Puasa Golongan Berisiko | OFFICE OF VICE CHANCELLOR
» ARTICLE » Puasa Golongan Berisiko

Puasa Golongan Berisiko

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
**Artikel ini telah diterbitkan di My Metro pada 26 April 2020.**

DAHULUKAN makan sayur ketika berbuka.

Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

 

PESAKIT kencing manis jenis II yang kerap mengalami komplikasi hipoglisemia (glukosa darah rendah) tidak digalakkan berpuasa pada Ramadan kerana berisiko berlaku komplikasi lebih teruk ketika berpuasa.

Hipoglisemia yang teruk boleh mengakibatkan pesakit tidak sedar diri, sawan dan koma jika komplikasi itu berpanjangan.

Ini disebabkan sel dan fungsi otak mudah tercedera dengan penurunan mendadak paras glukosa (gula darah).

Ini terjadi kerana pesakit tidak dapat mengesan gejala awal yang biasanya memberi amaran kepada mereka.

 

Pesakit ini dikategorikan sebagai golongan berisiko tinggi dan komplikasi itu boleh mengancam nyawa.

Hipoglisemia berlaku apabila aras glukosa (gula) dalam darah pesakit di bawah 3.9 mmol/L.

Pakar Perunding Endokrinologi Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussein berkata, pesakit yang ingin berpuasa perlu mendapatkan nasihat pakar perubatan bagi menilai tahap kesihatan dan berbincang langkah perlu diambil termasuk pengubahsuaian rawatan.

Beliau berkata, pesakit digalakkan mengukur dan mengawasi paras glukosa darah sendiri di rumah semasa berpuasa dan setelah berbuka.

Ia terutama bagi pesakit yang dirawat dengan suntikan insulin serta ubat-ubatan oral antidiabetik jenis 'sulphonylurea'.

"Ini kerana ubat itu boleh menyebabkan penurunan paras glukosa darah yang mendadak jika dos tidak diubah suai berpandukan nasihat doktor.

"Pesakit juga perlu segera berbuka jika mengalami gejala hipoglisemia seperti berpeluh dengan banyak, menggigil, degupan jantung berdebar-debar, pening, mengantuk dan lapar.

"Tindakan ini penting bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini," katanya.

 

Pesakit diabetes jenis II kerap alami komplikasi hipoglisemia perlu dapatkan nasihat pakar perubatan
                                                                                                                    Pesakit diabetes jenis II kerap alami komplikasi hipoglisemia perlu dapatkan nasihat pakar perubatan

 

Dianggarkan kira-kira tiga juta rakyat Malaysia menghidap kencing manis dan ia kadar tertinggi di Asia.

Kajian Epidemiologi Kencing Manis dan Ramadan (EPIDIAR) menunjukkan, 78.2 peratus pesakit kencing manis jenis II berpuasa lebih 15 hari sepanjang Ramadan.

Dr Zanariah berkata, kemungkinan komplikasi lain lebih tinggi dihidapi pesakit kencing manis jenis II yang berpuasa pada Ramadan ialah hiperglisemia (paras gula terlalu tinggi) dan dehidrasi (kekurangan air).

"Selain itu, pesakit turut berisiko komplikasi kecemasan seperti ketoasidosis diabetes iaitu paras ketone dan asid dalam darah meningkat tinggi dengan cepat kerana kekurangan insulin serta berpuasa.

"Komplikasi terakhir ialah trombosis apabila kepekatan darah meningkat dan risiko mengalami serangan angin ahmar juga tinggi," katanya.

Beliau berkata, terdapat perbezaan ketara paras glukosa darah pesakit kencing manis semasa berpuasa iaitu perubahan peningkatan dan penurunan yang tinggi.

Keadaan berbeza bagi individu tanpa penyakit kencing manis yang paras glukosa darah mereka agak stabil dan tidak berubah banyak semasa berpuasa serta setelah berbuka.

"Selepas berbuka, paras glukosa darah boleh meningkat tinggi dengan cepat jika pemakanan dan ubat-ubatan tidak sesuai.

"Keadaan ini boleh mengundang risiko kepada pesakit.

"Sebab itu kita mahu pesakit menurunkan paras glukosa dengan cara mengawal pemakanan semasa sahur dan berbuka serta mengawasi paras glukosa sendiri bagi memastikan kesihatan mereka terjamin," katanya.

Pakar Dietitian dan Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof berkata, UPM dan Nestle Health Science bekerjasama menjalankan kajian klinikal bagi menentukan pemakanan berkesan semasa Ramadan untuk mereka yang mengalami kencing manis jenis II.

Hasil kajian ini dapat menerbitkan Pelan Pemakanan Ramadan (RNP) bagi membantu pesakit kencing manis jenis II berpuasa dengan selamat.

Katanya, kajian itu mendapati, pesakit kencing manis jenis II perlu mengambil sekurang-kurangnya dua menu penting iaitu sahur dan berbuka sepanjang Ramadan bagi mengelakkan risiko hipoglisemia.

 

PILIH makanan tinggi serat.
PILIH makanan tinggi serat.

 

"Untuk sahur, pesakit boleh memilih kaedah pemakanan berstruktur iaitu mengutamakan jumlah dan jenis karbohidrat yang betul dan bersesuaian untuk pesakit.

"Bagi mencantikkan kawalan gula darah, pesakit disarankan mengambil susu Formula Khusus Kencing Manis. Ini membantu mencapai kawalan paras gula darah yang optimum, zat yang cukup dan mengawal berat badan.

"Susu ini mengandungi zat penting yang dapat membantu pesakit kencing manis jenis II menjalani ibadah puasa dengan baik seperti serat. Ia (serat) memberi rasa kenyang lebih lama dan karbohidrat diserap perlahan untuk menstabilkan gula darah sepanjang hari.

"Pesakit yang tidak mengambil zat mencukupi ketika bersahur membuatkan mereka berasa cepat lapar dan menunjukkan gejala gula darah rendah. Seterusnya berisiko mengalami hipoglisemia, hiperglisemia dan dehidrasi," katanya.

Dr Barakatun Nisak berkata, RNP menekankan pengurusan karbohidrat apabila pesakit perlu mengetahui jumlah, jenis dan bila karbohidrat boleh diambil.

"Pesakit perlu mengehadkan pengambilan karbohidrat seperti nasi putih, mi, pasta dan roti. Meskipun makanan ini tidak berasa manis, pengambilan secara berlebihan boleh meningkatkan paras glukosa darah. Pilihlah karbohidrat daripada jenis tinggi serat dan bijirin penuh.

"Dalam RNP, sajian nasi yang disarankan ialah segenggam atau satu setengah genggam dan kita galakkan mengambil beras perang, beras panjang (basmathi) dan beras separa rebus.

"Pesakit boleh merancang pengambilan makanan yang sihat dan seimbang berpandukan Pinggan Ramadan yang menggalakkan mereka kepada tabiat pemakanan sihat.

"Ia dimulakan dengan minum air kosong, sepotong buah-buahan dan sayur-sayuran sebelum memakan nasi," katanya.

Menurutnya, kajian di Jepun mendapati, pesakit kencing manis jenis II yang memakan sayuran terlebih dahulu berbanding nasi mempunyai paras gula lebih baik.

"Pesakit juga disarankan minum dua hingga tiga liter air sehari yang diagihkan mengikut waktu bermula semasa berbuka hingga sahur.

Date of Input: 30/04/2020 | Updated: 30/04/2020 | ahmadazlan

MEDIA SHARING

OFFICE OF VICE CHANCELLOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 8989
+603 9769 2016
C1590627191