Program SOAP Berkampung Di Kapit | PEJABAT NAIB CANSELOR
» BERITA » Program SOAP berkampung di Kapit

Program SOAP berkampung di Kapit

 

KAPIT – Majlis Tertinggi Mahasiswa (MTM) Kolej Enam Belas, Universiti Putra Malaysia berkunjung ke Kapit, Sarawak untuk menjalankan Society Awareness Program(SOAP) Ke Bumi Kenyalang baru-baru ini.

SOAP Ke Bumi Kenyalang ini menjadikan Rumah Panjai Nanga Banyau Balleh di daerah Kapit sebagai destinasi pilihan.

SOAP menfokuskan kepada pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat dan mahasiswa mengenai kepelbagaian cara hidup, budaya serta agama, dan ia merupakan program berterusan yang telah dijalankan di beberapa lokasi berbeza.

Pengarah program, Nur Aqilah Azian berkata pemilihan Kapit sebagai lokasi program mencapai objektif memberi kesedaran dan perkongsian ilmu melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan bersama penghuni rumah panjang.

Katanya, para pelajar sangat gembira sepanjang program bersama masyarakat kerana dapat menimba banyak pengalaman baharu di samping berkenalan dengan masyarakat rumah panjang.

Peserta program Nor Raihan Ramli berkata, perjalanan SOAP ke Bumi Kenyalang ke Kapit agak mencabar kerana menggunakan pelbagai jenis pengangkutan.

“Kami memulakan perjalanan dengan penerbangan ke Sibu yang mengambil masa kira-kira sejam setengah, dan kemdian 45 minit perjalanan dengan Grabcar ke Sibu Wharf Terminal, perjalanan tiga jam ke Kapit menaiki bot ekpress menyelusuri Sungai Rajang sebelum menaiki van selama 45 minit,  dan dikuti 5 minit menaiki perahu untuk sampai ke Rumah Panjai Nanga Banyau Balleh” katanya.

Ketibaan pelajar di rumah panjang disambut dengan upacara ‘miring’ yang dilakukan bersempena dengan Majlis Penutupan Gawai dan Majlis Perasmian SOAP ke Bumi Kenyalang.

Sepanjang majlis, pelajar berpeluang mencuba adat resam kaum Iban seperti tarian ngajat mengelilingi ‘ranyai’ dan upacara ngiling bidai (menggulung tikar) sebagai tanda berakhirnya perayaan dan bersedia menempuh tahun baru.

 

Majlis diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Anak Ijang yang turut merasmikan jambatan besi baharu untuk kemudahan ke Sekolah Nanga Mujong.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang berkampung di rumah panjang. Slot Kenali Kapit memberi peluang kepada pelajar untuk melakukan aktiviti “ngabang” iaitu berkunjung ke rumah panjang lain.

Melalui slot Selusuri Bumi Hijau Kenyalang pula, aktiviti mencari siput di Sungai Banyau dan menangkap lokan telah dijalankan bersama masyarakat tempatan. Slot Rasa Sayang Malaysia pula dijalankan dengan rewang dan perkongsian juadah dari semenanjung dan Sarawak iaitu ikan pansuh, ayam pansuh, lokan bakar dan sambal belacan dari Kapit manakala dari semenanjung ialah asam pedas, kerabu magi, kueh onde-onde dan manisan puteri mandi.

 

Sambutan Salam Lebaran juga diadakan bersama penghuni di rumah panjang. Pelbagai juadah hari raya dihidangkan seperti ketupat, lemang, kuah kacang, nasi impit, kuah lodeh yang di masak sendiri oleh para pelajar serta biskut raya yang dibawa dari semenanjung. Kanak-kanak di rumah panjang turut menerima duit raya.

Turut diadakan ialah program bersama-sama kanak-kanak yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Nanga Mujong.

Guru SK Nanga Mujong, Cikgu Muhamad Fadzlan  Saaidin, berkata pelajar sangat gembira menerima lawatan dan teruja menjalankan aktiviti seperti Kids ExpressionLanguage Sharing (English and Malaysian ‘Loghat’), dan Kids Appreciation.

Pelajar Bacelor Sains Biologi Sel dan Molekul, Muhammad Faiz Abdul Manab, berkata SOAP ke Bumi Kenyalang merupakan pengalaman baharu kepada dirinya yang pertama kali ke Sarawak dan kawasan pedalaman seperti Kapit.

“SOAP mendedahkan saya kepada kehidupan saling menghormati dalam kalangan masyarakat walaupun berlainan budaya dan agama,” katanya. - UPM

Tarikh Input: 08/10/2018 | Kemaskini: 08/10/2018 | ahmadazlan

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT NAIB CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
SXEXSAv~