Memilih Genetik Warna Mata Anak?: Interaksi Bioteknologi, Sistem Nilai Dan Fiqh Masa Depan | PEJABAT NAIB CANSELOR
» ARTIKEL » Memilih genetik warna mata anak?: Interaksi Bioteknologi, Sistem Nilai dan Fiqh Masa Depan

Memilih genetik warna mata anak?: Interaksi Bioteknologi, Sistem Nilai dan Fiqh Masa Depan

Image result for genetik Image result for mata

Bayangkan, pada hari sebelum Zuckerberg menulis baris kod pertama Facebook, seorang pelajar muslimah didekati beberapa kawan lelaki yang dia tidak berapa kenal.

 Mereka kata, "Boleh kami minta semua gambar awak minggu lepas?"

 "Eh, nak buat apa?" tanya pelajar tersebut.

 "Saja kami nak tengok malam-malam bila boring." Kebanyakan pelajar dalam situasi itu akan tidak selesa. Sistem nilai dalam dirinya meletakkan permintaan itu di luar garis penerimaan.

Tetapi, sedekad kemudian, dominasi teknologi media sosial mengalihkan garis penerimaan itu.

Hari ini, ramai yang bukan sahaja selesa berkongsi gambar, malah mungkin mengharapkan gambar itu dilihat dan diberi likes oleh seramai yang boleh, termasuklah oleh lelaki yang mereka tak berapa kenal.

 

Teknologi mempengaruhi sistem nilai

Contoh itu bukan diberi untuk mengatakan teknologi merosakkan nilai insani. Banyak contoh lain yang membuktikan kebaikan hampir semua jenis teknologi.

Poin di sini ialah teknologi tidak se-neutral yang kita sangkakan. Capaian teknologi mempengaruhi perubahan sistem nilai insan. Ia mengalihkan garis penerimaan kita terhadap sesuatu.

Di Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul sendiri, ada banyak perubahan nilai berkaitan bioteknologi yang patut dibanggakan.

Kalau industrialis menilai buangan pertanian sebagai "tak berguna", penyelidikan Enviromental Biotechnology Research Group akan memutarkannya 360 darjah, menjadikan buangan pertanian sebagai potensi kekayaan.

Jika ada ahli masyarakat yang menilai virus hanya sebagai musuh kesihatan, persepsi mereka akan diubah pasukan Medical Biotechnology Research Group yang merekrut virus sebagai tentera dalam memerangi kanser.

 

CRISPR dan hala tuju perubahan nilai

Perkembangan bioteknologi paling mengagungkan dekad ini ialah CRISPR (disebut "krisper"). Meniru cara bakteria mempertahankan diri, saintis menggunakan CRISPR untuk menyunting susunan genetik organisma -- termasuklah embrio manusia.

CRISPR adalah seperti revolusi yang dibawa Air Asia ke dalam bidang penerbangan. Dulu, pengubah suaian genetik adalah eksklusif untuk makmal yang kaya; ia proses yang lama dan mahal. CRISPR membuka akses itu secara besar-besaran, menjadikan penyuntingan genetik jauh lebih murah dan mudah.

Ia mencurahkan seribu satu idea fiksyen sains ke realiti.

Bioteknologi ini membolehkan kita menulis semula susunan DNA untuk menghentikan penyakit dan kecacatan, walaupun sebelum bayi dilahirkan.

Dalam masa yang sama, ia memungkinkan jutawan masa depan menempah pengubahan genetik anak dalam kandungan: memilih warna mata, ketinggian fizikal, atau kemampuan minda tambahan.

Anak dipertingkat-genetik (genetically-enhanced children) ini menghasilkan subspesis manusia yang superior, yang memenangi semua pingat sukan, yang mendahului semua persaingan kerjaya dan pendidikan. Usaha dan dedikasi tak lagi bermakna kalau mak ayah kita tak mampu menempah terapi peningkatan genetik sebelum kita dilahirkan.

Tetapi, apa salahnya ibu bapa memberikan kelebihan kepada anak jika mampu membayarnya? Di mana garis penerimaan yang sepatutnya?

 

Peranan kepakaran ketiga antara fiqh dan bioteknologi

Disiplin fiqh adalah solusi intelektual yang membantu insan meletakkan garisan penerimaan terhadap aplikasi bioteknologi. Penghasilan fatwa berkualiti adalah penting untuk melindungi ummah dari langkahan ke krisis berdarah akibat ketidak adilan sosial.

Namun perlu diakui, ilmuan fiqh tidak akan dapat mengejar pecutan perkembangan bioteknologi. Seperti itu juga, bioteknologis tidak mampu menyelami lautan kompleksiti usul fiqh.

Oleh itu, mungkin terdapat keperluan fadhu kifayah untuk menyediakan ummah dengan kepakaran ketiga. Kepakaran hibrid ini perlu menguasai aspek saintifik bioteknologi, kemahiran legalistik fiqh, dan interaksi kedua-duanya dengan displin falsafah berkaitan, seperti perbandingan pandangan alam (weltanschaaung), analisis nilai (axiology) dan bioetika.

Mudah-mudahan, dengan usaha ini, kita memerdekakan diri dari kolonisasi pemikiran luar yang membentuk sistem nilai kita berdasarkan pegangan hidup mereka.

Kita akan berdiri di kaki sendiri, meraikan kekayaan intelek yang datang dari diversiti agama dan tradisi spiritual negara ini.

 

Disediakan oleh:

Dr. Irwan Hanish Warsanah 
Ph.D., University of Newcastle, Australia
Kepakaran: Mikrobiologi, Immunologi
 +603-9769 8261
 irwanhanish@upm.edu.my

Tarikh Input: 30/01/2019 | Kemaskini: 30/01/2019 | ahmadazlan

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT NAIB CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
SXDdDAh~