Technological Innovation PadiU Putra | OFFICE OF VICE CHANCELLOR
» ARTICLE » Technological Innovation PadiU Putra

Technological Innovation PadiU Putra

Inovasi Teknologi PadiU Putra

Padi merupakan tanaman makanan utama dan strategik negara serta penyumbang peluang pekerjaan dan sumber pendapatan kepada rakyat Malaysia, khususnya kepada petani yang tinggal di luar bandar. Pengeluaran beras negara adalah pada tahap 71% kecukupan sara diri atau Self Sufficiency Level (SSL), dengan pengeluaran beras domestik pada 2016 dianggarkan 1.8 juta tan daripada kawasan penanaman seluas 650 ribu hektar. Penyelidikan dan pembangunan untuk penghasilan teknologi mampan perlu dijalankan secara berterusan dan terancang ke arah peningkatan kadar SSL dan sosioekonomi petani.

 

Melalui inisiatif Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS), Kementerian Pendidikan Tinggi, Malaysia dalam bidang keutamaan jaminan makanan dan tanaman padi bermula tahun 2011 hingga 2016, UPM telah menjalankan penyelidikan fundamental berimpak tinggi untuk menghasilkan inovasi baharu

demi merealisasikan objektif peningkatan hasil padi dan membaiki sosioekonomi petani melalui teknologi pengurusan mampan dan penghasilan varieti baharu.

 

Pada 30 Oktober 2016, YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia telah melancarkan produk teknologi Padi Putra UPM di kawasan Jelapang padi IADA Ketara, Besut, Terengganu. Pada majlistersebut, produk inovasi hasil skim penyelidikan LRGS seperti baja foliar, biobaja, varieti padi baharu, racun perosak siput gondang, dan teknologi pengurusan persis padi telah diperkenalkan kepada petani.

 

Produk baja foliar baharu yang dihasilkan adalah dengan berdasarkan prinsip sains pemakanan tanaman dan nutrisi tanah. Aplikasi produk baja terbukti berupaya untuk meningkatkan pengeluaran hasil padi di plot percubaan berskala besar di kawasan jelapang padi di MADA, Kedah dan IADA Ketara, Terengganu. Inovasi baja baharu ini berupaya untuk meningkatkan hasil antara 18 - 30% berbanding amalan agronomi yang biasa dipraktikkan oleh petani.

 

Baja foliar mesra alam yang mengandungi kandungan unsur mikro nutrien dan bahan tumbesaran ini dijamin selamat digunakan oleh petani. Baja ini juga berperanan untuk meningkatkan kesuburan tanah serta meningkatkan ketahanan pokok padi terhadap serangan penyakit padi. Daripada kajian yang telah dijalankan, terbukti bahawa penggunaan baja ini dapat mengurangkan kos pengeluaran serta meningkatkan pendapatan petani.

 

Produk biobaja baharu yang diperkaya dengan spesies bakteria berfaedah, iaitu Bacillus pumilus dan Bacillus subtilis mampu mengikat nitrogen di udara, melarutkan fosfat dan kalium lalu menukarkannya kepada struktur ringkas yang

mudah diserap oleh pokok untuk memberikan pertumbuhan pokok dan akar yang baik, meningkatkan penyerapan air dan menstabilkan aktiviti hormon di dalam pokok padi. Satu lagi produk baharu yang dihasilkan ialah biobaja khusus untuk tanah asid sulfat iaitu di kawasan padi dengan keasidan dan kepekatan aluminium yang tinggi serta keadaan ketersediaan fosforus yang rendah. Kesan penggunaan biobaja ini di tanah yang mempunyai masalah tersebut telah meningkatkan hasil sehingga 60% berbanding amalan pembajaan biasa.

 

Produk AHA-Asid Humik Teraktif yang dihasilkan daripada sisa agroindustri telah digunakan sebagai agen penggalak tumbesaran pokok padi untuk meningkatkan pengeluaran hasil. Kaedah ini dapat mengurangkan penggunaan baja kimia, kos buruh dan memendekkan tempoh masa penuaian padi. Produk ini juga telah meningkatkan peratusan pengisian biji serta membaiki kesuburan tanah. Racun perosak Putra Saponin Nanoemulsi pula disyorkan untuk mengawal siput gondang iaitu perosak utama padi pada peringkat awal pertumbuhan padi. Racun teknologi hijau ini telah dihasilkan daripada ekstrak tumbuhan, seperti Furcraea selloa yang menghasilkan bahan kimia saponin yang digunakan untuk menghalang kerosakan anak pokok padi oleh siput gondang.

 

Varieti baharu padi Putra 1 merupakan varieti padi yang berhasil tinggi serta rintang penyakit karah. Varieti ini telah dihasilkan melalui teknologi bantuan penanda molekul kacuk balik, iaitu hasil kacukan antara varieti MR219, yang berhasil tinggi tetapi rentan penyakit karah dengan varieti Pongsu Seribu 1 yang rintang penyakit. Varieti yang rintang penyakit karah ini dengan potensi hasil tinggi dapat membantu petani mengatasi masalah penurunan hasil akibat serangan penyakit utama padi ini. Dengan penggunaan varieti baharu ini, petani

dapat mengurangkan pengunaan racun kulat serta membantu dalam pengurangan pencemaran alam sekitar serta dapat mengurangkan kos pengeluaran padi. Varieti baharu padi Putra 2 pula adalah variety berhasil tinggi dan toleran terhadap submergen atau tenggelam akibat banjir sehingga selama

dua minggu. Varieti padi Putra 2 ini dihasilkan daripada kacukan antara varieti MR219 dengan varieti Swarna-Sub1 yang toleran submergen dengan bantuan teknologi penanda molekul. Varieti toleran submergen baharu ini berupaya untuk mengurangkan masalah kerosakan akibat banjir yang dihadapi oleh petani, terutama di kawasan penanaman padi yang selalu mengalami bencana

banjir.

 

Teknologi pengurusan kawasan padi secara persis Putra, menggunakan pesawat udara tanpa pemandu atau dron untuk memudahkan pemetaan dan pengurusan kawasan penanaman padi yang luas. Teknologi ini membantu pengurusan kawasan padi secara bersepadu yang efektif serta dapat menjimatkan masa dan tenaga dalam usaha memantau prestasi pertumbuhan padi secara menyeluruh.

 

Teknologi PadiU Putra hasil penyelidikan skim LRGS ini disyorkan agar diperluas penggunaannya di seluruh kawasan penanaman padi negara untuk membantu meningkatkan tahap SSL negara serta dapat mengurangkan pengimportan beras untuk memastikan sekuriti dan kedaulatan makanan negara.

 

Laporan Tahunan 2016 Universiti Putra Malaysia

WACANA 5 | PadiU Putra

 

Updated:: 15/08/2017 [mnazrimy]

MEDIA SHARING

OFFICE OF VICE CHANCELLOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389466001
0389483244
C1511013196