TAKLIMAT NAIB CANSELOR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA: SITUASI PKP DI UPM | PEJABAT NAIB CANSELOR
» ARTIKEL » TAKLIMAT NAIB CANSELOR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA: SITUASI PKP DI UPM

TAKLIMAT NAIB CANSELOR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA: SITUASI PKP DI UPM

TAKLIMAT NAIB CANSELOR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA,
PROF. DATIN PADUKA SETIA DATO’ DR. AINI IDERIS

‘SITUASI PKP DI UPM’

15 APRIL 2020, RABU, JAM 4.00 PETANG

 

 

BismillahirRahmanirRahim 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam Sejahtera, dan Selamat Tengahari

KEPADA SEMUA warga UPM, staf dan pelajar di UPM kampus Serdang dan kampus Bintulu yang dikasihi sekalian,

  1. Apa khabar semua? Di mana jua tuan-tuan dan puan-puan berada, saya mendoakan semoga warga UPM semua, berada dalam kesejahteraan, sihat dan dalam perlindungan Allah Subhanawata’ala. Tuan-tuan dan Puan-puan selamat berada bersama keluarga tercinta atau bersama kawan-kawan di kolej-kolej kediaman UPM, dan dijauhi dari wabak COVID-19 yang melanda negara kita sekarang.

  2. Hari ini 15 April 2020, adalah hari pertama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa ke 3. Pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Kerajaan bagi Fasa 1 bermula pada 18 Mac 2020. Bermula pada tarikh tersebut, kuliah dihentikan, pelajar-pelajar yang masih berada di UPM, sama ada di kampus Serdang atau Bintulu, tidak dibenarkan keluar kampus, dan semua staf diminta bekerja dari rumah. Hanya segelintir staf yang diperlukan masih terus menjalankan tugas sebagai kumpulan hadapan (front liners). Ini adalah antara langkah-langkah pengawalan wabak penyakit COVID-19, yang kita semua tahu, sekarang melanda hampir semua negara di dunia, menyebabkan wabak ini dikategorikan sebagai pandemik, iaitu penyakit yang merebak di seluruh dunia. Sebagaimana yang kita tahu, Penyakit COVID-19 telah dikenalpasti disebabkan oleh virus corona, yang belum ada vaksin untuk pengawalan penyakit ini, mahupun ubat yang boleh digunakan untuk rawatan, walaupun beberapa negara besar sedang berusaha keras untuk membangun kan vaksin yang efisien dan ubatan yang berkesan.

  3. Semasa kita mula dengar negara China, lebih spesifik Wilayah Wuhan, dilanda wabak COVID-19 pada akhir Disember 2019, saya percaya ramai yang merasakan tempat itu amat jauh dari Malaysia dan COVID-19 tidak mungkin akan sampai ke Malaysia. Kita mendengar saban hari terlalu ramai rakyat China jatuh sakit disebabkan oleh virus ini, ramai pula yang meninggal dunia. Bilangan yang didapati positif bertambah dengan begitu mendadak setiap hari, hinggakan negara China terpaksa membangunkan hospital-hospital baharu untuk menampung pesakit-pesakit yang bilangannya sukar kita bayangkan. Seluruh negara China ditutup dari negara luar.

  4. Saya ingin menekankan di sini betapa pentingnya kita bekerjasama dan akur dengan perintah kerajaan supaya Malaysia tidak akan berada dalam keadaan genting seperti negara China sebelum ini, negara Itali sekarang, dan banyak lagi negara-negara di Eropah serta Amerika Syarikat, yang mana bilangan rakyatnya yang positif dan meninggal dunia adalah sangat menggerunkan. Semoga Allah Subhanawata’ala jauhi negara kita Malaysia dan rakyatnya termasuk kita semua, daripada keadaan sebegitu. Alhamdulillah, dengan kerjasama majoriti rakyat Malaysia, setelah mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan pada Fasa 1 dan Fasa 2, kita dapati kes kes baru penyakit COVID-19 mula menunjukkan penurunan dari segi bilangan yang positif.

