SALAM AIDILFITRI 2020/1441H | PEJABAT NAIB CANSELOR
» ARTIKEL » SALAM AIDILFITRI 2020/1441H

SALAM AIDILFITRI 2020/1441H

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera…

Warga Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dikasihi,

Alhamdulillah setinggi kesyukuran kita rafa’kan kepada Allah Subhanahu Wata’ala, sudah hampir sempurna ibadah kita di bulan Ramadhan tahun ini. Semoga amal ibadah yang kita lakukan di sepanjang bulan Ramadhan yang istimewa ini diterima-Nya. Apatah lagi, Ramadhan yang diraikan kali ini adalah dalam suasana yang amat berbeza sekali, dengan kita semua di seluruh dunia diuji dengan penularan wabak berbahaya Covid-19.

Dengan tibanya Syawal 2020/1441 Hijrah ini, saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga UPM yang beragama Islam dan selamat bercuti bagi yang bukan beragama Islam.

Sempena kedatangan Syawal ini, saya ingin mengingatkan warga UPM bahawa sambutan kali ini perlulah disambut dengan mengikut saranan daripada Kerajaan Malaysia disebabkan penularan Covid-19. Patuhi setiap perintah dan langkah yang disarankan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bagi memastikan rantaian wabak ini dapat kita putuskan. Budaya dan amalan-amalan yang biasa kita lakukan ketika menyambut Aidilfitri selama ini perlu diubahsuai untuk sementara, iaitu dengan mengikut norma-norma baharu. Ingat, pengubahsuaian ini amat penting bagi mengelakkan risiko penularan wabak ini.

Jangan bersedih walaupun kita tidak dapat solat sunat berjemaah di masjid, tidak dapat pulang ke kampung kerana perjalanan merentas negeri tidak dapat dilakukan, dan tidak dapat berkumpul beramai-ramai untuk kunjung-mengunjung di Hari Raya. Dengan adanya kemudahan teknologi, kita tetap dapat kekal bersilaturrahim serta saling berdoa untuk kebaikan dan kesejahteraan semua. Jarak bukanlah satu kekangan yang dapat memisahkan hubungan antara kita. Sama-sama kita terus berdoa agar Malaysia yang kita kasihi terus dipelihara Allah Subhanahu Wata’ala, dan kita semua dapat menempuh ujian Covid-19 ini dengan penuh hikmah.

InsyaAllah, selepas cuti Hari Raya ini kita dapat kembali bertugas di kampus tercinta. Namun sudah tentu, warga UPM perlu mengikut ‘Arahan Pentadbiran Bekerja di Pejabat dan Bekerja dari Rumah’ yang telah disediakan oleh Pejabat Pendaftar (bagi kumpulan P&P Bukan Akademik dan Pelaksana) dan Pejabat Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (bagi kumpulan Akademik). Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) juga telah mengeluarkan satu ‘Garis Panduan Pencegahan Covid-19 UPM bagi Tempoh Semasa dan Selepas PKPB’ untuk perhatian semua. Saya yakin, walaupun kita tidak dapat bekerja sepertimana sebelum ini, kadar produktiviti warga UPM akan terus berada pada tahap yang cemerlang.

Akhir kata, dengan rasa rendah hati saya dan seisi keluarga memohon maaf zahir dan batin sekiranya terdapat salah dan silap yang mungkin berlaku tanpa disengajakan.

“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim”

“Engkau ampunilah dosa-dosa kami, Engkau rahmatilah diri kami, keluarga kami, sahabat-sahabat kami dan negara kami”

“Selamatkanlah kami semua daripada wabak Covid-19, selamatkan kami dunia akhirat”

“Kurniakan kami kekuatan dan kesabaran untuk menghadapi dugaan ini, dan seterusnya dapat kembali bertugas dan beribadah seperti biasa demi untuk kecemerlangan universiti yang kami cintai, seterusnya kecemerlangan pendidikan tinggi negara. Hanya pada-Mu tempat kami bermohon”

Aamiin Ya Rabbal ‘Alamin.

 

Selamat Hari Raya Aidilfitri 2020/1441 Hijrah.

“Berilmu, Berbakti”

 

Prof. Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini Ideris, FASc.
SSIS, DPMK, DSIS, PSK, KMN
Naib Canselor
Universiti Putra Malaysia

 
 
facebook twitter instagram youtube
 
Universiti Putra Malaysia
 
 
marketing@upm.edu.my
 

Tarikh Input: 23/05/2020 | Kemaskini: 23/05/2020 | ahmadazlan

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT NAIB CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
B1606272179