Pensyarah UPM Sertai Program Penyelidikan Dua Hala Di Taiwan | PEJABAT NAIB CANSELOR
» BERITA » Pensyarah UPM sertai program penyelidikan dua hala di Taiwan

Pensyarah UPM sertai program penyelidikan dua hala di Taiwan

Oleh: Dr. Daljit Singh Karam

 

NEIPU (Taiwan) – Penyelidik dari Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai Penyelidikan Dua Hala di National Pingtung University of Science and Technology (NPUST), Taiwan yang juga merupakan Sekretariat University Network for Tropical Agriculture (UNTA), baru-baru ini.

 

Penyelidikan jangka pendek itu bertujuan memberi pendedahan kepada pensyarah dalam bidang pertanian mengenai kaedah pembangunan tanah, pengurusan sisa buangan dan bahan organik di Taiwan, khususnya kawasan pinggir bandar seperti Neipu.

 

Pensyarah Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, UPM, Dr. Daljit Singh berkata model konservasi air dan tanah oleh NPUST adalah menarik di mana pembinaan jalan raya juga mengambil kira pengaliran air.

 

Katanya, di beberapa lokasi yang tidak begitu tinggi kecerunannya, longkang dijadikan laluan kenderaan disebabkan kawasan yang agak sempit.

 

“Longkang dibat berbentuk ‘L’ agar air hujan yang mengalir tidak melimpah ke jalan raya. Pada kawasan kecerunan agak tinggi dan curam, terdapat lubang sedalam 1 hingga 3 meter dibina untuk memperlahankan arus air,” katanya.

 

Beliau berkata rumah hijau di kawasan itu juga tidak dibina secara rata, tetapi mengikut kesesuaian topografi, manakala air hujan dikumpul di dalam kolam penampan yang turut dijadikan kawasan rekreasi untuk pelajar.

 

Wakil pensyarah yang turut menyertai ekspedisi penyelidikan itu antaranya Dr. Samsuri Abd Wahid, Prof. Madya Dr. Susilawati Kasim dan Dr. Arina Shukor.

 

Pensyarah Jabatan Konservasi Air dan Tanah NPUST, Prof. Madya Dr. Jie-Lun Chiang berkata kawasan penempatan di Neipu kebanyakkannya adalah di tanah rata.

 

“Pemantauan dari segi pengairan air amat penting kerana kawasan ini menerima hujan yang singkat tetapi taburan yang tinggi menyebabkan kawasan rendah mengalami banjir,” katanya.

 

Beliau berkata, daerah Pingtung mengalami musim hujan yang agak panas, manakala musim kering yang berkelembapan tinggi dengan suhu tahunan di antara 15-33°C.

 

“Di makmal luar kelas, kami membina modul terbaik untuk mengawal pengaliran aliran di kawasan tinggi ke kawasan rendah.

 

“Di kawasan berkecerunan tinggi, kami membina longkang yang agak dalam bertujuan mengurangkan kelajuan pengaliran air hujan dari kawasan tinggi. Teknik ini juga dapat mengurangkan kesan hakisan serta pemendakan tanah di kawasan rendah,” katanya.

 

UNTA ditubuhkan untuk menjalinkan hubungan kerjasama dalam memperkasakan bidang pendidikan dan penyelidikan antara negara pertanian tropika melalui penempatan staf. Sebanyak 26 universiti dari Indonesia, Thailand, Malaysia, Vietnam, Monggolia, Australia, Pakistan, Sepanyol dan Jerman menganggotainya. - UPM

Tarikh Input: 08/10/2018 | Kemaskini: 08/10/2018 | ahmadazlan

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT NAIB CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
SXEUSAw~