  5. Beberapa langkah susulan telah diambil oleh Pihak Pengurusan UPM bagi menyelaras dan memperincikan pelaksanaan PKP agar pematuhan semua peraturan yang telah diputuskan oleh pihak berkuasa dapat dilaksanakan sebaik mungkin. UPM menyambut baik Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia dalam mengekang penularan wabak COVID-19.

  6. Seramai 2,264 orang pelajar UPM di kampus Serdang dan kampus Bintulu yang masih berada di dalam kampus, manakala lebih kurang 1200 orang pelajar lagi yang berada di sekitar atau luar kampus UPM. Pengurusan hal ehwal kebajikan dan penginapan pelajar telah diberi perhatian serius dan tindakan telah diambil bagi memastikan kesan bebanan PKP dapat diringankan dalam kalangan pelajar, seterusnya membendung risiko jangkitan dan penularan wabak COVID-19.

  7. Mulai 18 Mac 2020, Bilik Gerakan 24 jam bagi pengurusan penginapan dan keberadaan pelajar di kolej kediaman serta kebajikan pelajar telah mula beroperasi. Bilik Gerakan yang diketuai oleh Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) ini menempatkan pengetua dan felo kolej kediaman, pegawai dan staf entiti Pejabat TNC (HEPA) serta staf yang tinggal di kuarters UPM seramai 130 orang yang bertugas secara penggiliran bagi membantu pelajar.

  8. Pelajar yang menginap di dalam kampus diberikan bantuan makanan percuma setiap hari, iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam yang dihantar terus ke kolej-kolej kediaman, termasuk juga pelajar yang menginap di Kompleks Perumahan Universiti, Rumah Tamu Universiti dan KMR One PUTRA Residence. Pelajar turut dibekalkan dengan makanan kering seperti roti, biskut, mee segera, minuman segera 3 dalam 1; serta keperluan barangan asas seperti sabun mandi, berus dan ubat gigi dan tuala wanita kepada pelajar perempuan. Selain daripada pemberian terus kepada pelajar, stok makanan kering dan barangan keperluan ini turut dipusatkan di setiap kolej kediaman agar pelajar boleh terus mendapat bekalan sekiranya berkeperluan atau terdesak.

  9. UPM juga tidak lupa terhadap kebajikan pelajar yang tinggal di luar kampus. Menerusi gerak kerja tindakan bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah menghantar bekalan makanan asas iaitu beras, tepung, minyak masak, telur; serta makanan kering lain seperti roti dan biskut kepada 757 pelajar UPM yang tinggal di luar kampus. Program Food Bank bagi tujuan penyaluran makanan hasil sumbangan pihak luar juga diaktifkan bagi tujuan tersebut.

  10. Memahami suasana ‘terkurung’ dan kemungkinan tercetus perasaan bosan, pelajar turut dibantu dari aspek sokongan psikologi oleh kaunselor UPM sepanjang PKP menerusi inisiatif Bahagian Kaunseling UPM. Antara inisiatif tersebut adalah Tele Kaunseling yang melibatkan 12 orang kaunselor bertugas, Slot Chit Chat iaitu bimbingan kaunselor menerusi perkongsian dan mendengar luahan pelajar; serta perkongsian maklumat menerusi poster dan video berkenaan kesedaran menjaga kesihatan mental serta tips pengurusan emosi sepanjang PKP.

  11. Selain itu, Majlis Perwakilan Pelajar dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Pusat Sukan dan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar menganjurkan beberapa aktiviti bagi mengisi ruang masa yang ada seperti Pertandingan e-sport Mobile Legends, Video Kreatif, Video Dakwah Santai, Photypography Creative, UPM Tik-Tok Challenge, UPM Fitness Challenge, Mencipta Slogan dan Tips Menjaga Kesihatan. Sehingga kini sambutan daripada para pelajar amat menggalakkan dan memberansangkan.

