Grass To Glass - UPM Menerajui Agenda Sekuriti Makanan Negara | PEJABAT NAIB CANSELOR
» ARTIKEL » Grass to Glass - UPM Menerajui Agenda Sekuriti Makanan Negara

Grass to Glass - UPM Menerajui Agenda Sekuriti Makanan Negara

Bagi menyumbang kepada agenda sekuriti makanan negara, UPM telah menubuhkan Pusat Kecemerlangan Industri UPM-FARMFRESH (UPM-FARMFRESH ICoE)  dalam bidang tenusu. Bidang tenusu dipilih berikutan UPM mempunyai Unit Tenusu yang telah beroperasi sejak 2004 dengan keluasan 85.87 ha ladang ternakan terdiri dari kawasan ragutan untuk lembu pedaging, lembu tenusu, kambing dan rusa dan sesuai untuk dinaik taraf selaras dengan hasrat menyokong industri tenusu negara. UPM-FARMFRESH ICoE adalah satu model industri dalam universiti merupakan inisiatif serampang dua mata iaitu berperanan sebagai model pengajaran dan pembelajaran sebenar (experiential learning) serta membuka laluan pembangunan kerjaya kepada pelajar UPM khususnya dan juga pensyarah/penyelidik UPM. UPM-FARMFRESH ICoE dirancang untuk memantapkan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan showcase berkaitan tenusu merangkumi seluruh rantaian proses penghasilan produk dari pengurusan ladang ke pemasaran (Grass to Glass) di UPM. UPM-FARMFRESH ICoE seterusnya akan membawa manfaat kepada warga mahasiswa, pengajar, penyelidik, pegawai yang terlibat dan rakyat Malaysia bagi merancakkan industri susu negara dan mengoptimumkan penggunaan tanah dan sumber UPM dalam pengurusan industri ternakan tenusu dan akhirnya menyumbang kepada visibiliti UPM dalam menerajui agenda keselamatan makanan negara  dalam bidang tenusu.



Kerjasama strategik antara UPM dengan The Holstein Milk Company Sdn. Bhd.(THMCSB), sebuah syarikat bersekutu dengan Khazanah Nasional telah termeterai pada 14 Ogos 2017 bagi menubuhkan UPM FARMFRESH ICOE. THMCSB dipilih berikutan menjadi peneraju dalam membangunkan industri susu segar negara di bawah projek Economy Transformation Program (ETP), Kluster Tenusu Entry Point Projek (EPP) No. 13. Syarikat ini memiliki dua (2) buah Ladang Tenusu di Mawai, Kota Tinggi, Johor dan Muadzam Shah, Pahang, dan sebuah ladang pengeluaran baka lembu tenusu tropika di Australia untuk bekalan lembu susu. Syarikat ini menggunakan jenama FarmFresh, rangkaian produknya merangkumi susu segar, susu berperisa dan yogurt. The Holstein Milk Company Sdn. Bhd. juga telah memenangi gelaran syarikat paling berketerampilan di Pameran Asia Livestock 2015. THMCSB akan menyediakan geran bernilai RM5 juta untuk menaik taraf pembangunan ladang tenusu  sedia ada di UPM   dan  menyediakan geran operasi UPM-FARMFRESH ICoE. Hasil dari UPM-ICoE Dairy Farm akan diguna bersama dengan THMCSB untuk menjamin kelestarian operasi Pusat.   

UPM-FARMFRESH ICoE juga menyokong hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang telah melancarkan program Pusat Kecemerlangan Industry (ICoE) pada tahun 2011 dengan matlamat utamanya untuk melaksanakan pelbagai program kerjasama antara universiti dan rakan industri.   

 

| Petikan dari naskhah buku Laporan Tahunan UPM 2017 |

 

Penulis: Puan Siti Rozana Supian

Tarikh Input: 24/07/2018 | Kemaskini: 27/07/2018 | ahmadazlan

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT NAIB CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
SXETDAe~