UPM Komited Untuk Meningkatkan Industri Minyak Sawit Malaysia | OFFICE OF VICE CHANCELLOR
» ARTICLE » UPM Komited Untuk Meningkatkan Industri Minyak Sawit Malaysia

UPM Komited Untuk Meningkatkan Industri Minyak Sawit Malaysia

Industri minyak sawit Malaysia terus berkembang pesat apabila merekodkan eksport keseluruhan bernilai RM74.6 bilion pada 2017 selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi termasuk menjanakan pelbagai peluang pekerjaan. Malaysia mengeluarkan 19.92 juta tan minyak sawit mentah, hasil daripada kawasan tanaman berkeluasan 5.74 juta hektar. Sumbangan industri minyak sawit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang signifikan menunjukkan bahawa minyak sawit adalah antara pemacu utama pembangunan negara dan teras penting dalam pertumbuhan ekonomi.

Kurangnya inovasi mekanisasi dalam penuaian dan kebergantungan kepada buruh asing yang tinggi menjadi antara isu yang penting dalam industri minyak sawit di Malaysia. UPM sebagai sebuah universiti penyelidikan telah menjalankan banyak kajian saintifik bagi membantu negara menangani isu ini melalui kepakaran yang dimiliki. Antara kajian yang berjaya diketengahkan adalah dengan menambahbaik teknologi ‘cantas’ dengan menggantikan konsep mekanikal kepada elektrik yang lebih ekonomik dan mesra alam. Produk inovasi mesin pencantas kelapa sawit yang dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik UPM dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dinamakan E-Cutter.

Selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mengangkat agenda program penyelidikan translasional ke tahap yang lebih tinggi dan memberi manfaat kepada masyarakat dan komuniti, UPM telah bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) untuk menjalankan program penyelidikan translasional E-Cutter. Sebanyak 1,000 unit E-Cutter akan diserahkan kepada pihak FELDA secara berperingkat untuk digunakan di ladang milik FELDA. Sebagai simbolik permulaan kerjasama, sebanyak 10 unit E-Cutter telah diserahkan kepada pihak FELDA Zon Hulu Selangor pada 20 Julai 2017, dan majlis ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia.

Dengan terhasilnya produk inovasi E-Cutter ini, ia dapat mempercepat proses penuaian sawit, sekali gus dapat meningkatkan hasil tuaian dan kualiti sawit. Untuk jangka masa panjang, ia dijangka dapat membantu negara mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.

 

 

| Petikan dari naskhah buku Laporan Tahunan UPM 2017 |

 

Penulis: Encik Shahriman Hashim

Date of Input: 24/07/2018 | Updated: 24/07/2018 | ahmadazlan

MEDIA SHARING

OFFICE OF VICE CHANCELLOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389466001
0389483244
C1542197895