2u2i : Ke Arah Graduan Holistik | PEJABAT NAIB CANSELOR
» ARTIKEL » 2u2i : Ke Arah Graduan Holistik

2u2i : Ke Arah Graduan Holistik

2u2i : Ke Arah Graduan Holistik

 

Di bawah program 2u2i (dua universiti + dua industri), pelajar akan belajar dua tahun di universiti dan dua tahun di industri secara langsung untuk menimba pengalaman dalam industri. Kaedah ini akan memberikan pendedahan tempoh amali yang lebih lama berbanding dengan pembelajaran biasa yang mungkin hanya ada satu semester latihan industri.

 

Di UPM, Program Bacelor Sains Pengurusan Perladangan (BSPP) yang dikendalikan oleh Fakulti Pertanian menjadi satu program bacelor perintis bagi kaedah 2u2i yang dilancarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada awal tahun ini. Kaedah ini bertujuan untuk menjanakan graduat holistik, sebagai modal insan profesional pertanian yang boleh mencorak pembangunan pertanian dalam usaha membantu kelangsungan pembangunan ekonomi negara, khususnya dalam sektor perladangan.

 

Pelaksanaannya sekali gus terarah kepada pencapaian sasaran yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015 - 2025. Matlamat KPT ini selari dengan Pelan Strategik Universiti Putra Malaysia 2014 - 2020 di bawah Matlamat 4 (UPM sebagai Pusat Kecemerlangan Pertanian). Pendekatan 2u2i memberikan peluang kepada pelajar untuk menimba ilmu sepanjang dua tahun di universiti, dan diikuti dengan peningkatkan kemahiran untuk dua tahun lagi di industri. Dalam kerangka ini, UPM bekerjasama dengan The Incorporated Society of Planters (ISP) untuk melaksanakannya.

Program ini membolehkan pelajar memantapkan pengetahuan dan menimba pengalaman secara langsung dalam persekitaran pekerjaan di industry melalui pengambilan kursus, iaitu Perancangan dan Pengurusan Penanaman, Pengurusan Perladangan dan Pengurusan Sumber Manusia. Selain pelajar akan memperoleh Ijazah Bacelor, para graduan juga akan dianugerahi Sijil Profesional Pengurusan Perladangan daripada Incorporated Society of Planters (ISP) yang membolehkan graduan menjadi Penolong Pengurus Ladang.

 

Program BSPP 2u2i mula ditawarkan pada September 2016 dengan pengambilan pelajar seramai 39 orang sebagai kumpulan pertama. Pelajar kini sedang mengikuti kursus umum dan kursus teras mengikut skema yang disediakan untuk menyediakan pelajar dengan pengetahuan asas sebelum mereka meneruskan pengajian di industri.

 

Pelaksanaan 2u2i

 

Pelajar akan mengikuti program secara konvensional daripada semester 1 sehingga semester 4 di universiti dengan melengkapkan 69 jam kredit. Pada semester 5 hingga semester 7, mereka akan berada di industri untuk menjalani pembelajaran di persekitaran pekerjaan (Work-based Learning). Bagi setiap semester di industri, pelajar akan mengambil kursus Perancangan dan Pengurusan Penanaman (SPP4902), Pengurusan Perladangan (SPP4903) dan Pengurusan Sumber Manusia (SPP4904) dengan nilai 14 (0+14) jam kredit bagi setiap kursus. Pengajar yang telah dikenal pasti oleh pihak ISP akan menunjuk ajar dan membimbing pelajar secara langsung daripada awal hingga akhir semester dan dipantau oleh penyelaras kursus daripada UPM. Pencapaian pelajar akan dinilai secara berterusan. Projek tahun akhir program bacelor akan diserapkan dalam kursus semasa semester 6 dan 7. Pada semester 8, pelajar akan melaksanakan latihan industri mengikut mod konvensional seperti program bacelor lain.

 

Sumber: Wacana 2, Laporan Tahunan UPM 2016

Tarikh Input: 14/08/2017 | Kemaskini: 27/07/2018 | ahmadazlan

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT NAIB CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
SXETFAa~