  12. Pihak Pengurusan Universiti sedar betapa aspek pengurusan komunikasi krisis sangat penting pada ketika ini. Justeru, bagi menyalurkan semua maklumat yang penting dengan pantas dan sahih sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini, UPM telah mewujudkan Pusat Panggilan Kecemasan Umum dan Khas (Hotline) bagi membolehkan komunikasi krisis dan pertolongan kecemasan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan efisien.

  13. Pada hari ini penularan berita palsu juga semakin membimbangkan dan merumitkan lagi keadaan. Oleh itu, bagi mengelak berita palsu mengganggu kehidupan warga UPM serta memastikan semua menerima maklumat yang sahih, pihak universiti sentiasa berkomunikasi dengan menggunakan platform hebahan dalaman melalui saluran-saluran rasmi seperti Emel rasmi info@upm.edu.my (staf dan pelajar), Media sosial rasmi UPM, dan Laman Web rasmi UPM yang dikemaskini mengikut keperluan. Malah satu saluran baharu juga diwujudkan sewaktu tempoh PKP, iaitu aplikasi Telegram rasmi untuk Staf UPM. Di samping itu, pihak berkepentingan yang lain juga turut disalurkan segala maklumat UPM yang berkaitan dengan menggunakan saluran media sosial rasmi UPM dan aplikasi Telegram rasmi.

  14. Oleh itu saya berharap dan memohon agar seluruh warga UPM untuk mendapatkan berita-berita serta hebahan-hebahan rasmi UPM menerusi saluran yang telah disediakan ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua agar jangan sesekali terlibat dalam aktiviti menyebarkan berita palsu yang boleh mengganggu kententeraman awam serta mencetuskan panik dalam kalangan anggota masyarakat. Jadilah warga UPM yang bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.

  15. Kita semua sedia maklum bahawa COVID-19 telah memberi kesan yang besar dalam segenap aspek kehidupan masyarakat bukan sahaja di Malaysia tetapi global. Sebagai sebuah universiti yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang, ahli akademia khususnya di UPM juga telah turut menyampaikan maklumat dan dirujuk dalam bentuk perkongsian kepakaran. Melalui bidang kepakaran masing-masing, mereka telah menjelaskan impak pandemik dan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui penulisan kepakaran dalam media cetak, dan perkongsian kepakaran dalam media elektronik mahupun media sosial. Alhamdulillah, saya melihat para akademia UPM tidak putus-putus memberi advokasi awam dan dirujuk berdasarkan kepakaran masing-masing, bagi meningkatkan pengetahuan dan kefahaman masyarakat tentang impak COVID-19.

  16. Sebagai contoh, advokasi awam ini telah membincangkan impak pandemik dalam pelbagai aspek seperti perubatan, kesihatan awam, perubatan veterinar, pertanian, ekonomi, teknologi maklumat, psikologi, sosiologi dan keselamatan insan. Saya percaya, usaha murni ini boleh menjadi antara pemangkin kepada komunikasi krisis yang berkesan, dalam menjelaskan situasi semasa dengan harapan, masyarakat lebih bermaklum dan bersedia. Justeru, pada kesempatan ini, saya menggalakkan agar lebih ramai akademia UPM memainkan peranan kritikal ini dengan menyumbang penulisan dan perkongsian kepakaran mereka demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

  17. UPM membudayakan semangat bekerjasama sebagai satu pasukan dalam menangani COVID-19. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kumpulan pakar dan sukarelawan UPM yang telah bergandingan bagi menghasilkan inovasi dan mengerakkan inisiatif terutamanya bagi menyumbang keperluan petugas barisan hadapan COVID-19. Tindakan pantas, cekap, dan dedikasi terutamanya oleh Jawatankuasa Tindakan Kecemasan UPM (ERT-UPM COVID-19), para penyelidik UPM dan sukarelawan telah berjaya menghasilkan lima belas inovasi dan inisiatif untuk memerangi COVID-19.

