviti dan pencapaian cemerlang UPM secara keseluruhan dapat terus dipacu. 

 

  1. Pada kesempatan ini juga, saya ingin sekali lagi merakamkan ucapan tahniah dan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha gigih bagi memastikan kecemerlangan berterusan UPM. Kita ucapkan selamat tinggal kepada 2022 dan selamat datang buat 2023 dengan iltizam yang jitu untuk teguh bersatu membina benteng agar terus utuh demi kelangsungan masa depan UPM yang gemilang.

 

  1. Patrikan usaha dengan memperkukuh dan mempererat hubungan sesama warga UPM samada Kampus Serdang mahupun Kampus Bintulu sebagai sebuah keluarga besar yang sentiasa mengimpikan kehidupan yang sejahtera dan harmoni dikecapi di bumi Malaysia yang tercinta ini. Semoga Tahun 2023 ini, kita terus berganding bahu  “Memahat Gemilang, Membingkas Kelangsungan Al-Falah” daripada menara ilmu bagi memastikan obor kejayaan terus menyala menerangi neraca kecemerlangan dan kegemilangan buat UPM. Kita terus berdoa agar segala perancangan yang diatur dalam kerangka usaha dan ikhtiar kita akan diterima sebagai amal kebaikan bagi memperoleh keredhaan Allah SWT. Insya-Allah

 

Akhirul kalam, saya akhiri ucapan saya dengan lafaz yang mulia,

 

“Dengan Nama Allah, Kami berserah diri kepada-Nya, dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan Pertolongan-Nya”. Amin

 

Sekian, Wabillahi taufik wal hidayah, Wassalaa mualaikum warohmatullahi wabarokaatuh.

 

"BERILMU BERBAKTI"

 

Saya yang menjalankan amanah,

 

DATO’ PROFESOR DR. MOHD. ROSLAN SULAIMAN

Naib Canselor UPM

Tarikh Input: 09/01/2023 | Kemaskini: 09/01/2023 | nazryhisham

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT NAIB CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
SXETLAx~