Pelajar UPM Laksana Program Kemasyarakatan SOAP Di Kemboja | PEJABAT NAIB CANSELOR
» BERITA » Pelajar UPM laksana program kemasyarakatan SOAP di Kemboja

Pelajar UPM laksana program kemasyarakatan SOAP di Kemboja

 

 

Oleh: Aisyah Mohamad Saad

 

SIEM REAP (Kemboja), 28 Jan – Seramai 16 pelajar Kolej Enam Belas, Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalankan Society Awareness Programme (SOAP) Cambodia and Beyond di Siem Reap, Kemboja dari 23 hingga 28 Januari 2019, dan menjadikan Madrasah Qamaruddin Al-Islamiah dan Madrasah Ar-Raafea’ah di kampung Stung Thmei dan Tonle Sap sebagai destinasi pilihan.

Pengarah program yang juga pelajar Bacelor Sains Biologi Sel dan Molekul, Fakulti Bioteknologi Dan Sains Biomolekul, UPM,  Muhammad Faiz Abdul Manab Muhammad Faiz berkata pemilihan madrasah itu sebagai lokasi program bertujuan memberi kesedaran dan berkongsi ilmu melalui aktiviti yang dijalankan bersama penghuni madrasah.

Katanya, program itu memfokuskan kepada konsep kesedaran mengenai amalan kebersihan dalam hidup dengan mensasarkan golongan kanak-kanak di madrasah.

SOAP yang menfokuskan kepada pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat khususnya pelajar mengenai kepelbagaian cara hidup, budaya dan agama merupakan program berterusan yang telah dijalankan di beberapa lokasi di Malaysia dengan mensasarkan kelompok masyarakat yang berbeza. 

Felo pemantau Siti Mahsuri Talib pula berkata SOAP kali ini dibawa ke luar negara.

“Kita cuba bawa SOAP ke satu peringkat lain, walaupun cabarannya lebih sedikit berbanding di buat di Malaysia daripada segi kewangan, interaksi, dan bahasa tetapi dapat diatasi dengan komitmen pasukan  dan kerjasama pelbagai pihak,” katanya.

Peserta program Melissa Zalia Safira Mamat@Ali berkata, SOAP Cambodia and Beyond agak mencabar kerana perbezaan bahasa antara peserta dan penduduk.

“Pada awalnya kami menjangkakan perbezaan bahasa akan menyukarkan kami untuk berkomunikasi, namun kebanyakan masyarakat Islam di Siem Reap boleh berbahasa Melayu dan Inggeris dengan baik. Ini menjadikan peserta lebih bersemangat untuk memahami budaya Kemboja,” katanya.

Aktiviti pasukan SOAP di Kampung Stung Thmei dijalankan sekitar Masjid An Naekmah yang berdekatan Madrasah Qamaruddin Al-Islamiah.

Dengan bantuan guru madrasah itu, Ustaz Ismail Yakob, peserta berpeluang tinggal bersama keluarga angkat selama tiga hari serta dapat merasai makanan tradisional Kemboja seperti Lembu Naik Bukit, Daging Loklak dan sosej tradisi buatan sendiri.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang lima  hari empat malam di Stung Thmei dan Tonle Sap. Melalui slot “Jewel of Life: Childrens of Cambodia” kanak-kanak didedahkan kepada kepentingan asas kebersihan diri melalui slot Jom Sihat termasuk aktiviti menggosok gigi, melakukan tujuh langkah membasuh tangan serta mengekspresikan bakat dan pengetahuan melalui aktiviti Seni Penulisan Khat dan ‘English and Kids’

Slot ‘Taste It, Love It’ pula diisi dengan aktiviti merewang bersama penduduk dan pelajar madrasah. Di Stung Thmei, pasukan SOAP menjamu 150 orang pelajar madrasah dengan masakan Malaysia seperti kari ayam, nasi impit kuah kacang dan bubur cha-cha, manakala di Tonle Sap pula, menu yang di pilih adalah Daging masak kicap, Sup Ayam dan Nasi Impit Kuah Kacang.

Pengetua madrasah Ar-Rafee’ah, Ustaz Yaakob Sulaiman berkata pelajar madrasah yang dalam lingkungan 6 hingga 12 tahun itu gembira dengan kunjungan pelajar UPM dan pasti ia memberi memori indah kepada kanak-kanak sertai peluang untuk mereka  mengenali dunia luar.

Pasukan SOAP turut menyerahkan barangan sumbangan seperti jubah, telekung, iqra’, sabun, ubat dan berus gigi serta alat tulis kiriman amanah penyumbang kepada kedua-dua madrasah.

Pasukan SOAP juga melawat tapak warisan dunia (UNESCO), Angkor Wat atau juga digelar sebagai ‘City of Temples’ .

Perjalanan seawal jam 4 pagi ke Angkor Wat dengan menaiki tuk tuk merupakan  pengalaman baharu bagi semua peserta. Mereka berpeluang melihat fenomena matahari terbit di sebelah pagi di kuil bersejarah itu dan melihat fenomena matahari terbenam di sebelah petang di kuil Phnom Bakheng selepas melakukan pendakian kira-kira 20 minit. – UPM

 

 

Tarikh Input: 08/04/2019 | Kemaskini: 08/04/2019 | ahmadazlan

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT NAIB CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
SXEaBAF~