Sudah tentu, kejayaan ini adalah hasil kerjasama strategik semua warga UPM dengan sokongan daripada para alumni dan pemegang taruh UPM. Tahniah dan terima kasih semua! Saya amat menghargai semua jenis usaha, sumbangan dan sokongan yang telah diberikan. Saya percaya setiap usaha walaupun kecil mampu menghasilkan keputusan yang besar. Oleh itu, harapan saya, semoga semua Warga UPM dapat terus menyambung usaha bersama dengan kepimpinan UPM yang baharu, bagi berterusan meraikan lebih banyak kejayaan universiti di masa hadapan.
Kesinambungan Pelan Strategik UPM juga sedang giat dibangunkan. Pelan strategik 2021-2025 ini amat penting bagi melestarikan kecemerlangan UPM dalam memartabatkan statusnya sebagai antara universiti penyelidikan terbaik di dunia, dan seterusnya menjadikan UPM antara 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh tiga tahun lagi, InsyaAllah.
Pelan Transformasi melangkaui 2025 UPM juga sedang giat dijalankan dan buku Pelan Transformasi ini akan dikeluarkan sedikit masa lagi. Jangan lupa amalkan sifat-sifat IHSAN, sepertimana yang telah saya ketengahkan sejak awal tahun 2016. Menghayati dan mengamalkan sifat-sifat IHSAN, seperti amanah, integriti, kecekapan yang tinggi, kesempurnaan, keikhlasan, kualiti dan budaya kecemerlangan, InsyaAllah akan membawa kebahagiaan untuk kita, di dunia dan akhirat kelak.
Sekali lagi, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas sokongan dan kerjasama warga UPM sepanjang saya menerajui UPM. Semoga kita dapat terus kekal berhubungan. Tegurlah saya tidak kira di mana kita berjumpa. Saya boleh dihubungi melalui telefon ataupun email. Saya sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kecemerlangan semua Warga UPM dan UPM yang kita cintai ini.
Didoakan juga agar kita semua diberi kesihatan yang baik serta limpahan taufik dan hidayah daripada Allah SWT.
Dengan penuh rasa rendah diri, saya memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat sebarang salah dan silap sepanjang 4 tahun dan 6 bulan saya menerajui UPM.
#WeLoveUPM #WithKnowledgeWeServe #IhsanPillarofExcellence #StaySafe
Sekian, terima kasih.
“BERILMU BERBAKTI”
Saya yang menjalankan amanah,
|