  18. Seterusnya anggaplah tempoh PKP ini sebagai satu hikmah, untuk kita gunakan sebaiknya masa ini untuk mencapai sasaran tertentu, termasuklah dalam pengkayaan pengetahuan baharu dan juga kerohanian. Walaupun sebenarnya, semua kegiatan dan rutin yang kita jalankan sebelum ini menjadi terhad, atau mungkin ada yang perlu ditangguhkan terus, tidak bermakna sasaran kita sebelum ini perlu terus dihentikan. Kita perlu kreatif untuk improvise mengikut sumber yang ada.

  19. Saya percaya, warga UPM kekal patuh kepada arahan PKP yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan. Duduk di rumah (Stay at home), bagi yang tidak perlu berada di luar. Sentiasa amalkan jarakan sosial (social distancing), jaga kebersihan diri, dan jika perlu keluar, apabila balik ke rumah jangan lupa bersihkan diri dahulu. Manfaatkan peluang PKP ini untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan. Kita perlu jaga sesama kita untuk melalui tempoh ini. Saya percaya, pegawai yang produktif bermula daripada amalan di rumah. Jika di rumahpun kita boleh kekal produktif, InsyaAllah, kita akan dapat mengekalkan momentum kita apabila balik bekerja seperti biasa nanti atau bukan seperti biasa lagi. Urusan duniamungkin berubah. Ingat, elakkan keluar tanpa urusan yang betul-betul penting.

  20. Pastikan juga pelajar-pelajar kita dapat mematuhi arahan PKP ini. Kita tidak mahu pelajar UPM melanggar peraturan dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa di bawah undang-undang yang diguna pakai. Pelanggaraan PKP di dalam kampus juga boleh menyebabkan tindakan tatatertib diambil.

  21. Untuk memastikan kesinambungan fungsi dan peranan Universiti Putra Malaysia, sudah tentu keperluan untuk terus bekerja dari rumah (‘Work from home’) adalah amat perlu. Tempoh PKP bukanlah untuk kita berehat-rehat bercuti di rumah, tetapi kerja hakiki kita perlu diteruskan. Namun begitu, kita bekerja dalam keselesaan di rumah, nak makan bila-bila masa, boleh melayan anak-anak, kita berada bersama keluarga, tidak perlu menghabiskan masa dalam perjalanan, tidak perlu beli minyak kereta atau motosikal, tidak perlu bayar tol, dan lain-lain lagi. Kalau dikira banyak juga yang kita dapat kurangkan perbelanjaan setiap hari. Ini juga adalah satu hikmah.

  22. Tuan Haji Rosdi Wah, Pemangku Pendaftar dalam e-mel kepada semua warga UPM pada 19 Mac 2020, telah mengeluarkan satu panduan tugas untuk staf UPM yang boleh dijalankan dari rumah sepanjang tempoh PKP, selaras dengan Surat Edaran Arahan Bekerja dari Rumah oleh JPA. Saya pasti, semua warga UPM telah membaca panduan tersebut, dan faham akan peranan masing-masing.

    Staf perlu terus responsif terhadap sebarang arahan dan keperluan kerja dari semasa ke semasa. Staf juga boleh diminta hadir di pejabat sekiranya ada keperluan tugas. Ketua juga perlu memahami kekangan staf-staf tertentu. Contohnya, mungkin ada staf yang tiada akses kepada internet sepanjang masa, untuk menjalankan arahan2 tertentu yang perlu dilakukan dari rumah, dan lain2 kekangan. Pandai2 la memberi tugasan yang bersesuaian dengan persekitaran dan kemudahan di rumah.

    Bagi mereka yang perlu hadir di UPM, sekiranya keadaan memerlukan, pastikan bahawa surat kebenaran bertugas dibawa, dan segera pulang ke rumah setelah selesai tugasan. Kita mahu elakkan sebarang risiko daripada terdedah kepada jangkitan virus ini #kitajagakita.

