Bahan Makanan Ayam Guna Larva Lalat Askar Hitam | PEJABAT NAIB CANSELOR
» BERITA » Bahan makanan ayam guna larva lalat askar hitam

Bahan makanan ayam guna larva lalat askar hitam

Oleh: Azman Zakaria

Foto oleh: Muhamad Zaid Nor Akahbar

 

SERDANG, 8 Jan - Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menjalankan kajian penyelidikan formulasi bahan makanan ayam kampung menggunakan larva Lalat Askar Hitam atau Black Soldier Fly (Hermetia illucens).

Kumpulan penyelidik daripada Fakulti Perubatan Veterinar UPM itu akan diketuai oleh Dr. Hasliza Abu Hassim, manakala ahli penyelidik lain ialah Prof. Madya Dr. Azhar Kasim, Prof. Madya Dr. Mohd Hezmee Mohd Noor, Dr. Lokman Hakim Idris dan Dr. Hafandi Ahmad.

Kajian ini akan dijalankan dengan kerjasama syarikat BETSOL Sdn. Bhd. yang menganugerahkan geran penyelidikan sebanyak RM70,000 kepada kumpulan penyelidik itu.

Penyerahan replika cek geran penyelidikan disampaikan oleh Pengarah Urusan BETSOL Sdn. Bhd., Jamiah Zainal Abidin kepada Prof. Dr. Goh Yong Meng, mewakili Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, dengan disaksikan oleh Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UPM, Prof. Dr. Mohammad Hamiruce Marhaban.

 

Dr. Hasliza berkata industri ternakan unggas yang meliputi pelbagai kategori iaitu ayam pedaging, ayam penelur, ayam kampung, ayam pembiak baka, itik dan puyuh, merupakan jenis industri berskala besar di Malaysia.

Beliau berkata, industri ternakan ayam juga merupakan industri yang maju dan menjamin pendapatan ekonomi yang baik kerana bekalan ayam dan telur sering mendapat permintaan yang tinggi di negara ini.

Menurutnya, ketika ini kadar sara diri (SSL) dan kecukupan bekalan daging ayam di Malaysia sudah hampir 100 peratus, yang membolehkan negara mengeksport 54 juta bekalan ayam dan telur ke Singapura setiap tahun.

“Namun, masih terdapat kekurangan dalam industri ternakan ayam yang perlu diberi perhatian iaitu kelestarian industri itu“Walaupun industri ini dikatakan berkembang pesat, kelestariannya masih tidak dapat dijamin memandangkan bahan makanan ayam masih lagi diimport,” katanya.

Justeru itu, katanya, UPM dengan kerjasama BETSOL Sdn. Bhd. akan menjalankan kajian penyelidikan formulasi bahan makanan ayam kampung menggunakan larva lalat askar hitam.

Larva Hermetia illucens mempunyai potensi sebagai satu daripada sumber protein dalam bahan makanan ayam kampung. Larva itu yang dihasilkan melalui proses bio-kitaran semula sisa makanan juga dapat membantu dalam menangani pelbagai isu sisa makanan.

 

Pada majlis penyerahan geran penyelidikan itu, turut diadakan seminar bertajuk “Sustainable development towards food safety and biodiversity approach in poultry production” dengan Prof. Madya Dr. Azhar menyampaikan ceramah merangkumi kemajuan bidang pemakanan ayam kampung, manakala Dr. Jeffery Keith Tomberlin mengetengahkan manfaat penggunaan sumber asli untuk mengatasi masalah bahan makanan ayam secara global. - UPM

Tarikh Input: 24/01/2019 | Kemaskini: 24/01/2019 | ahmadazlan

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT NAIB CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
SXEUDAC~