  23. Bagi pegawai akademik pula, aktiviti pengajaran dan pembelajaran perlulah kreatif. Be resourceful! Tiada pilihan selain bergerak kepada kaedah pengajaran online dan e-penilaian. Trend pengajaran dan pembelajaran secara digital adalah menjadi keperluan sekarang. CADe ada menyediakan berbagai platform untuk pengajaran. CADe juga menjalankan latihan2 untuk menyediakan bahan pengajaran dan teknik pengajaran dan pembelajaran secara digital, sebelum dan semasa PKP ini. Rujuk kepada jadual yang disediakan oleh CADe. Sekiranya terlepas latihan atau seminar secara live, Tuan2 dan Puan2 boleh mengikutinya dengan melayari link yang disediakan oleh CADe, mengikut kesesuaian masa masing-masing.

  24. Bagi penyelia-penyelia pelajar siswazah, saya harap semua penyelia kekal berhubung dengan pelajar-pelajar di bawah seliaan masing-masing. Bertanya khabar lah tentang mereka, termasuk pelajar-pelajar antarabangsa, adalah mereka memerlukan apa-apa bentuan, apa yang mereka buat seharian, dan tetapkan target bersama untuk sama2 kekal produktif. Jika terdapat sebarang isu berkaitan P&P, anda boleh terus berbincang dengan Prof Iqbal, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).

  25. Begitu juga dengan aktiviti penyelidikan, marilah gunakan ruang dan situasi ini untuk membaca dan menulis. Masa PKP ini adalah masa yang paling produktif untuk menghasilkan penerbitan akademik berimpak tinggi serta come out dengan cadangan penyelidikan. Banyak geran-geran penyelidikan yang ditawarkan pada masa ini. Hubungi Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), untuk mendapat maklumat lanjut, dan Penerbit UPM untuk mendapatkan bantuan yang berkaitan. Perpustakaan Sultan Abdul Samad juga sedia memberi perkhidmatan pada setiap masa yang diperlukan. Kita manfaatkan tempoh PKP ini untuk perkara-perkara yang sebelum ini mungkin kita tidak dapat fokus kerana kekangan masa. Selain itu, berkongsi lah kepakaran dan khidmat profesional mengikut kesesuaian. Semarakkan semangat kesukarelawanan.

  26. Bermula Fasa ketiga PKP ini, bagi memastikan semua perancangan dan operasi PTJ dapat berjalan dengan baik dan lancar untuk menyokong visi, misi dan matlamat strategik UPM, saya telah meminta Ketua PTJ untuk menyelaras laporan prestasi mingguan PTJ masing-masing untuk tujuan pemantauan. Laporan ini bukanlah untuk menambah kerja, tetapi adalah sebagai pemantauan dan rujukan Pengurusan Universiti khususnya sebagai langkah Pengurusan Risiko, agar penilaian dan langkah mitigasi secara sistematik dapat dijalankan.

  27. Kebajikan staf dan pelajar sangat diutamakan sepanjang tempoh ini. Sebagai contoh, pada awal PKP iaitu bulan Mac 2020, pihak Bursar telah bertungkus-lumus memastikan gaji staf UPM dapat diterima beberapa hari awal daripada tarikh yang sepatutnya. Bantuan lain dalam bentuk makanan dan kewangan juga disediakan melalui WAZAN bagi gulungan yang layak. Pelajar-pelajar dipastikan dijaga dengan rapi dan mendapat makanan yang mencukupi.

  28. Berkaitan maklumat status COVID-19 di kalangan staf dan pelajar UPM, terdapat 7 orang staf dan 4 orang pelajar yang telah didapati positif COVID-9 dalam tempoh PKP Fasa 1 dan 2. Semua kes ini adalah melalui kontak dari luar UPM. Apabila terdapat kes dilaporkan, Pusat Kesihatan UPM akan mengambil tindakan sewajarnya menurut SOP yang diberikan oleh pihak KKM, dan membuat follow up setiap hari. Alhamdulillah sukacitanya dimaklumkan kesemua tujuh (7) orang staf dan EMPAT (4) orang pelajar tersebut, telah pulih dan telah keluar dari hospital. Mereka sedang menjalankan kurantin di rumah masing-masing. UPM sentiasa mendahulukan kebajikan staf dan pelajar. Malahan dalam satu kes yang mana staf Kolej Canselor, disahkan positif pada 21 Mac (kali terakhir pegawai berada di Bilik Mesyuarat yang digunakan sebagai Bilik Gerakan Kolej, ialah pada 17 Mac), Pengurusan Universiti yang kebetulan melakukan lawatan ke sana pada 21 Mac, telah diarahkan untuk kurantin di rumah, termasuk TNCAA, TNCHEPA, Bursar dan saya sendiri, kerana berkemungkinan terdedah kepada risiko. Semua team petugas pada masa tersebut serta vendor-vendor yang membekalkan makanan pelajar turut dikuarantin 14 hari.

  29. Ramai yang terlibat dalam mempastikan kebajikan staf dan pelajar dijaga dengan baik sepanjang tempoh PKP Fasa 1 dan 2, serta seterusnya pada Fasa 3 yang bermula hari ini. Oleh itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada frontliners, Wira dan Wirawati UPM, yang terlibat secara langsung dan tidak langsung, khususnya kepada Pusat Kesihatan Universiti, Hospital Pengajar UPM, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Pengetua, Pengurus, Felo dan staf Kolej-kolej Kediaman, pasukan Emergency Response Team (ERT) yang bermesyuarat setiap hari untuk mempastikan semua urusan berjalan baik, para petugas di Bilik Gerakan Pusat yang diketuai oleh Pengarah OSH, Dr Rafee, Bahagian Keselamatan UPM, petugas-petugas di Bilik Gerakan, staf WAZAN, Kolej, para sukarelawan dari ahli KEPERTAMA, Sahabat Masjid dan lain lain, vendor-vendor yang menyediakan makanan pelajar, SEMUA warga UPM yang peka dan memahami situasi yang sedang kita hadapi ini. Tidak dilupakan para penaja dan penyumbang yang memberi bantuan dalam bentuk kewangan maupun inkind yang termasuk bahan2 makan dan lain-lain.

  30. Teruskanlah sikap-sikap yang terpuji ini. Marilah kita terus kekal produktif, terus berusaha, berdoa dan bertawakkal. Ikut peraturan PKP seketatnya, duduk di rumah atau di Kolej, supaya risiko jangkitan COVID-19 dapat dikurangkan dan Malaysia berjaya memutuskan rantaian COVID-19 secepat mungkin. Insya-Allah kita dan seluruh rakyat Malaysia, malahan dunia akan berjaya mengharungi ujian ini. After rain there will be sun shine and beautiful rainbow, InsyaAllah.

    Bulan Ramadan menjelang tiba dalam beberapa hari lagi, saya ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua warga UPM. Semoga bulan Ramadan kali ini mengingatkan kita lebih lagi akan kebesaran Allah S.W.T. Selamat menjalankan ibadah.

    Buat warga UPM, khususnya para pelajar saya ingin merakamkan satu pantun:

    Ditatang bagai minyak yang penuh;
    Kasih dan sayang ikhlas tercurah;
    Hadapi PKP usah bosan dan jenuh;
    Ujian diharungi dengan penuh tabah

 

Stay Home, Stay Safe! BERILMU, BERBAKTI.

“We Love UPM”

Sekian, terima kasih.

Wabillahi taufik walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tarikh Input: 30/04/2020 | Kemaskini: 30/04/2020 | ahmadazlan

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT NAIB CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
B1606272714